Hatinya juga bimbang memikirkan penerimaan pengguna terhadap produk bedak asas Velky itu yang merupakan buah tangan pertamanya dalam bidang kecantikan.

Ia ekoran masih wujud skeptikal mengenai produk tempatan yang dianggap bertaraf rendah berbanding jenama terkenal dari luar negara.

Namun, digagahkan jua lelaki yang berusia 26 tahun itu untuk memperkenal dan memasarkan Velky melalui khidmat reviu oleh selebriti media sosial terkenal seperti Mohd. Fauzi Yusof atau lebih dikenali sebagai Abang Gee.

Kesannya, produk Mohd. Najmuddin mula dikenali ramai dan berjaya menambat hati kaki solek yang sering menjadikan reviu sebagai medium memilih produk untuk solekan mantap.

“Sedari itu, Velky dijual secara online. Malangnya timbul masalah seperti pengguna kurang yakin terhadap produk dan ingin mencuba terlebih dahulu sebelum membeli.

“Ia sekali gus membuatkan jualan Velky membantutkan jualan meskipun ia memiliki standard dan kualiti setaraf jenama antarabangsa. Selain itu, ia dijamin selamat dan suci oleh pihak berkuasa tempatan,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Permasalahan

Perkara sama turut berlaku kepada jurusolek terkenal tanah air, Siti Nur Farah Ain Zakaria, 30.

Dia yang mesra disapa Farah mempunyai pengalaman hampir lapan tahun dalam dunia solekan. Mengenal kualiti produk yang efektif dan berkesan untuk kulit, dia mengambil langkah mencipta produk kosmetik dengan nama Speechless Perfecto Creme.

Formula kombinasi primer dengan pelembap dalam satu produk itu memiliki ciri yang amat baik untuk diketengahkan ke pasaran tempatan dan global.

Tambahan pula, melihat kepada reputasi Farah sebagai pakar solekan dengan jumlah pengikut di Instagram lebih 54,000 orang.

“Alhamdulillah produk memang dikenali dan disokong oleh ramai pengguna. Bagaimanapun, ia seakan-akan terbatas dan dijual dalam kalangan pengikut dan mereka yang mengenali saya sahaja.

“Kebanyakan pengguna membeli produk online atas dasar percaya kepada jenama dan pengasas produk. Bagi produk saya yang bukan daripada jenama besar, segelintir pengguna berasa was-was akan kualitinya kerana tidak pernah melihat ia dijual di toko-toko atau farmasi terkenal, “ kongsinya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik kosmetik, Valet Chantek di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Realitinya, masalah tersebut bukan berlaku kepada Mohd. Najmuddin dan Farah semata-mata.

Ramai usahawan tempatan berdepan kesukaran untuk memasarkan produk kerana tidak mampu bersaing dengan jenama antarabangsa yang sudah mempunyai tapak kukuh dalam bidang pemasaran produk.

Pusat setempat

Melihat kepada kelompongan dalam perniagaan online, Mohd. Fakhruddin Mohd. Nor, 35, tidak betah berdiam diri.

Dia yang juga abang kepada Mohd. Najmuddin tekad membantu perjuangan usahawan tempatan untuk memasarkan produk dengan lebih berkesan.

Berbekalkan ilmu sebagai seorang pengusaha francais kafe Gloria Jeans, Mohd. Fakhruddin yang menetap di Jitra, Kedah percaya masalah tersebut boleh diselesaikan dengan menyediakan satu platform bagi memudahkan pengguna membeli produk tempatan.

Dari situlah terciptanya Valet Chantek, butik kosmetik yang terletak di lot kedai Taman Tunku Maheran, Jitra yang menempatkan lebih 20 barisan produk daripada 12 syarikat kecantikan tempatan.

Bercerita lebih lanjut mengenai Valet Chantek, Mohd. Fakhruddin berkata, dia dan kumpulannya mengambil masa lebih tiga bulan membuat penilaian mengenai kehendak pengguna sekitar kawasan Utara.

“Hasilnya, kita mendapati kebanyakan pengguna mempunyai keinginan untuk mencuba produk yang diguna pakai oleh jurusolek terkenal dalam video tutorial dan sebagainya.

“Jadi kita buat pemerhatian mengenai produk tempatan yang diguna oleh nama-nama besar dalam solekan di Kedah termasuklah Bellaz, Haya Rahim dan Siti Nur Farah.

“Dari situ, kita sendiri pergi dan bertemu pengasas produk kecantikan terbabit untuk bekerjasama menjadikan Valet Chantek sebagai satu pusat setempat untuk kaki solek melihat dan mencuba terlebih dahulu produk sebelum membeli,” cerita bapa kepada tiga orang anak itu.

Antara 12 syarikat yang itu termasuklah Rosetyara Beauty, CPG Obcession Trading Fantabulous Skincare, Iols Style Recources, Riffaa Di Hati, Aiefy Global Beauty dan Famirafaa.

Selain itu, turut serta Yarra Beauty Care, Ridzskin Cosmetics, Fyqa Marketing, Aura Az-Zahra Recources, Amanatrah Enterprise dan Velky.

Ternyata strategi itu menjadi. Kebanyakan pengguna gembira kerana mereka tidak hanya boleh mendapatkan produk idaman melalui online dan ejen, tetapi mampu melihat, menyentuh dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pekerja Valet Chantek sebelum pembelian dibuat.

Menariknya, kewujudan Valet Chantek di Kedah tidak hanya mendapat perhatian penduduk di utara. Niat murni Mohd. Fakruddin mempromosi barangan kosmetik tempatan mendapat perhatian ramai pihak.

Cawangan kedua

Dengan sokongan padu usahawan, jurusolek dan pengguna sendiri, Valet Chantek kini melebarkan sayapnya dengan pembukaan butik kedua di Seksyen 7, Shah Alam yang akan beroperasi secara rasmi pada 1 Mei nanti.

Mencapai misi membantu menaikkan hasil jualan produk tempatan dari segi penyediaan tempat pemasaran, Valet Chantek kini melangkah ke arah visi baharu.

Menjalin kerjasama dengan portal e-Dagang, Aladdin Street, Mohd. Fakhruddin yakin, produk usahawan tempatan yang bernaung di bawah Valet Chantek akan berjaya menembusi pasaran global termasuk China, India dan Kazakhstan.

Tambahnya, kesemua produk yang ditempatkan di butiknya adalah diyakini berkualiti tinggi dan selamat digunakan ekoran mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Namun, tidak semuanya mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Atas sebab itu, kita memilih untuk bekerjasama dengan Aladdin Street.

“Peraturan yang digariskan oleh Aladdin Street terhadap produk ialah memiliki sijil halal Jakim jika mahu dipasarkan di luar negara sangat bagus untuk memberi tambah nilai pada produk kecantikan tempatan.

“Ia sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk kecantikan dari Malaysia bukan sahaja berdaya saing malah dijamin berkualiti dan suci,” katanya.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, produk yang ditawarkan di Valet Chantek kini boleh ditemui dan dinikmati pengguna di lebih 30 buah negara melalu i laman web www.aladdinstreet.com.

Butik Valet Chantek di Jitra, Kedah menjadi pusat setempat untuk kaki solek melihat dan mencuba sesuatu produk sebelum membeli, sekali gus membantu memperkembangkan jenama tempatan.