Selain menjamin sekuriti makanan, sektor agro makanan menyediakan pelbagai ruang dan peluang yang boleh diterokai.

Ia bagi mewujudkan sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat besar bukan sahaja kepada sosioekonomi petani, penternak dan nelayan tetapi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, kerajaan komited untuk memperuntukkan sejumlah RM200 juta pada tahun ini bagi merancakkan lagi pembangunan sumber kekayaan baharu sektor agro makanan dengan pelaksanaan program pembangunan industri tenusu, jagung bijian dan industri kelapa yang dapat mengurangkan pergantungan negara kepada import.

Peruntukan ini juga akan digunakan untuk pembangunan komoditi durian dan nanas serta program galakan pemasaran serta eksport bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport selain meneroka pembangunan industri kulinari yang boleh mencipta permintaan baharu kepada hasilan pertanian tempatan.

Keprihatinan

Jabatan Pertanian melalui beberapa projek pembangunan akan berusaha meningkatkan pengeluaran tanaman makanan bagi mengurangkan pengimportan buah-buahan yang bernilai sebanyak RM3.7 bilion dan sayur-sayuran (RM5 bilion) pada tahun 2016.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu ke arah memperkasakan sektor pertanian jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha meningkatkan taraf hidup petani, penternak serta nelayan di negara ini.

Ini seiring dengan kepentingan peranan golongan itu dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan, selain daripada memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan keupayaan negara menghasilkan bekalan sendiri melalui peningkatan kapasiti pengeluaran pelbagai produk pertanian seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Sektor pertanian perlu diteroka dengan lebih mendalam supaya bidang ini boleh mencipta sumber kekayaan untuk rakyat dan negara.

Pemain industri pertanian perlu berpanda­ngan global dan mencipta kekayaan menerusi sektor itu dengan hanya tidak tertumpu pada peringkat tempatan.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, pemain industri perlu lebih proaktif dan berpandangan jauh selain menggunakan teknologi semasa untuk memastikan hasil yang lebih lumayan serta berdaya saing.

Sudah tiba masanya bidang pertanian mampu melahirkan lebih ramai usahawan dan mereka yang mampu menjadi jutawan dengan menjana kekayaan menerusi hasil pertanian.