Hasil tinjauan di pulau yang terletak kira-kira 15 kilometer dari arah tenggara tanah besar Melaka baru-baru ini mendapati para pengunjung tanpa rasa segan melakukan kegiatan pemujaan.

Terdapat beberapa lokasi pemujaan baharu seperti Keramat Ular dan Keramat Harimau untuk memohon hajat, menyembah dewa dan bertapa.

Pada masa yang sama ada segelintir penduduk tempatan yang mengaut keuntungan seolah-olah ‘menjual kekufuran’ seperti menjual alat-alat yang digunakan untuk upacara tersebut seperti kalungan bunga, colok, air bunga mawar dan kelapa.

Malah ada juga yang menjual barang-barang lama dan objek yang dianggap mempunyai keramat seperti batu permata, batu geliga, cincin lama serta keris lama pada harga yang agak tinggi.

Air jampi

Lebih menyedihkan, penulis mendapati khidmat ‘ustaz jadian’ bermodalkan kopiah, kain serban dan tongkat memperdaya pengunjung Islam mahupun bukan Islam memohon hajat menerusi doa serta air jampi yang didakwa mampu menyembuh pelbagai penyakit.

‘Ustaz jadian’ itu mengambil upah antara RM30 hingga RM50.

Penulis menemui seorang pemuda berusia dalam lingkungan awal 20-an yang hanya ingin dikenali sebagai Mamat. Dia menjual bunga di hadapan Keramat Ular.

“Saya jual bunga untuk tambah pendapatan sahaja, lagipun ramai orang datang ke sini. Minta maaf bang, saya memang tidak percaya dengan benda-benda karut ini.

“Tidak ramai orang Islam yang beli bunga kerana mereka membawa air botol untuk menjampi air sendiri atau bertapa di Keramat Harimau atas sana,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kelihatan beberapa orang remaja berumur dalam lingkungan belasan tahun menjual batu dan cincin yang didakwa ‘keramat’ dan diperoleh dari Perigi Nenek Kebayan di pulau itu.

Salah seorang remaja yang hanya ingin dikenali sebagai Ramli berkata, ramai juga pengunjung membeli batu serta cincin terutama pada musim cuti sekolah dan hari minggu.

“Saya daripada keluarga susah dan tidak ada orang yang ingin membantu kami sekeluarga. Duit ini digunakan untuk belanja persekolahan dan tambang ulang-alik menaiki feri ke Melaka,” tuturnya.

Nasihat

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali Haron, 60-an, menyatakan kekecewaan dengan apa yang berlaku walaupun pihak berkuasa agama pernah mengambil tindakan sebelum ini.

“Dah banyak kali saya beri nasihat tetapi mereka tidak menghiraukannya.

“Bukan orang tempatan sahaja yang datang ke pulau itu sebaliknya pada lewat malam ada beberapa orang luar daripada negara jiran menaiki bot turut menziarahi kubur Sultan 
Al-Ariffin yang terletak bersebelahan Masjid Pulau Besar.

“Kebanyakan pengunjung dari negara jiran terdiri daripada pengamal ilmu persilatan,” ceritanya.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pengamal ajaran khurafat ialah kubur Sultan Al-Ariffin, kubur tujuh beradik, Gua Yunus, Keramat Ular, Keramat Harimau dan kubur Nenek Kebayan.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Musa berkata, beliau kerap datang beribadah di Masjid Pulau Besar kerana keadaannya tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kota raya.

“Saya datang ke sini bukan kerana percaya benda karut dan khurafat tetapi hanya sekadar iktikaf di masjid dan ziarah kubur Sultan Al-Ariffin,” ujarnya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Musa berkata, sebagai pengunjung tetap Pulau Besar beliau turut melahirkan rasa kesal kerana kegiatan khurafat masih berleluasa dan berharap penguatkuasaan tegas dapat dilakukan untuk membanteras kegiatan khurafat di pulau ini.

“Selagi pihak berkuasa tidak melakukan penguatkuasaan dengan menempatkan pegawai penguat kuasa di situ maka, Pulau Besar tidak akan bebas daripada belenggu amalan khurafat,” katanya.

Pesara kerajaan itu memberitahu, beberapa bulan lalu beliau pernah melihat kelibat pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) merekod nama pengunjung ke kubur Sultan Al-Ariffin yang terletak bersebelahan Masjid Pulau Besar.

“Walaupun ada papan tanda amaran JAIM melarang aktiviti khurafat, pemuja langsung tidak mengendahkan malah terus melakukan kegiatan di tempat terbuka.

“Saya pernah beberapa kali menegur dengan cara yang baik namun sebaliknya dimaki, malah ada yang ajak untuk bertumbuk pula. Siapalah saya untuk menegur mereka namun, hati saya pedih dan mata sakit apabila melihat orang Islam secara terang-terangan menghina agama suci ini,” tutur Musa. – Bernama