Cole Haan memperkenalkan kasut kasual yang ringan iaitu 2.Zerogrand with Stitchlite GrandPro dan Tennis with Stitchlite sempena musim bunga ini.

Kedua-dua koleksi itu didatangkan untuk golongan lelaki dan wanita.

Ia dipertingkatkan dengan keupayaan teknologi Grand.OS yang dibangunkan oleh label itu bagi menghasilkan kasut unggul yang bukan sahaja ringan tetapi selesa.

Ia memberikan pengalaman penuh bertenaga sebaik disarungkan pada kaki.

Menariknya, kedua-dua koleksi kasut itu mampu mengeluarkan cahaya dengan warna-warna menarik daripada permukaan fabrik.

Cetusan warna terang itu melambangkan peringkat baharu dan evolusi dalam teknologi Stitchlite.

Ia diperkenalkan sebagai lambang generasi kasut baharu tetapi pada masa sama masih mengekalkan ciri-ciri kasut klasik.

Pengudaraan

Sementara itu, inovasi Grand.OS memberikan kusyen yang lebih selesa, aliran pengudaraan yang baik serta ringan.

Zerogrand with Stitchlite didatangkan dalam pelbagai warna dan boleh didapati pada harga mulai RM899 untuk wanita manakala RM999 bagi lelaki.

Koleksi GrandPro Tennis with Stitchlite pula sangat sesuai buat penggemar kasut inspirasi sniker vintaj Cole Haan.

Ia merupakan sniker ringan dengan permukaan fabrik mudah bernafas, sesuai untuk golongan lelaki dan perempuan yang gemarkan aktiviti lasak.

Kasut yang dihasilkan untuk kedua-dua jantina itu boleh didapati pada harga mulai RM699 untuk wanita manakala RM799 bagi lelaki.

Cole Haan diasaskan oleh Trafton Cole dan Eddie Haan di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1928 dengan bermula sebagai label kasut lelaki.

Kini, rangkaian jenama itu telah memperkenalkan pelbagai produk pakaian lelaki dan wanita seperti kasut kasual, tali pinggang, hosieri, beg tangan, sarung tangan, skaf dan cermin mata di seluruh dunia.

Kunci kepada kejayaan bertapak selama lebih sembilan dekad itu adalah pegangan teguh pada komitmen terhadap elemen pembuatan, gaya yang tidak ketinggalan zaman dan inovasi rekaan yang dihasilkan.