Pada kali ini, jenama itu telah berkolaborasi dengan GoHalal untuk mengeluarkan tudung sutera satin yang dikenali sebagai ALIFF BY SHA X GoHalal.

Menurut Pengarah Urusan ASK Boutique, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, tudung satin eksklusif itu disasarkan kepada kolektor dan peminat tudung.

“Tudung ini menampilkan pelbagai motif bunga-bungaan dan geometri yang dicetak dalam jumlah terhad iaitu sekitar 300 hingga 400 helai sahaja.

“Justeru, ia menjadikan tudung ini edisi terhad dan tidak ada ulangan cetak pada masa akan datang malah kami turut menyasarkan untuk mengeluarkan tudung baharu pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung ALIFF BY SHA X GoHalal di FloraTerrace Kuala Lumpur baru-baru ini.

Reka coraknya yang terhad menjadikan tudung tersebut sebagai hadiah sempurna untuk insan tersayang.

Bercerita lanjut mengenai rekaan tudung itu, Aliff Syukri memberitahu, ia merupakan cetusan ideanya yang suka melukis lalu diterjemahkan ke atas fabrik.

Pada awalnya, Aliff Syukri mereka tudung khas untuk dihadiahkan kepada isteri tersayang tetapi maklum balas positif yang diterima daripada orang ramai membuatkan usahawan tersebut memasarkannya kepada orang ramai.

Lebih menarik, tudung itu menggunakan 80 peratus fabrik sutera satin dari Korea yang sangat selesa dipakai, tidak mudah berkedut dan menyokong pengudaraan.

Berukuran 45x45 inci, tudung itu sesuai digayakan seperti selendang mengikut cita rasa masing-masing.

Ia merupakan koleksi tudung bawal sutera satin yang kesembilan dihasilkan oleh Alif By Sha sejak dipasarkan Januari tahun ini.

Pada Julai lalu, jenama tudung Alif By Sha mendapat pengiktirafan Satin Terbaik (Kategori Selendang) dan Cetakan Terbaik (Kategori Bawal) dalam Anugerah Pesona Hijab Jelita 2017.

Akui Aliff Syukri, penganugerahan tersebut memberi kekuatan baharu kepada jenama itu untuk terus menghasilkan koleksi tudung.

Menggunakan percetakan digital dan percetakan satin sutera menjadikan tudung keluaran jenama ini berkualiti tinggi serta wajar dimiliki oleh semua wanita.

Tudung edisi terhad tersebut boleh dibeli di GoHalal sahaja dengan melayari laman web rasminya iaitu www.gohalal.com.my.