Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Themed Attraction Resorts dan Hotel, Amir Azizan, kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan bagi memastikan ia dapat beroperasi mengikut jadual.

Katanya, akuarium seluas 2,123 meter persegi itu dibina dengan kos RM50 juta dan akan mempunyai 25 tangki pameran serta 11 habitat hidupan laut.

Habitat itu terdiri daripada air tawar, pesisir pantai, terumbu karang dan gua laut dengan akuarium hanya terletak bersebelahan tiga mercu tanda lain iaitu Taman Tema Legoland, Taman Air Legoland serta Hotel Legoland.

“Di Legoland, apa yang penting ialah pelaburan berterusan yang dapat menarik minat dan kehadiran pelancong, sama ada tempatan mahupun luar negara.

“Alhamdulillah, sehingga kini kami masih menerima kunjungan daripada kedua-dua pihak,” katanya dalam suatu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Turut hadir pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Sea Life Malaysia itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort Kurt Stock.

Siew Kiong berkata, kewujudan akuarium itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap perkembangan sektor pelancongan negeri Johor dan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan pembangunan kepelbagaian kluster pelancongan.

“Johor mempunyai banyak taman tema yang dapat memenuhi cita rasa pelancong dalam dan luar negeri. Kami mahu setiap kali tiba musim cuti, Johor menjadi destinasi percutian pelancong.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan pada 2016, Johor menduduki tempat pertama dari segi destinasi pelancongan tempatan dengan kunjungan seramai 7.4 juta orang selain berada di tempat ketiga dari segi kunjungan pelancong luar negara yang membabitkan seramai 2.6 juta orang,” katanya.