Mengabadikan gaya dan stail dalam industri filem kepada rangkaian fesyen telah menjadi formula kepada jenama Alain Delon kepada sebuah jenama bertaraf antarabangsa.

Telah bertapak selama 30 tahun dengan stail dan pengaruh fesyen yang telah tersebar di pelosok Asia Tenggara dan Timur Eropah, Alain Delon tidak pernah lari daripada estetik gayanya.

Menurut Pengarah Urusan Alain Delon Information Desk, Christian Seguy, Alain Delon dibentuk menerusi estetik gaya pengasas jenama tersebut, Alain Fabien Maurice Marcel Delon yang juga seorang bintang filem Hollywood, Amerika Syarikat yang popular sekitar tahun 1960-an.

“Alain Delon merupakan seorang lelaki yang paling menggoda dalam sejarah perfileman Hollywood. Memiliki gaya sofistikated, maskulin dan kemas dalam pesona lelaki Perancis, dia menjadi pujaan wanita dan pada masa sama menjadi wajah kepada jenama terkemuka dunia.

“Gaya yang dibawa oleh beliau menjadi asas kepada identiti gaya jenamanya yang kekal utuh sepertimana auranya yang sehingga kini kekal diingati, malah masih menjadi penghias wajah untuk iklan produk di Eropah,” katanya ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang berasal dari Perancis menambah, lebih dari 30 tahun, Alain Delon telah menafsir identiti dan karisma abadi pelakon itu yang pada masa sama turut mencerminkan keanggunan Perancis yang abadi dalam aspirasi hari ini untuk gaya hidup bergaya kasual.

Kualiti, eksklusif

Menampilkan pelbagai jenis produk fesyen dan gaya hidup buat lelaki serta wanita, Alain Delon mempunyai nilai eksklusif tersendiri dan kumpulan peminat yang setia dan percaya akan kualiti yang ditampilkan oleh jenama ini.

Ia juga sentiasa menampilkan seleksi fesyen terkini yang ditafsir dengan cara tersendiri tanpa lari daripada stigma gaya dan stail Alain Delon.

Jelas Christian lagi, itu adalah resepi kejayaan jenama ini yang masih bertahan dan terus berkembang meluaskan pengaruh fesyennya di seluruh dunia.

“Meskipun tidak sebaris jenama premium, kami kekal memegang nilai eksklusif dan stail yang berteraskan aura Alain Delon itu sendiri. Malah, setiap produk yang dikeluarkan juga bukan merangkumi barang fesyen sahaja tetapi juga beberapa produk gaya hidup yang mencerminkan gaya sofistikated.

“Terdapat lebih daripada 10 produk fesyen dan gaya hidup yang diedarkan di 11 negara di Asia. Kita juga sentiasa berusaha ke arah pembangunan yang dilakukan melalui pemilihan produk dan wilayah yang teliti supaya nilai jenama dan identiti dipelihara,” ujarnya.

Tambahnya, untuk kekal relevan dalam kalangan masyarakat yang lebih kontemporari, Alain Delon bermatlamat untuk membina koleksi kostum kontemporari dengan inspirasi Perancis, budaya jalanan yang bergaya dan semangat mulia generasi baru.

Ia mengambil pendekatan yang tersendiri, sekali gus menempatkan jenamanya di lokasi yang boleh diakses untuk produk pakaian dan gaya hidup.