Edisi kali ini menampilkan empat rekaan terbaharu iaitu Dhya Embellished, Swarovski, Inara Bridal serta koleksi edisi terhad, Eden.

Istimewanya mengenai keempat-empat koleksi ini ialah ia berinspirasikan enam orang ikon wanita berhijab sebagai motif rekaan.

Mereka ialah aktivis kemanusiaan, Dr. Fauziah Hasan; blogger fesyen, Aishah Amin; mualaf berasal dari Korea, Ayana Moon; ibu tunggal, Farah Lee; pakar perubatan, Dr. Syaima Halim serta pengasas Tudung People sendiri, Fazrena Aziz.

Bercerita lebih lanjut mengenai koleksi kali ini, Fazrena Aziz berkata, pihaknya berhasrat menyediakan lebih pilihan reka cipta tudung kepada peminat Tudung People di samping menyalurkan aura positif enam ikon terlibat kepada wanita di luar sana.

Perincian

“Setiap perincian tudung kali ini mempunyai kisah tersendiri di sebaliknya. Pertama, kami tampilkan Dhya Embellished. Koleksi ini menampilkan hiasan bunga tiga dimensi di bahagian hujung selendang bertatahkan kristal dan batu Swarovski asli yang sangat indah.

“Kilauan hiasan bunga ini disimbolkan sebagai kekuatan wanita yang tidak pernah lelah berkorban untuk keluarga. Antaranya termasuklah Aishah Amin yang sanggup mengorbankan kerjaya sebagai jurutera demi menjaga dua orang anak, termasuk salah seorangnya penghidap autism,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut di galeri beli-belah Publika baru-baru ini.

Tambah Fazrena, koleksi Swarovski pula menampilkan selendang sutera dan tudung bawal sifon dihiasi kemasan Swarokski di beberapa bahagian fabrik.

Koleksi ini dihias ringkas, namun cukup elegan bagi mewakili keluhuran perjuangan aktivis Dr. Fauziah Hasan terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan Farah Lee sebagai ibu tunggal yang mempunyai perniagaan sendiri.

Tudung People turut melengkapkan keperluan wanita dengan penampilan koleksi Inara Bridal untuk bakal raja sehari yang berkahwin pada musim perayaan. Terdapat lebih daripada 10 warna pastel dengan hiasan renda anggun digayakan pada hari bahagia itu.

Paling menarik bagi lebaran tahun ini pastinya koleksi edisi terhad, Eden.

Mengangkat kisah penghijrahan Ayana Moon di bumi Korea Selatan yang minoritinya Islam, Fazrena memilih motif bunga liar sebagai tunjang rekaan.

Ketenangan

“Fabrik satin lembut dengan cetakan kepelbagaian bunga eksotik memberi gambaran ketenangan dan kebahagiaan hidup yang luar biasa.

“Paling penting, rekaan bunga dilukis dan diilhamkan sendiri oleh kumpulan kreatif kami bagi memberi impak eksklusiviti kepada wanita sekalian,” jelasnya.

Kesemua empat koleksi Tudung People Aidilfiti 2018 kini boleh didapati di butik Tudung People di Bangi Sentral ataupun secara online di http://tudungpeople.com.