Projek yang dinamakan Caterpillar Project itu bertujuan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak tersebut sebelum memasuki sekolah rendah.

Lebih menarik, kanak-kanak itu merupakan anak-anak daripada keluarga-keluarga miskin di kampung-kampung berhampiran kampus universiti berkenaan.

Sesi pengajaran dikendalikan oleh pelajar-pelajar Sekolah Pendidikan universiti itu di prasekolah-prasekolah atau tadika-tadika di sekitar Kampung Lindungan dan Kampung Ghandi, Petaling Jaya.

Ketua Sekolah Pendidikan, Universiti Taylor’s, Dr. Logendra Ponniah berkata, projek itu memberikan kanak-kanak prasekolah peluang yang baik dalam hidup mereka untuk mempelajari kemahiran asas yang diperlukan di sekolah seperti membaca, menulis dan mengira.

“Kemahiran-kemahiran inilah paling mustahak kerana ia merupakan kunci kepada pembelajaran dan akses ilmu.

“Sebagai pendidik, saya percaya pendidikan boleh memecahkan kitaran kemiskinan. Jadi, projek ini menyasarkan kanak-kanak prasekolah daripada keluarga miskin untuk memberi mereka peluang pendidikan,” kata Logendra.

Beliau mengetuai projek itu dengan kumpulannya yang terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya Universiti Taylor’s, Chandra Sakaran Khalid; Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Hema Letchamanan serta Penyelaras Strim Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya Universiti Taylor’s, Pauline Teo.

Caterpillar Project telah bermula sejak September tahun lalu dan berterusan sehingga kini. Kelas diadakan setiap Jumaat.

“Di Universiti Taylor’s kami percaya kepada usaha memperkasakan warga muda untuk bermimpi di luar horizon. Banyak kanak-kanak tidak bernasib baik telah diragut peluang untuk bermimpi kerana mereka tidak menyedari apa yang mereka mampu capai,” terang Logendra.

Tambahnya, ‘guru-guru muda’ itu yang berpengalaman mengajar di sekolah-sekolah antarabangsa dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda menggunakan pengajaran pelbagai deria untuk mendekati murid-murid. Salah satu kaedah pengajaran berkesan ialah melibatkan permainan dan muzik.

“Selain memberi faedah kepada kanak-kanak prasekolah dalam komuniti, Caterpillar Project juga menyasarkan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar kita sendiri untuk mengajar dalam suasana berlainan.

“Kebanyakan pelajar kami mendapati projek ini lebih bermakna daripada pengalaman pengajaran biasa apabila dapat membantu kanak-kanak yang masih buta huruf mempelajari kemahiran asas yang diperlukan di sekolah,” kata Logendra.