Arun Sayfull yang dinaungi dua pereka berbakat besar iaitu Chee Choo Yee Arun, 23, dan Mohd. Saiful Izham Ahmad, 30, mempersembahkan 12 rekaan mereka yang berkonsepkan musim bunga/panas 2018.

Menariknya, kesemua rekaan mewah adibusana ini diinspirasikan daripada kejadian globalisasi yang melanda dunia pada masa kini.

Menurut Arun, dia bersama Mohd. Saiful Izham membuat beberapa rujukan dan kajian sebelum menghasilkan busana khas sempena tahun 2018.

“Sehubungan itu, tercetus idea untuk mengetengahkan rekaan dengan memasukkan unsur pemanasan global.

“Bagi merealisasikan inspirasi itu, kami menggunakan motif abstrak seperti kepulan asap dan warna-warna yang terhasil daripada ledakan api iaitu merah, ungu, hijau, kuning, hitam serta oren,” katanya yang sudah empat tahun membangunkan jenama itu.

Tambah Arun, corak-corak itu merupakan hasil lukisannya sendiri yang diterjemahkan ke atas fabrik.

Bercerita lanjut mengenai rekaan itu, Arun memberitahu, dua daripada 12 koleksi tersebut direka khas untuk lelaki.

Istimewa

“Koleksi ini menampilkan kekuatan dan keberanian si pemakai dengan gabungan warna-warna garang.

“Busana-busana ini sangat istimewa kerana menampilkan siluet yang baharu seperti korset di luar jaket, potongan pelbagai, taburan manik dan penggunaan bulu burung unta.

“Tidak ketinggalan, penghasilan aksesori khas untuk dipadankan bersama busana itu seperti kaca mata dan coker,” jelasnya yang turut menggunakan fabrik kashmir, renda dan kapas.

Oleh itu, tidak hairanlah Arun Sayfull dinobatkan sebagai Pereka Fesyen Terbaik ketika memperagakan koleksi tersebut di pentas Minggu Fesyen Dunia pada Oktober 2017 di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.

Pertunjukan fesyen itu turut disertai oleh 60 orang pereka dari seluruh dunia.

Penghasilan koleksi itu membuktikan bahawa pereka negara ini mampu menghasilkan rekaan bertaraf global.

Mengulas mengenai penggayaan busana itu, Arun memberitahu, ia sesuai dipakai oleh mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun.

Lebih menarik lagi, busana mewah itu bukan hanya boleh dipakai pada acara-acara makan malam tetapi sesuai digayakan secara santai dengan padanan top dan seluar berlainan mengikut cita rasa masing-masing.