Benar, setiap kisah cinta mempunyai ranjau yang tersendiri.

Setiap gaun di Bernard Chandran Bridal Collection juga menceritakan warna-warni kehidupan yang begitu unik menerusi inspirasi, rekaan dan inovasi.

Nama pemilik dan perekanya, Datuk Bernard Chandran tidak asing lagi dalam radius fesyen pakaian pengantin.

Legasinya yang penuh karisma menjadikan setiap koleksi rekaan yang diperkenalkan pasti mendapat perhatian ramai termasuk koleksi pakaian pengantin yang diperkenalkan baru-baru ini iaitu Your Dream.

Jelas Chandram, koleksi Your Dream diinspirasikan daripada tiga gambaran wanita moden yang berjalan menyusuri ambang perkahwinan membawa personaliti tersendiri.

Tema pertama yang diketengahkan ialah pengantin perempuan cerita dewa-dewi, sesuai untuk mereka yang mahukan gerbang perkahwinan penuh romantis dan fantsi.

Tema kedua pula ialah pengantin perempuan vintaj yang menyatukan elemen gaya moden persalinan busana perkahwinan.

Tidak kurang juga dengan tema ketiga yang menampilkan karakter pengantin perempuan kontemporari yang menyerlahkan kualiti fesyen busana perkahinan yang ranggi.

“Setiap perkahwinan itu merupakan sesuatu yang dianggap sangat peribadi.

“Disebabkan itu, saya faham betapa telitinya pendapat individu mengenai idea penghasilan sepersalinan gaun sempurna.

“Justeru itu, saya sahut cabaran ini dan hadirkan idea-idea baharu yang segar demi menghasilkan gaun ideal untuk setiap pelanggan saya,” ujarnya yang telah berkecimpung dalam industri fesyen tanah air lebih 25 tahun.

Setiap gaun itu dihasilkan dengan perincian yang ekstrem termasuk penggunaan tekstur yang mengagumkan.

Ia disempurnakan dengan kilauan mutiara, tatahan kristal dan sulaman manik perak.

Selain itu, gaun tersebut juga diberi sentuhan penuh karisma Chandran menerusi perincian ilusi renda telus.

Menariknya koleksi ini, ia menampilkan baju dalam bersulam, jaket unik dengan perincian renda, bukaan belakang, satin bercorak lukisan tangan, skirt berbelah bersama renda nipis.

Koleksi Your Dream didatangkan dengan palet warna menarik seperti putih, putih sejuk dan emas champagne yang menyerlahkan pasangan pengantin.

Bagi pasangan pengantin yang mahu tampil ranggi di atas pelamin, Chandran juga menampilkan warna-warna seperti merah, biru dan hitam menawan.