Penyampaian sijil Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam Malaysia Kali ke-15, 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, pelatih USIM merupakan sebahagian daripada 1,167 pelatih Kor Suksis membabitkan 19 buah universiti awam yang menerima sijil lantikan berkenaan.

Tiga pelatih USIM turut menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelatih Usim, Mohamad Zaim Muslim ketika ditemui melahirkan rasa gembira apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan.

“Ini merupakan penghargaan kepada diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan pelatih atas segala pengorbanan selama menjalani latihan yang panjang.

“Saya mewakili rakan Skuad 11 turut terhutang budi pada barisan pegawai kehormat, pegawai dan jurulatih Kor Suksis USIM yang sentiasa menyokong kami tanpa lelah,” ujar penuntut jurusan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah itu dalam satu kenyataan.

Rakannya, Mohd. Zulfiqar Jamudin yang mengambil jurusan sama turut menerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Anugerah Pelatih Terbaik Akademik pula diterima oleh Jnur Asilawati Baha’uddin yang mengikuti pengajian Fiqh dan Fatwa.

Perbarisan

Mengangkat tema Suksis Cemerlang, PDRM Unggul pada tahun ini, ia dimulakan dengan perbarisan tamat latihan di Padang Kawad USM pada sebelah pagi diikuti dengan penyampaian sijil pentauliahan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis di Dewan Tuanku Syed Putra USM.

Sementara itu, Mazlan semasa menyampaikan ucapan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelatih kerana berjaya menjalani latihan pentauliahan dengan cemerlang.

“Saya berharap melalui Kor Suksis tersebut dapat melahirkan lebih ramai pewaris negara yang berilmu kepolisan dalam berhadapan cabaran masa kini dan hadapan.

“Pelatih juga dinasihatkan agar menjauhi aktiviti sosial yang tidak berfaedah serta sentiasa mendekati rakan-rakan mahasiswa di kampus,” tegasnya.

Bersempena majlis pentauliahan kali ini, turut dilancarkan Silibus Latihan Kor Suksis Universiti Awam yang baharu menggantikan silibus yang sedia ada bermula semalam.

Silibus baharu itu mengandungi modul-modul yang telah dikemas kini, memenuhi keperluan semasa dan selari dengan penggubalan akta dan undang-undang terkini.

Dalam majlis pentauliahan itu, siswa Universiti Malaya, Muhammad Rasid Guliling menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Khas Ketua Polis Negara (Pelatih Terbaik Keseluruhan), manakala Anugerah Khas Ketua Polis Negara (Skuad Terbaik) dirangkul oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).