Bagaimanapun, selepas setahun menjalankan perniagaan, ketika trend produk penggayaan rambut lelaki iaitu pomade menjengah pasaran, mereka kemudian tidak melepaskan peluang menghasilkan produk sendiri.

Maka dengan itu, produk pomade pertama Vintage Armor oleh dua anak muda, Mohd. Ikhwan Qistan Kamarulzaman dan Muhammad Radziman Mahat, kedua-duanya berusia 29 tahun mula bertapak pada tahun 2016.

Menurut Mohd. Ikhwan, idea untuk mengeluarkan pomade tercetus selepas melihat produk berkenaan mendapat permintaan tinggi khususnya daripada golongan lelaki.

“Tahun 2016, ramai yang mula menggunakan pomade, malah banyak produk mula dijual namun secara keseluruhan kualitinya tidak konsisten serta memuaskan.

“Saya juga menggunakan pomade dan mahukan produk yang bukan sahaja mampu mengekalkan gaya tetapi tidak merosakkan rambut. Dari situ, tercetus idea saya dan rakan kongsi untuk menghasilkan jenama kami sendiri,” katanya ketika ditemui Stailo di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah lelaki yang berasal dari Umbai itu, dia dan Muhammad Radziman mula mempelajari cara menghasilkan pomade menerusi laman video, YouTube namun pada permulaan, produk mereka mendapat maklum balas negatif sehingga digelar sampah.

Semangat

Bagaimanapun, hal itu tidak memutuskan semangat mereka yang kemudian terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk termasuk menghadiri kelas serta bertanya dan merujuk kepada individu yang berpengalaman.

Selepas beberapa percubaan, pomade pertamanya, Bonito, memasuki pasaran dan mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada pengusaha kedai gunting rambut atau barber shop di sekitar Melaka.

Melihat kepada potensi produk penggayaan rambut lelaki keluaran tempatan di pasaran, Muhammad Radziman memberitahu, mereka seterusnya mengorak langkah dengan menghasilkan rangkaian produk penggayaan rambut premium dan penjagaan seperti syampu serta tonik rambut.

Jelas jejaka asal Pokok Mangga, Melaka itu, berbeza dengan produk pertama rangkaian produk premium ini ditambah dengan ekstrak daun kelur yang berfungsi untuk mempertingkatkan kualiti rambut pengguna.

“Kita mahu memadam stigma bahawa produk tempatan tidak setaraf antarabangsa dan produk premium ini merupakan buah tangan Vintage Armor buat pengguna pomade yang mahukan produk penggayaan rambut berkualiti serta mampu merawat rambut.

“Produk premium ini dirumus dengan bahan semula jadi dan ia juga memberikan keseimbangan dalam penggayaan dan kesihatan rambut memandangkan terdapat banyak isu berhubung pomade murah yang dikatakan memberikan iritasi dan kesan kepada pengguna,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Premium

Tambahnya, bagi rangkaian produk penggayaan rambut premium, Vintage Armor menampilkan empat siri pomade dan clay yang boleh dipakai mengikut kesesuaian gaya rambut.

Menurutnya lagi, rangkaian ini ditampilkan dalam bentuk pomade krim, minyak, asas air dan styling clay dengan berat 100 gram (g) pada harga RM37 hingga RM49.

Bagi syampu, ia dijual pada harga RM50, tonik rambut (RM60) manakala produk sulung mereka iaitu Bonito (RM40).

Kesemua produk ini bukan sahaja dijual menerusi online, Loka Malaysia dan ejen seluruh negara tetapi turut berada dalam pasaran Sweden, Singapura serta Indonesia.

Menerusi rangkaian produk premium ini juga, Mohd. Ikhwan dan Muhammad Radziman dapat berbangga kerana usaha mereka dalam menghasilkan produk berkualiti mendapat maklum balas positif serta disifatkan sebagai pomade terbaik dalam satu saluran YouTube Amerika Syarikat, Modern Man TV.

Selain menghasilkan produk, kedua–dua usahawan yang lahir daripada Latihan Pembangunan Usahawan, Majlis Amanah Rakyat ini turut menjalankan operasi barber shop yang bertempat di Bukit Baru, Melaka.

Mohd. Ikhwan menambah, barber shop berkenaan merupakan platform untuknya mengetengahkan identiti gaya rambut Vintage Armor iaitu klasik dan kemas selain membuka peluang kerjaya khususnya buat golongan muda yang berbakat dalam bidang penggayaan rambut.

“Kami mahu meluaskan empayar Vintage Armor bukan sahaja menumpu kepada produk tetapi juga dalam bidang penggayaan rambut secara keseluruhan termasuk kesedaran penjagaan rambut khususnya bagi kaum lelaki.

“Rambut adalah mahkota dan stail penggayaan juga memberikan definisi kepada gaya maskulin lelaki. Pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan dan Vintage Armor meraikan keperluan lelaki dalam penggayaan rambut,” ujarnya.