Rata-rata pengusaha fesyen mengambil inisiatif tersebut untuk turut serta dalam trend berkenaan dengan memperkenalkan rangkaian produk baharu.

Ada di antara mereka yang mengusahakan perniagaan jubah, selendang, telekung namun, produk yang paling digilai ramai untuk dikomersialkan ialah tudung.

Maka tidak hairanlah, puluhan koleksi tudung baharu dilancarkan setiap bulan sekali gus merancakkan industri fesyen negara.

Namun demikian, kemunculan pelbagai jenama baharu dalam segmen fesyen Muslimah sedikit sebanyak membuka peluang persaingan hinggakan sukar mendapat tempat dalam hati golongan fashionista.

Namun demikian, label pakaian Muslimah, Boku tampil dengan resipi tersendiri dalam memikat hati khalayak sasaran menerusi koleksi tudung ranggi.

Pengasas Bersama Boku, Zairina Zailani berkata, Boku tidak sedikit pun ralat melihat persaingan secara terbuka dalam industri fesyen Muslimah.

“Boku mempunyai kumpulan sasaran tersendiri dan ia tidak direka untuk kebanyakan wanita.

“Sejak awal penubuhan Boku, kami telah menyasarkan ‘padang’ eksklusif dengan Boku ini direka untuk memenuhi keperluan golongan wanita korporat dan berkerjaya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gaya korporat

Boku mula ditubuhkan oleh Zairina sendiri bersama Penyumbang Dana Boku, Amalina Abas sekitar awal tahun lalu.

Label tersebut bernaung di bawah jenama fesyen Benua Clothing (Benua) yang terkenal dengan rekaan busana lelaki Muslim gaya jalanan versatil.

Berpegang teguh pada prinsip yang dibawa jenama Benua, Boku mengembangkan lagi ke dalam segmentasi pakaian Muslimah menerusi koleksi tudung yang diperkenalkan.

“Benua merupakan koleksi khusus untuk golongan lelaki manakala idea lahirnya Boku muncul sebagai melengkapi keperluan itu.

“Fokus kami adalah menjadi platform untuk golongan wanita menjadikan tudung Boku sebagai pakaian harian dengan gaya korporat,” ujar Zairina yang mesra dipanggil Iena.

Menariknya, walaupun baru setahun usia Boku di persada fesyen tanah air, ia telah berjaya mencuri perhatian khalayak menerusi Minggu Fesyen Malaysia 2017 di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persembahan bertenaga yang menampilkan koleksi hijab ranggi itu turut melayakkan label Boku menerima anugerah Best Asian Showcase MercedesBenz Stylo Awards 2017 pada pertunjukan sama.

Pendorong

Siapa sangka hobi menconteng buku latihan sekolah pada halaman belakang dengan pelbagai lakaran berdasarkan imaginasi kanak-kanak ketika itu menjadi pendorong buat diri Iena untuk menjadi usahawan fesyen.

Kongsinya, ketika itu dia curi-curi conteng gambar gadis sambil memakai busana dengan pelbagai rekaan menarik.

Kreativiti Iena yang dipupuk menerusi sesi ‘berangan’ itu sebenarnya sangat membantu menyuntik rasa minat dalam dirinya sehingga kini.

Iena pernah berkecimpung dalam bidang fesyen Muslimah bersama label hijab terkemuka sejak hampir tiga tahun lalu.

Berbekalkan kepakaran, pengalaman dan minat yang mendalam, Iena disunting oleh Pembiaya Dana Boku, Amalina untuk menjadi rakan kongsi dan bersama-sama menerajui jenama Boku.

Namun demikian, proses melamar Iena itu bukan suatu perkara yang mudah dan tidak berjalan seperti dirancang.

Tawaran pertama Amalina ditolak kerana Iena ketika itu merasakan dirinya belum begitu bersedia untuk menjadi tunggak kepada sesuatu yang besar.

Biarpun tawaran itu ditolak, Amalina tidak berputus asa sebaliknya terus menghubungi dan menawarkan semula peluang tersebut tiga tahun kemudian.

“Setelah berbincang dan mempertimbangkan visi serta misi kami berdua yang hampir sama ini, Iena akhirnya bersetuju serta teruja untuk mengutarakan ideanya.

“Setiap kata sepakat yang dibuat antara kami merupakan satu perkara yang sangat mustahak malah Iena kelihatan seronok apabila ideanya direalisasikan.

“Ditambah pula dengan sokongan antara pekerja Boku, ia membuatkan suasana bekerja itu lebih menyeronokkan,” ujarnya.

Tema

Sehingga kini, Boku telah memperkenalkan sebanyak 12 koleksi hijab yang setiap satunya dihasilkan dengan berbeza rekaan.

Ia menampilkan hijab bercetak dengan setiap corak itu dihasilkan oleh kumpulan pereka grafik terlatih mengikut tema tertentu.

Dari segi fabrik pula, Boku mengetengahkan material krep sifon dan poliester satin.

Kedua-dua material tersebut dipilih bagi mengutamakan keselesaan golongan wanita yang memakai.

“Pemilihan material ini dititikberatkan kerana kita mahu tampilkan hijab yang memudahkan pengguna.

“Ia mudah dijaga, dibentuk malah tugas menggosoknya juga kini lebih menjimatkan masa.

“Selain corak-corak mewah, eksklusif hijab ini terletak pada tag pingat Boku pada bucu tudung yang berbentuk bunga emas,” kongsinya.

Masuk tahun kedua menjelang 2018 nanti, Amalina tetap mahu memberi tumpuan kepada usaha memupuk kesedaran mengenai Boku dalam masyarakat tempatan khususnya kumpulan korporat.

Bahkan Boku turut giat mempromosikan hijab serta uniform rasmi mengikut kehendak klien.

Celah Iena, perkembangan fesyen berkembang dengan sangat pantas berbanding perniagaan lain.

Melangkau jangka masa lima tahun lagi, Iena menyasarkan pihaknya akan memperkenalkan konsep jualan hijab menerusi mesin layan diri.

Katanya, konsep jualan mesin layan diri tidak asing lagi di negara maju seperti Jepun, namun di Malaysia ia masih suatu benda asing.

“Di Malaysia ini belum ada lagi konsep jualan produk fesyen menggunakan mesin layan diri.

“Kalau ada, sudah pasti nama Boku yang akan membawa dan memperkenalkan konsep itu untuk pasaran tempatan,” jelasnya menutup bicara.

Menjengah usia setahun bertapak dalam industri fesyen di Malaysia, Boku memiliki strategi dan taktikal 
tersendiri dalam memperluaskan lagi label tersebut.