Perkara tersebut dibuktikan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor melalui Fakulti Seni Lukis dan Seni Rekanya dengan penganjuran pertunjukan fesyen yang diadakan baru-baru ini.

Disertai oleh seramai 38 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM, pertunjukan fesyen tersebut telah menyaksikan sebanyak 152 koleksi rekaan dipersembahkan dengan pelbagai konsep, tema dan inspirasi yang pelbagai.

Menariknya, walaupun hanya di peringkat universiti, pertunjukan tersebut dilihat nyata menyerlahkan bakat dan potensi pereka muda dalam dunia rekaan fesyen.

Pensyarah Kanan Seni Reka Fesyen UiTM, Faizal Hamid berkata, pihaknya sengaja tidak meletakkan sebarang tema tertentu bagi mengelak skop rekaan terbatas dan berlaku pengulangan.

“Kami beri mereka peluang untuk membuat sendiri penyelidikan tentang tema yang digemari, membuat ramalan kehendak fesyen dan pasaran, tekstur warna serta aksesori yang sepadan dengan koleksi mereka.

Cemerlang

“Hasilnya, ia menunjukkan bahawa pelajar kita mempunyai visi dan wawasan cemerlang dalam industri fesyen. Lihat sahaja tema yang dipilih dengan aspirasi mereka terhadap pakaian, sungguh mengujakan,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan tersebut di Panggung Sari Kompleks Budaya Kraf, Jalan Conlay, ibu negara baru-baru ini.

Antara rekaan yang menarik perhatian termasuklah hasil karya Muhd. Amirul Naim Hasbullah yang juga pemenang Anugerah Emas bagi koleksi terbaik.

Mengangkat inspirasi seni Opera Kabuki negara Jepun sebagai tunjang kepada gaya jalanan, penekanan Muhd. Amirul Naim kepada aspek dramatik dari segi pemilihan fabrik kapas dan kombinasi merah hitam ternyata membuahkan hasil.

Hadir dengan empat rekaan versatil, elemen kimono kontemporari yang diinterpretasikan bersama solekan unik, berjaya menarik perhatian juri terdiri daripada pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat dan Fairuz Ramdan.

Tidak ketinggalan, tema pemenang Anugerah Perak, Lily Syahirah Rosidi Fahlid yang menjadikan kawasan permukaan paling panas di dunia iaitu di Dallol, Ethiopia sebagai inspirasi dalam menghasilkan koleksi rekaan untuk wanita dan lelaki.

Elemen panas dan merekah berjaya diterjemahkan dengan baik menggunakan warna menakjubkan seperti perang, perak, sulfur dan hijau.

Sementara pemenang Anugerah Gangsa, Mohd. Faiz Ripin pula tidak kurang hebatnya dengan menampilkan pakaian gaya jalanan untuk lelaki menggunakan unsur kehebatan motosikal Harley Davidson.

Suntikan elemen moden dan maskulin yang ditampilkan menggunakan fabrik PVC, kulit lembu, nilon dan dekorasi perak cukup versatil digayakan lelaki aktif, bergaya dan lasak.

Sementara konsep lain yang turut dilihat menonjol termasuklah, gaya feminin gula-gula kapas, roller-coaster, permainan legenda Pacman, Tetris, gaya jalanan Tokyo serta stail ketenteraan.