Hanya mengenakan pakaian monotone (satu warna) berwarna hitam, figura jelita itu ternyata mempunyai aura tersendiri.

Ibu kepada Imaan Hanna Mikayla, 11, itu menjadi tumpuan banyak mata yang mengagumi kejelitaannya.

Walaupun sering tampil di kaca televisyen, pemilik nama Siti Mizalwa Idris ini bukanlah selebriti atau orang kenamaan tetapi merupakan seorang perunding imej profesional serta korporat.

Lebih dikenali sebagai Wawa Idris, pemilik syarikat perundingan dan pembinaan imej, Wow Virtue Sdn. Bhd., itu mahu mencari ulam-ulaman di pasar raya tersebut. Antara ulam kegemarannya ialah pucuk betik, petai, jering dan kubis segar.

Menurut Wawa, dia percaya salah satu amalan mencantikkan diri secara semula jadi ialah dengan pengambilan ulam.

Tidak hairanlah, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu memiliki kulit yang cerah, cantik, bentuk badan menawan dan sentiasa aktif walaupun pada usia 41 tahun.

Ceritanya, dia mula menjaga kecantikan sejak usia kanak-kanak lagi atas dorongan ibu tercinta, Hafsah Abu Bakar, 75.

“Saya mengamalkan pemakanan ulam sejak berusia enam tahun kerana mengikut amalan ibu.

“Ulam adalah hidangan wajib kami sekeluarga kerana bagi ibu ia adalah supplement (makanan tambahan) utama dalam memastikan kesihatan kami adik-beradik sentiasa terjaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di D’Pandan Avenue, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Itu antara butir bicara awal Wawa ketika ditanya rahsia kecantikan diri yang seolah-olah tidak dimakan usia.

Figura dengan ketinggian 163 sentimeter dan berat badan 55 kilogram itu mula menunjukkan minat dalam gaya serta kecantikan kerana ibunya sendiri.

Ibunya digelar Saloma dalam kalangan kejiranan di Bangsar kerana gemar bergaya dan sentiasa anggun.

“Baju kebaya dengan batik panjang adalah pakaian rasmi ibu. Wajahnya sentiasa disolek cantik dengan gincu yang menaikkan seri.

“Tidak pernah saya melihat ibu membiarkan wajahnya pucat. Jarang juga melihat ibu berselipar kerana bagi ibu, penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki adalah sama penting.

“Saya juga terdorong mengenakan solekan dan cerewet memilih pakaian walaupun baru berusia tujuh tahun,” ujarnya mengimbau detik timbul minat dalam bidang imej dan gaya.

Kesannya, sehingga kini, Wawa menjadikan gincu sebagai perkara wajib dipakai walaupun tidak mengenakan sebarang solekan ketika bersantai seperti ke pasar malam.

“Hanya dengan satu calitan nipis di bibir, ia sudah memadai untuk menampakkan anda cantik dan yakin,”ujarnya berkongsi sedikit tip.

Tutur anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik itu, dia sangat bersyukur kerana sudah diasuh sejak kecil mengenai kepentingan menjaga imej.

Profesion

Rutin hariannya sejak dahulu sehingga kini memudahkan perjalanan empayar perniagaan konsultasi imej yang dibina sejak enam tahun lalu.

Lebih manis, profesion perunding imej itu juga terhasil daripada imejnya yang sentiasa mengutamakan gaya dan kecantikan.

Pernah berkhidmat dengan salah sebuah syarikat korporat di ibu negara sebagai eksekutif pemasaran, Wawa sentiasa membawa imej anggun ke mana-mana sahaja.

Meskipun ketika bergelar pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia, dia akan memadankan seluar slack bersama kemeja tidak bercorak dengan aksesori kerongsang di dada.

Justeru, apabila meminta pandangan rakan mengenai apa yang hendak dilakukan selepas tamat belajar, ramai kenalannya mencadangkan supaya menceburi bidang pembinaan imej.

Sejak itu, Wawa mula serius menghadiri seminar anjuran perunding imej tersohor nagara seperti Evelyn Cheng dan Sheila Wong.

Dia kemudian mengikuti pengajian Diploma Style Coach di Style Coaching Institute, London, sekali gus diiktiraf sebagai perunding imej bertauliah bermula tahun 2012.

