Festival itu merupakan program tahunan anjuran kedutaan-kedutaan Amerika Selatan di Malaysia dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) Sdn. Bhd.

Menurut Penyelaras Program Bahasa Sepanyol, Dr. Rozita Che Omar, filem itu adalah hasil usaha pelajar dan penyelaras program di jabatan tersebut.

“Pembikinan filem pendek bertajuk Alegria ini telah dijayakan sepenuhnya oleh pelajar dan pensyarah dari Program Bahasa Sepanyol sendiri.

“Kami tidak sangka mampu bersaing dan menjadi yang utama dalam festival ini kerana hampir 10 buah negara menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Antara negara yang terlibat dalam festival filem yang ditayangkan di pawagam GSC Pavillion, Kuala Lumpur itu adalah Mexico, Colombia, Argentina, Peru, Ecuador, Venezuela, Cuba dan Uruguay.

Bercerita lanjut, Rozita memberitahu, filem Alegria berkisar mengenai minat seorang anak untuk mempelajari bahasa asing yang menerima tentangan bapanya.

“Namun, segalanya berubah apabila si anak yang mempelajari bahasa Sepanyol atas inisiatif sendiri telah berjaya membantu sepasang pelancong Sepanyol yang baru tiba ke Malaysia.

“Pasangan yang ingin mendekati masyarakat dan budaya masyarakat Melayu itu telah dibawa pulang ke rumah serta dilayan seperti sebahagian daripada ahli keluarganya sendiri oleh si ibu.

“Filem berdurasi lapan minit ini diakhiri dengan si anak menerima tiket penerbangan ke Sepanyol yang dihadiahkan pasangan pelancong itu,” katanya yang juga penyelaras pembikinan filem pendek tersebut.

Pengalaman menjayakan filem itu amat berharga pada dirinya dan para pelajar terutamanya apabila menerima kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem dan Kementerian Dalam Negeri.

Projek pembikinan filem ini telah menerima kerjasama daripada syarikat perfileman swasta, 90K Studio dan sebahagian kos penggambarannya ditanggung oleh Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Sementara itu, Dekan fakulti berkenaan, Prof. Madya Dr. Jariah Mohd. Jan berpendapat, secara tidak langsung, filem tersebut sebenarnya mempromosi program bahasa Sepanyol dan bahasa-bahasa lain kepada masyarakat.

“Melalui kaedah yang kreatif ini juga, kami berharap ia menjadi duta kepada masyarakat untuk mempelajari bahasa Sepanyol di Malaysia.

“Ia sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa asing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mauricio González López, Duta Besar Colombia yang juga merupakan penyelaras Festival Filem Amerika Latin 2018 berkata, ini merupakan kali pertama sebuah filem berbahasa Sepanyol dari sebuah negara yang tidak menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi ditayangkan pada festival tersebut.