Pek baharu itu merangkumi empat variasi but Adidas iaitu Nemeziz 18+, Predetor 18+, X 18+ dan Copa 18 sempena permulaan baharu liga-liga utama di Eropah.

Sempena pelancaran berkenaan, Adidas menghadiahkan but terbaharu itu kepada pemain pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 13 tahun (B-13) dan Bawah 14 tahun (B-14) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Pengurus Komunikasi Jenama dan Pemasaran Sukan Adidas di Malaysia, Cheng Yik Hoong berkata, pihaknya sentiasa menghargai pemain-pemain muda yang mempunyai bakat dalam bola sepak.

Jelasnya, pihaknya percaya mereka mampu mengharumkan nama negara sekali gus mendorong Adidas memberi sokongan kepada pasukan remaja tersebut.

“Melalui teknologi yang ada pada but keluaran Adidas ini, kami berharap pek Team Mode dapat membantu memberikan keselesaan dan kuasa kepada pemain AMD.

“Ini bukanlah kali pertama Adidas menaja AMD. Sebelum ini, kami menaja kelengkapan sukan dan kit rasmi pasukan ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Turut hadir, tiga pemain B-13, Hazriq Haqqim Mohd. Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish.

Mereka bertiga pernah dijemput menyertai pasukan B-13 Paris Saint Germain di Perancis dalam satu kejohanan pada Jun lalu.

Pengarah Kejurulatihan dan Pencarian Bakat PPBN, Yaakub Husaini memaklumkan, pihaknya cukup menghargai segala usaha yang dilakukan oleh Adidas dan Football Republic kepada pasukan AMD.

“Saya berharap pemberian ini dapat menjadi satu lonjakan semangat kepada pemain-pemain untuk terus berusaha memartabatkan bola sepak negara. Terima kasih Adidas atas sokongan kepada PPBN,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, pemain profesional tempatan, Shahrol Kalam dan Jafri Firdaus Chew turut hadir berkongsi pengalaman mengenakan but Adidas sepanjang karier mereka.

Maklumat lanjut mengenai produk Team Mode boleh diperoleh dengan melayari laman web, adidas.com/football atau #adidasMY menerusi Instagram dan Twitter.