Meskipun begitu, Nadirah terasa sedikit ralat kerana melihat kebanyakan pengusaha tidak menghasilkan produk penjagaan kulit organik.

Percaya dirinya mampu melakukan sesuatu untuk kebaikan komuniti setempat, Nadirah nekad mengusahakan produk penjagaan kulit sendiri iaitu pelindung matahari di bawah jenama Nadre sekitar 2016.

Setelah jenamanya itu semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat, Nadirah, dia mula tidak menang tangan untuk menguruskan perniagaannya itu seorang diri.

Dia juga tidak mempunyai masa yang cukup melayan pertanyaan pelanggannya di media sosial.

Sehinggalah pada April lalu, Nadirah dipertemukan dengan portal e-dagang BeautyBrowse.

“Sejak menggunakan BeautyBrowse, saya rasakan urusan perniagaan Nadre semakin lancar.

“Kebanyakan pengguna pun memuji betapa mudahnya berkomunikasi menerusi portal tersebut dan mendapatkan perincian produk yang diketengahkan,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

BeautyBrowse merupakan portal e-dagang dengan segmentasi dalam bidang penjagaan kecantikan.

Setiap syarikat turut menyatakan secara ringkas tentang produk dan latar belakang syarikat berkenaan.

Selain itu, bagi memudahkan pelanggan menggunakan portal tersebut ia turut dipecahkan kepada beberapa kategori seperti produk baharu, jenama, alat solek, produk mandian, minyak wangi dan produk penjagaan kulit.

Menurut Pengasas BeautyBrowse, Eyera Azlan, 29, idea untuk mengusahakan portal tersebut telah muncul sejak dua tahun lalu.

Ketika itu, Eyera baru sahaja menamatkan pelajaran dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Fesyen London, Britain.

Eyera yang gemar berdandan merasakan terdapat kelompongan dalam industri kecantikan tempatan sekembalinya dari perantauan.

“Semasa belajar di London, saya lihat ada banyak portal e-dagang dengan pengkhususan dalam bahagian penjagaan kecantikan.

Konsep

“Daripada situ, saya rasa terpanggil untuk membawakan konsep perniagaan sama sekembalinya ke tanah air dengan memberi fokus terhadap produk-produk kecantikan tempatan.

“Perlahan-lahan saya lakukan penyelidikan selama hampir enam bulan sebelum BeautyBrowse dapat direalisasikan,” kata gadis kelahiran Johor Bahru itu.

Kongsi Eyera, cabaran utama yang dilalui ketika itu ialah tidak banyak laman web yang boleh dijadikan rujukan.

Malah, proses mencari vendor itu juga diakui sukar kerana peniaga sendiri tidak dapat membayangkan rupa portal itu.

Menariknya, semasa membuat pertemuan dengan prospek vendor, Eyera hanya menggunakan slaid dalam penyampaian ringkas bersama klien.

Biarpun pada mulanya Eyera berhadapan dengan kesukaran sedemikian, kini terdapat lebih 40 jenama vendor daripada pelbagai segmen telah berhimpun di bawah portal BeautyBrowse dalam hanya lapan bulan beroperasi.

Perancangan

Pada hematnya, peningkatan jumlah vendor dalam portalnya itu adalah disebabkan penerimaan orang ramai terhadap medium e-dagang.

Menginjak usia setahun pada April ini, Eyera berazam mahu mengumpulkan sehingga 100 vendor menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, Eyera mahu memperkenalkan BeautyBrowse dalam bentuk aplikasi telefon pintar serta memiliki butik fizikal sendiri.

Malah, selain hanya menumpukan terhadap kategori wanita, BeautyBrowse mahu memiliki pelbagai variasi produk lelaki dan bayi.

Eyera percaya hasrat tersebut boleh dicapai dalam masa kurang daripada dua tahun lagi.

Eyera yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya berasa sangat gembira kerana dapat membantu merancakkan lagi industri kecantikan tanah air.

Portal BeautyBrowse dilihat sebagai satu platform untuk menghubungkan pemilik pengusaha produk kecantikan tempatan dengan khalayak secara lebih berkesan.

Sementara itu, jenama lain yang turut bersama-sama mengikuti BeautyBrowse selama hampir enam bulan ialah Siy+foo.

Pengasas bersamanya, Syafa Mustaffa berkata, BeautyBrowse menyediakan platform pengiklanan yang unik kepada setiap vendornya.

Kata Syafa, setiap bulan platform e-dagang itu akan menayangkan promosi pada laman web tersebut secara bergilir-gilir.

“Daripada situ, khalayak yang melayari portal tersebut dapat melihat sendiri pelbagai produk yang terlibat sekali gus memudahkan mereka membuat pilihan untuk membeli.

“Selain itu, antara muka portal BeautyBrowse itu juga interaktif dan mesra pengguna.

“Kita boleh lihat, portal tersebut kerap mengemas kini antara muka baharu termasuk menerapkan pelbagai pembaharuan demi menjadikan pengalaman membeli-belah secara online itu lebih mengujakan,” ujarnya.