Aceh yang terletak di bahagian utara Pulau Sumatera mempunyai kawasan tanah yang subur selain sistem pengairan sistematik, sekali gus sesuai untuk penanaman kacang soya secara komersial.

Kementerian Pertanian Indonesia juga bukan sahaja mahu menjadikan Aceh sebagai pengeluar utama kacang soya di negara itu tetapi berhasrat mengeluarkan bijian yang berkualiti setanding negara-negara antarabangsa lain.

Pengarah Budidaya Aneka Kacang dan Umbi Kementerian Pertanian, Maman Suherman berkata, sasaran yang ditetapkan pemerintah pada tahun 2014 iaitu mewujudkan kawasan penanaman seluas 26,000 hektar disifatkan mampu untuk dicapai.

“Ketika ini, kawasan tanah kosong yang terdapat di Pulau Jawa semakin berkurangan. Atas sebab itu, pihak pemerintah memilih Aceh sebagai wilayah untuk membangunkan sektor pengeluaran kacang soya nasional.

“Meskipun kacang soya pernah mengalami kemerosotan jualan disebabkan harga rendah, program pemerkasaan semula yang dilaksanakan diharap mampu meningkatkan populariti tumbuhan itu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Jualan

Bagaimanapun, Maman menjelaskan, jualan kacang soya kembali pulih sejak tahun 2010 selepas pihak pemerintah memperkenalkan program Bangkit Kacang Soya dengan memberikan benih berkualiti secara percuma kepada petani.

“Jadi, tidak ada lagi masalah seperti harga jualan menjunam sehingga Rp7,000 (RM1.95) sekilogram. Harga yang ditawarkan kini semakin stabil, sekali gus memberi lebih keuntungan.

“Agensi pertanian juga disarankan untuk sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan setiap petani menggunakan benih berkualiti serta teknologi tanaman yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Hasrat untuk menjadikan Aceh sebagai pengeluar kacang soya berkualiti di Indonesia juga disifatkan mampu dicapai berdasarkan kesungguhan yang dipamerkan petani dalam menanam tumbuhan tersebut.

Meskipun permintaan terhadap kacang soya di Indonesia sebanyak dua juta tan setahun, pengeluaran tumbuhan itu hanya sekitar 900,000 tan, sekali gus perlu diimport bagi memenuhi keperluan rakyat.

Sementara itu, Gabenor Aceh, Zaini Abdullah memberitahu, agensi pertanian tempatan perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa melakukan pemantauan bagi meningkatkan hasil pengeluaran kacang soya di wilayah berkenaan.

“Selain dikurniakan kawasan tanah yang subur, Aceh Timur juga masih mempunyai tanah yang luas dan sesuai untuk penanaman kacang soya secara komersial.

“Menariknya, kacang soya juga pernah menjadi primadona di Aceh Timur suatu ketika dahulu berikutan kualitinya disifatkan sebagai antara yang terbaik di Indonesia. Jadi, kita perlu mengembalikan kegemilangan itu,” ujarnya.

Zaini menambah, pemerintah tempatan juga sedang berusaha meningkatkan hasil pengeluaran kacang soya bagi memenuhi permintaan dalam proses pembuatan makanan seperti tempe dan tauhu seterusnya mengurangkan import bahan mentah tersebut.

Pengeluaran

Dalam pada itu, Bupati Aceh Timur, Hasballah M. Thaib memberitahu, langkah kerajaan memperkenalkan kawasan tanaman kacang soya seluas 26,000 hektar di Aceh merupakan satu tindakan tepat.

“Justeru, saya harapkan agar semua petani yang terlibat dengan program tersebut dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan membolehkan hasrat kerajaan dicapai.

“Agensi pertanian juga perlu menyediakan pelbagai bantuan bagi meningkatkan pengeluaran kacang soya yang ditanam di Aceh Timur dengan melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar,” jelasnya.

Kawasan penanaman kacang soya di Aceh Timur meliputi kawasan seperti Kecamatan Peunaron, Serbajadi dan Pante Bidari.

Jelas Hasballah lagi, pengeluaran kacang soya yang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini turut dipengaruhi oleh kesungguhan petani selain penggunaan teknologi moden serta canggih.

“Bukan sahaja kacang soya yang mengeluarkan hasil memberangsangkan ketika ini tetapi tumbuhan lain seperti jagung dan padi turut berbuat demikian. Ini merupakan nikmat atas budi yang diberikan kepada tanah.

“Dalam pada itu, ketika musim kemarau bermula April hingga Jun lalu, sebanyak 307 tan benih telah ditanam dengan melibatkan kawasan seluas 6,149 hektar,” katanya.

Penanaman ketika musim kemarau lalu dengan melibatkan kawasan di pelbagai kecamatan turut berjaya mengeluarkan sebanyak 6,000 tan benih serta ia akan digunakan bagi sesi seterusnya.

“Kami juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutamanya pemerintah tempatan agar hasrat untuk menjadikan Aceh sebagai pengeluar utama kacang soya Indonesia dapat direalisasikan.

“Selain itu, petani terlibat juga perlu mempersiapkan diri bagi menerima konsep penggunaan teknologi terkini seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran mereka,” jelasnya.