Lebih menarik, fenomena ombak Lances Right dan Macaronies yang terdapat di Pulau Mentawai turut diiktiraf sebagai antara 10 ombak terbaik di dunia yang menjadi kegilaan peminat sukan luncur air tempatan serta antarabangsa.

Mentawai bukan sahaja memiliki pantai berwarna biru yang mampu menggamit kedatangan pelancong tetapi turut menawarkan produk-produk pelancongan lain seperti kecantikan alam semula jadi.

Antara khazanah alam semula jadi yang mempesonakan terdapat di Mentawai ialah Air Terjun Simatobat atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Bungo Rayo dalam kalangan penduduk setempat.

Air terjun itu merupakan antara kawasan rekreasi yang terdapat di Mentawai selain Air Terjun Kulukubuk di Kabupaten Siberut Selatan.

Ekopelancongan

Simatobat hanya berketinggian kira-kira 15 meter berbanding beberapa air terjun lain yang terdapat di kepulauan itu dengan catatan ketinggian hampir puluhan meter.

Selain mempunyai pesona air terjun yang menarik, kawasan sekitar Simatobat turut menawarkan pelbagai potensi pelancongan khususnya melibatkan aktiviti berkonsepkan ekopelancongan.

Menurut Pelaksana Tugas Ketua Kesatuan Pengelolaan Hutan Produksi Mentawai, Tasliatul Fuaddi, kepulauan itu disifatkan sebagai syurga dunia kerana mempunyai kekayaan aneka flora dan fauna.

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong ketika berada di Mentawai selain berkunjung ke kawasan pantai ialah Air Terjun Simatobat yang mempunyai sebuah gua dikategorikan sebagai hidup.

“Di dalam gua itu terdapat stalaktit atau dikenali sebagai speleothem yang merupakan sejenis mineral sekunder yang tergantung di dinding-dinding gua batu kapur,” katanya.

Jelasnya lagi, gua itu turut mempunyai batuan stalakmit yang terbentuk menerusi titisan air dari dinding atas gua.

“Selain menjadi habitat kepada spesies burung layang-layang dan rusa, gua itu turut menjadi lokasi haiwan-haiwan lain seperti kera serta monyet.

“Kehijauan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan yang berada di sekitar gua juga dilihat berpotensi untuk dikembangkan, sekali gus menarik kedatangan pelancong yang meminati ekopelancongan,” ujarnya.

Mengetahui potensi besar yang terdapat di Desa Bulasat, Kecamatan Pagai Selatan, pihak pemerintah tempatan mengambil langkah proaktif dengan melakukan pelbagai pembangunan di sekitar kawasan Air Terjun Simatobat bagi dibangunkan sebagai lokasi pelancongan popular.

Bupati Kepulauan Mentawai, Yudas Sabagallet berkata, pelancongan merupakan salah satu sektor yang diberi perhatian luas oleh pihak pemerintah kerana mampu menjana kepada perkembangan ekonomi setempat.

“Oleh itu, kami sedang berusaha keras untuk menyediakan kemudahan infrastruktur sebaiknya bagi memudahkan pelancong apabila berkunjung ke sana.

“Tidak dinafikan wilayah Pagai Selatan masih kurang membangun berbanding wilayah lain di Indonesia. Namun, dengan adanya pelbagai potensi pelancong, ia diharap mampu berkembang,” jelasnya.

Undang-undang

Yudas menambah, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa jabatan lain untuk mendapatkan hak untuk meneroka hutan di wilayah tersebut bagi tujuan penyediaan infrastruktur.

“Setakat ini, pihak kami telah menerima maklum balas daripada Jabatan Hutan Mentawai berhubung undang-undang penerokaan hutan dan akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan bersama pihak pemerintah dalam masa terdekat.

“Bagi tujuan penerokaan Air Terjun Simatobat, kawasan itu perlu diklasifikasikan sebagai kawasan ekosistem penting dan bernilai tinggi terlebih dahulu bagi memelihara sumber semula jadi daripada rosak teruk,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hutan Sumatera Barat, Hendri Octavia memberitahu, Air Terjun Simatobat akan ditetapkan sebagai kawasan ekosistem penting dan bernilai tinggi bagi memelihara alam semula jadinya.

“Penetapan itu juga bertujuan untuk memastikan masyarakat setempat sentiasa menjaga keindahan kawasan berkenaan meliputi pelbagai aspek dalam usaha melindungi khazanah alam tempat berkenaan.

“Kebiasaannya, usaha untuk memajukan sektor pelancongan harus mengambil kira langkah bagi memelihara sesuatu perkara sama ada tempat, masyarakat, budaya, seni dan pemerintah,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan pihak pemerintah sebelum mengiktiraf sesuatu kawasan penting ekosistem dan mempunyai nilai tinggi.