Mengakui bimbang berdepan kesukaran menonjolkan diri pada awal pembabitan, Wawa bijak menghulur salam ‘perkenalan’ dengan imej berturban.

Ia bermula ketika Wawa perlu melaksanakan kelas rundingan imej kepada lebih 20 orang tetamu untuk melengkapkan silibus bagi melayakkannya menerima sijil tauliah.

“Pada waktu itu, saya tercari-cari satu imej yang membolehkan saya dikenali di celah-celah golongan mereka yang sudah lama dalam bidang ini.

“Saya mula mencari di internet dan akhirnya tertarik dengan penggayaan turban yang kebanyakannya digayakan oleh wanita Afrika.

“Menggunakan sehelai selendang, saya mula melilit di sekitar kepala. Imej itu kekal sehingga sekarang,” katanya sambil mengakui, dia lebih dikenali kerana kelainan itu.

Menggunakan Imej Patik sebagai jenama perkhidmatannya, Wawa menyifatkan dia sebagai seorang yang menggemari gaya klasik dan ringkas.

Jelasnya, kebanyakan pakaian yang dipilih adalah daripada warna asas dengan corak sangat minimum.

Tambahnya, gaya klasik tidak tertumpu kepada pakaian tradisional semata-mata tetapi dari segi kesederhanaan dalam bergaya.

Atas sebab itu, dia tidak keberatan memilih pakaian yang murah dan tidak berjenama asalkan indah pada tubuh badan.

“Paling penting, pilih pakaian yang memberi keyakinan kepada anda kerana hanya keyakinan dapat menyerlahkan personaliti diri,”ujarnya.

Menariknya tentang Wawa, pembinaan imej turut membuka peluang untuk menjalankan perniagaan produk kecantikan.

Barisan produk yang pertama terdiri daripada tisu lembab yang berfungsi menanggalkan solekan dan memudahkan solat, Imaan Wet Tissue.

Istimewanya, kesemua produk yang dikeluarkan adalah diiktiraf halal dan selamat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wawa menambah, dia sangat mementingkan perkara itu kerana mengambil kira keperluan terutamanya wanita Muslimah sebagai golongan majoriti di negara ini.

Buka peluang

“Apabila menjalankan kursus, ramai pelanggan wanita Muslim mengadu kurang gemar bersolek kerana sukar menanggalkan solekan untuk bersolat.

“Lantaran itu, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan Imaan Wet Tissue yang diyakini bersih dan suci untuk wanita di luar sana,”jelasnya.

Sehingga kini, dia sudah mempunyai sepuluh produk termasuk empat jenis tisu basah, bedak asas Iman Jardin, teh detoks dan empat produk untuk rambut.

Wanita berjiwa besar ini juga berbangga kerana dapat membuka peluang kepada ramai wanita untuk menceburi bidang perniagaan.

Di bawah jenama produk Wow Mission Sdn. Bhd., terdapat lebih 2,000 orang ejen berdaftar di seluruh Malaysia.

Tiada apa yang lebih menggembirakan Wawa apabila ada antara ejen yang digelar Angels mampu merubah hidup melalui jualan produk keluarannya.

Kemuncaknya, Wawa terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah The One Award baru-baru ini.

Penerima anugerah bagi kategori Women in Bussiness itu tidak menyangka, gaya dan imej yang menjadi keutamaan sejak kecil kini meletakkannya sebagai seorang yang disegani.

“Menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi kenangan yang paling indah dalam hidup saya.

“Ia memberi petanda bahawa, bidang perundingan imej dan kecantikan semakin mendapat tempat di negara ini,” tuturnya mesra.

Pesan Wawa kepada individu yang mahu menceburi bidang sama, carilah ilmu dan hapuskan rasa malu.

“Ramai dalam kalangan kita malu mempraktikkan ilmu kerana kurang cantik dan tidak yakin.

“Cantik hanya bonus. Kemahiran komunikasi, kreativiti dan keberanian adalah lebih penting untuk berjaya dalam bidang konsultasi imej,” ucapnya.

Penerima anugerah bagi kategori Women in Bussiness itu tidak menyangka, gaya dan imej yang menjadi keutamaan sejak kecil kini meletakkannya sebagai seorang yang disegani.