Persekitaran di kebanyakan kota di negara republik tersebut seperti Jakarta, Medan dan Lampung kebiasaannya dipenuhi dengan asap-asap motosikal, namun pencemaran seperti itu tidak berlaku di Agats.

Meskipun ramai penduduknya menggunakan motosikal dalam setiap urusan seharian mereka, namun kota tersebut tetap bebas daripada sebarang pencemaran bunyi serta tidak diselubungi asap hitam seperti bandar-bandar yang lain.

Ketua Daerah Agats, Mgr. Aloysius Murwito berkata, persekitaran di kota tersebut dapat dikekalkan sedemikian selepas pihaknya memperkenalkan kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik.

“Idea memperkenalkan mod pengangkutan seperti ini tercetus selepas melihat keadaan jalan raya di sekitar Kota Agats berbeza berbanding di kebanyakan kawasan lain kerana jalan raya diperbuat daripada papan serta dibina di atas tiang.

“Keadaan jalan kayu itu sangat sempit sehingga tidak boleh dilalui oleh kenderaan bermotor terutamanya yang bersaiz besar. Ada pelbagai kemungkinan akan berlaku seperti jalan runtuh jika kenderaan berat melalui jalan tersebut,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Murwito memberitahu, sebelum ini ada penduduk menggunakan motosikal dijana kuasa minyak petrol, namun disebabkan masalah sukar mendapatkan bekalan menyebabkan mereka mula beralih kepada kenderaan berkuasa elektrik.

“Ekoran daripada masalah itu, 
rata-rata penduduk di sini telah bersepakat untuk menggunakan motosikal elektrik sahaja. Sejak itu, kenderaan yang menggunakan minyak petrol tidak digunakan lagi.

“Meskipun ketika ini pemerintah setempat telah membina jalan baharu diperbuat daripada batu kerikil, namun disebabkan kelebarannya tidak melebihi tiga meter, penggunaan motosikal elektrik masih diteruskan,” jelasnya.

Kenderaan elektrik yang digunakan penduduk di kota tersebut dibeli dari Kota Surabaya dan Jawa Timur.

Bagaimanapun, kos keseluruhan bagi membeli kenderaan cekap tenaga itu termasuk bayaran penghantaran ke kota Agats tidak dapat dipastikan jumlah sebenar.

“Sebelum ini juga, bekas Bupati Asmat turut menggunakan buggy untuk menjalankan tugas hariannya, namun telah beralih kepada penggunaan motosikal elektrik sewaktu bertugas,” ujarnya.

Jaringan perhubungan

Kedudukan geografi Kabupaten Asmat yang terletak di kawasan tanah rendah turut menyebabkan pemerintah perlu membelanjakan peruntukan yang besar untuk membangunkan kemudahan infrastruktur termasuk jaringan jalan raya lengkap.

“Memandangkan kebanyakan penduduk di sini tinggal di kawasan pinggir sungai, kami mencadangkan kepada pihak pemerintah untuk mengembangkan pengangkutan air yang disifatkan lebih murah serta memudahkan masyarakat bergerak.

“Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mewujudkan Trans Papua bagi melancarkan jaringan perhubungan penduduk, namun usaha itu tidak melibatkan penduduk di Asmat,” katanya.

Menurut Bupati Asmat, Elisa Kambu, perjalanan dari Lapangan Terbang Ewer ke Kota Agats mengambil masa kira-kira 20 minit dengan bot ekspres.

“Pengusaha bot ekspres perlu menggunakan bahan bakar kira-kira 30 liter untuk perjalanan itu. Kosnya agak mahal, sekali gus menyebabkan tambang yang dikenakan kepada rakyat juga tinggi.

“Kami tidak mempunyai jaringan pengangkutan darat yang menghubungkan antara satu daerah dengan yang lain. Penduduk hanya menggunakan bot ekspres jika mahu bergerak ke sesuatu tempat,” ceritanya.

Ada sesetengah penduduk masih menggunakan sampan kayu tradisional sekiranya mahu berkunjung ke sesuatu tempat ataupun untuk keluar mencari sagu dan gaharu.

Jalan udara

Orang Asmat turut dikenali sebagai masyarakat pemburu dan pengutip hasil hutan berikutan komuniti berkenaan menjalani kehidupan tradisional di kawasan rendah berdekatan sungai selatan Papua.

Secara umumnya, kehidupan mereka hanya mencari hasil hutan seperti sagu dan gaharu selain memancing ikan di sungai demi meneruskan kelangsungan hidup.

Elisa turut mengakui sebilangan penduduk juga sudah mula mengusahakan aktiviti berkebun dengan menanam sayur-sayuran seperti kangkung dan bayam.

“Dalam pada itu, hanya terdapat dua pintu masuk utama sekiranya ingin berkunjung ke Asmat iaitu melalui jalan udara dari Timika ke Lapangan Terbang Ewer menggunakan pesawat ringan.

“Buat masa ini, lapangan terbang tersebut hanya mempunyai kepanjangan landasan kira-kira 600 meter (m). Pun begitu, pemerintah sedang berusaha untuk memanjangkannya kepada 1,200m bagi membolehkan pesawat besar mendarat,” jelasnya.

Pintu masuk menerusi jalan laut ke Asmat pula hanya melibatkan laluan kapal dari Tual, Merauke, Timika dan Surabaya. Keadaan itu menyebabkan penduduk di sana agak ketinggalan berbanding masyarakat di wilayah-wilayah lain.

Justeru, Elisa mengharapkan pihak pemerintah membangunkan lebih banyak kemudahan infrastruktur di situ seterusnya mewujudkan jaringan perhubungan lebih luas antara Asmat dan wilayah-wilayah lain di Indonesia.