TRUMP
TRUMP

Knightfall mengisahkan perjuangan Knights Templar iaitu tentera gereja Kristian yang menentang tentera Islam dalam peperangan merebut Baitulmuqaddis pada abad 11 hingga 13. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila Hollywood menerbitkan filem mengenai Knights Templar tetapi pelancaran drama Knightfall pada tarikh yang sama di seluruh dunia (termasuk di Malaysia) serentak dengan pengisytiharan Trump boleh mengundang andaian bahawa ia bukanlah sekadar kebetulan.

Knightfall bahagian pertama mengisahkan kekalahan Knights Templar mempertahan Baitulmuqaddis dan melindungi orang-orang Yahudi khususnya di kota suci itu. Belum diketahui apakah natijah kandungan episod-episod selanjutnya tetapi bahagian pertama jelas memberitahu penonton bahawa wira-wira Kristian juga berhak mempertahankan orang-orang Yahudi.

Musuh tradisi

Bagaimanapun judul siri itu membayangkan seolah-olah kisahnya menjurus kepada zaman kejatuhan Knights Templar yang gagal mengalahkan pasukan tentera Islam diketuai panglima terkenal Salahuddin Al-Ayubbi.

Adakah mesej sebenarnya untuk mengingatkan orang-orang Kristian dan Yahudi bahawa orang-orang Islam adalah musuh tradisi sejak zaman berzaman? Kepada orang-orang Islam, janganlah lupa bahawa Israel diwujudkan secara paksa di bumi Palestin pada tahun 1948 oleh pakatan Kristian United Kingdom kini Britain dan Yahudi Zionis yang diketuai keluarga Rothchild yang mempelopori serta menguasai perbankan konvensional dunia bermula di Eropah.

Melalui sistem kewangan dan ekonomi yang dikuasai oleh kumpulan Zionis berpangkalan di AS sekarang, mereka cuba menguasai politik dunia melalui penguasaan ke atas pimpinan politik negara gergasi tentera itu. Dilaporkan bahawa jumlah Yahudi AS adalah lebih kecil daripada jumlah rakyatnya yang beragama Islam tetapi pengaruh mereka sangat dominan.

Ramai Yahudi Zionis memegang jawatan penting dalam pemerintahan AS, sektor kewangan antarabangsa dan media termasuk akhbar, media sosial, filem dan televisyen yang dikuasai oleh negara itu.

Apa yang berlaku, termasuk pembentukan Israel, dipercayai oleh ramai penganalisis politik antarabangsa bahawa ia dirancang oleh satu pakatan sulit Yahudi Zionis antarabangsa. Ramai yang melontarkan teori bahawa pertubuhan yang berkaitan ialah Illuminati dan Freemason.

Maka pengisytiharan Trump bahawa AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel tidak seharusnya mengejutkan dunia Islam. Sejak awal pemilihannya sebagai Presiden AS, Trump tidak menyembunyikan sikap anti-Islam berbanding para penjawat sebelumnya.

Namun, banyak pemimpin negara Islam bukan sahaja bersikap ‘tidak apa’ terhadap Trump, malah cuba merapatkan hubungan dengannya atas kepentingan ekonomi dan politik.

Hanya setelah Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, barulah tersentak pemimpin-pemimpin negara Islam.

Kebetulan pula Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) ialah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berpendirian tegas dalam isu-isu yang melibatkan maruah Islam. Lalu Erdogan menganjurkan sidang tergempar OIC di Istanbul baru-baru ini bagi menyatakan pendirian terhadap pengiktirafan Trump.

Hasilnya, kesemua 57 negara anggota OIC termasuk Malaysia mengisytiharkan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, menolak tindakan AS sebagai ‘berbahaya’ dan menyeru masyarakat antarabangsa mengambil langkah yang sama.

Pendirian itu juga sejajar dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2016 bahawa Israel tidak mempunyai hak ke atas Baitulmuqaddis Timur. Di situlah terletaknya Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam. OIC juga mengisytiharkan bahawa AS kini tidak layak menjadi pendamai antara Palestin dan Israel kerana ia memihak kepada negara Yahudi. Walaupun isu pencerobohan dan kekejaman Israel ke atas Palestin dijuarai oleh negara-negara Islam, masyarakat antarabangsa lebih wajar melihatnya dari sudut kemanusiaan.

Keangkuhan AS disebabkan kekuatan tenteranya jelas ketara melalui peperangan Vietnam dan Korea atas alasan mempertahankan demokrasi.

Prinsip

Namun, pembabitan mereka dalam krisis berdarah yang tidak berkesudahan di Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria membangkitkan pertanyaan adakah AS sebenarnya sangat memusuhi Islam? Selepas peristiwa 9/11, sukar untuk melupai amaran Presiden George W. Bush yang jelas ditujukan kepada masyarakat Islam:

“Sama ada anda memihak kepada kita (AS) atau anda bersama mereka (musuh AS).”

Maksudnya, sesiapa yang tidak memihak kepada AS akan dianggap sebagai musuh, sama seperti pengganas yang meletupkan bangunan World Trade Centre.

Apakah Trump juga akan berpegang kepada prinsip yang sama dengan Bush dalam isu Baitulmuqaddis? Jika Trump mahu meneruskan dasar angkuh itu, apakah pula reaksi seterusnya negara-negara anggota OIC?

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Al-Ma’idah:51)

Lihatlah nanti siapa pemimpin Islam yang benar-benar beriman atau munafik.