Konsep berdakwah adalah subjektif, ia boleh dilakukan dalam pelbagai konteks dan cara selagi tidak melanggar batas-batas syariah atau lari daripada landasan tuntutannya.

Konsep berdakwah ini turut menjadi medium kepada juara program Imam Muda Musim Ke-2, Mohd. Hassan Adli Yahaya yang menerapkan elemen sunah dalam penghasilan fesyen pakaiannya bersama syarikat Oasis Kreatif Sdn. Bhd. di bawah jenama Hassan Adli.

Menurut Mohd. Hassan, dia mencetuskan idea bagi koleksi pakaian Muslim berikutan tidak banyak butik khususnya yang menampilkan seleksi pakaian lelaki yang wujud di pasaran.

“Saya dan rakan, Jarir Haron berkenalan sejak zaman sekolah lagi. Malah, kami sudah melibatkan diri dalam perniagaan seperti menjual wafel dan makanan ringan secara kecil-kecilan.

“Idea dan ilham menghasilkan koleksi pakaian ini datangnya ketika saya menunaikan ibadah haji pada tahun 2011. Ketika itu, saya melihat ramai masyarakat di sana yang tampil selesa berpakaian jubah walaupun sedang melakukan aktiviti harian.

“Dari situ, saya mengambil pendekatan untuk membawa balik budaya tersebut ke Malaysia,” katanya ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, pada awal kemunculan fesyen jubah, trend pemakaiannya masih belum mendapat perhatian.

Bagaimanapun, katanya, ia akhirnya mendapat tempat terutamanya dalam kalangan golongan muda sehingga produk Hassan Adli berkembang kepada pengeluaran kurta pada tahun 2014.

Tidak mahu dilabel syok sendiri, Mohd, Hassan menjelaskan dia mementingkan kualiti dalam penghasilan koleksinya.

Kajian

Mohd. Hassan dan rakan niaganya banyak melakukan kajian dari segi saiz susuk tubuh badan kaum Adam di Malaysia dan corak agar semua jubah serta kurta kelihatan segak apabila disarung ke badan.

Selain soal pemilihan material yang digunakan, antara aspek yang dititikberatkan adalah keselesaan, mudah gosok dan basuh serta tidak panas selain praktikal untuk beribadah.

“Awal tahun 2011, jubah kami dipasarkan secara online melalui Facebook Imam Muda Hassan dan juga laman web secara santai. Selain itu, jubah kami dijual di gedung tekstil terkenal di Shah Alam, Selangor buat pertama kalinya.

“Dalam soal perniagaan pula, kami enggan menjual dengan ilmu kosong di dada. Jadi kami banyak melaburkan pengetahuan dengan mengambil pelbagai kursus seperti fesyen, pemasaran, pengurusan dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun 2013, jenama Hassan Adli maju setapak lagi dengan pembukaan butik pertama di Dataran Wangsa, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur dengan fokus pada jubah lelaki.

Jelas Mohd. Hassan lagi, kini pihak pengurusan dalam perancangan untuk membuka butik kedua tidak lama lagi. Selain itu, mereka turut merancang untuk mengembangkan perniagaan dan memfokuskan item lain seperti jaket, kopiah, seluar dan banyak lagi.

Sementara itu, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Hassan Adli menampilkan kepelbagaian fesyen untuk pelanggannya.

Kolaborasi bersama jenama wanita, Zawyya, blaus terbaharu yang mengetengahkan rekaan minimalis tetapi masih memberikan sentuhan sopan anggun untuk si pemakai diperkenalkan pada tahun ini.

Tidak hanya itu, bagi yang berkeluarga, kolaborasi Hassan Adli bersama jenama Taeyl membawakan padanan sedondon kurta dan baju Melayu kontemporari dengan material yang cukup selesa, praktikal serta berkualiti tinggi.

Bagi jubah dan Kurta untuk jejaka, rekaan tahun ini tampil dalam tiga konsep iaitu kontemporari, premium dan platinum.