Mengenakan gincu berwarna merah jambu dengan santunan pembayang mata juga daripada rona yang sama membuatkan seri wajah gadis tersebut nampak ringkas tetapi cukup sempurna.

Ia sepadan dengan penampilannya yang mungkin merupakan pelajar di sebuah universiti awam berdekatan berdasarkan daripada beg yang digalas dan beberapa fail yang dipegang.

Bagi Marissa, penampilan seperti itu cukup mengagumkan dan dirasakan paling sesuai digayakan sepanjang hari oleh sesiapa sahaja termasuk golongan pekerja sepertinya.

Bekerja sebagai pereka visual bagi sebuah jenama pakaian popular di Shah Alam, Marissa juga sering melihat rakan-rakan sepejabat bergaya dengan solekan hampir sama, namun apabila solekan tersebut dicuba sendiri, ia bagaikan serba tidak menjadi.

“Ia nampak natural, jadi saya fikir ia pasti tidak terlalu sukar walaupun bagi orang yang tidak tahu bersolek seperti saya.

“Apabila dicuba sendiri pada wajah, kesannya ternyata tidak seperti yang kita lihat digayakan oleh kaki solek dan selebriti.

“Solekan saya nampak tidak ‘bersih’ seperti yang saya bayangkan dan wajah juga mulai berminyak, sekali gus menyebabkan solekan tampak bertompok serta tidak sekata,” katanya sambil mengakui, dia jarang bersolek ke tempat kerja kerana bimbang ditertawakan ekoran kemahiran yang rendah dalam solekan.

Ironinya, ketika dunia kecantikan sedang mengalami revolusi dengan lambakan produk kosmetik serta tenaga mahir dalam bidang solekan, masih ramai wanita termasuklah Marissa berdepan masalah untuk bersolek.

Tidak boleh dinafikan peranannya dalam perspektif penampilan masa kini, solekan mampu memberi nilai tambah dari segi keyakinan selain gambaran profesional kepada si jelita.

Sangat penting terutamanya bagi wanita yang berada dalam bidang korporat dan perkhidmatan untuk tampil bergaya dengan solekan yang sesuai serta boleh digayakan sebagai solekan wajib pada setiap hari.

Menurut jurusolek bebas, Sri Anna Rosnaliza Abd. Rafah, terdapat dua kriteria penting dalam menjayakan gaya solekan harian iaitu dari segi teknik dan pemilihan warna.

Objektif

Sri Anna Rosnaliza yang lebih mesra disapa Anna berkata, objektif solekan harian sememangnya adalah untuk mencapai gaya ringkas, natural dan bersahaja yang praktikal digayakan seharian.

Namun, itu tidak bermakna terdapat kelonggaran dari segi teknik dan penggunaan bilangan produk asas penjagaan kulit serta kosmetik yang digunakan.

“Ramai orang salah faham dengan perkataan solekan ringkas, natural dan harian. Bagi mereka, oleh kerana solekan seperti ini tidak kelihatan glamor dan mewah, maka ia pasti mudah serta tidak memerlukan penekanan dari segi aplikasi.

“Sebaliknya, kesempurnaan apa jua solekan adalah bermula daripada pemilihan produk asas iaitu sebelum penggunaan kosmetik sehinggalah ke pemilihan rona mata dan bibir yang berperanan penting menentukan tema solekan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Solekan Style On The Go Chick di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berpeluang mengikuti bengkel selama empat jam anjuran bersama syarikat penerbitan buku popular, MPH Group Publishing Sdn. Bhd., dan rangkaian kosmetik dari Amerika Syarikat, Follacure, Kosmo! kongsikan kepada anda langkah, panduan dan tip untuk melakukan solekan harian.

Berpengalaman hampir empat tahun dalam bidang solekan, Anna menjelaskan bahawa langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan memastikan lapisan pertama solekan kukuh serta berfungsi.

Tutup cela

Untuk itu, pastikan wajah dibasahkan terlebih dahulu dengan cecair semburan wajah agar kulit tidak kering, sekali gus mengelupas dan mencacatkan tekstur solekan.

Pastikan semburan kering sebelum pelembap dan primer disapukan pada wajah.

Tip penting untuk memastikan sapuan meresap masuk ke dalam pori ialah dengan menolak sapuan krim ke atas bermula dari bawah pipi hingga ke keseluruhan wajah.

“Lapisan pertama yang terdiri daripada rangkaian produk penjagaan kulit ini sering diabaikan oleh kebanyakan kaki solek yang gemar bermula dengan bedak asas sebagai pemula langkah.

“Itulah penyebab kepada solekan tidak kemas, mudah pecah, tertanggal serta tidak sekata.

“Paling teruk, tanpa lapisan pertama yang melindungi pori kulit ini, ia akan menyebabkan kulit mudah berjerawat dan bermasalah ekoran sapuan kosmetik secara terus pada permukaan kulit,” jelasnya sambil menyapu primer berbentuk krim pelembap jenama Alaska pada wajah model, Lailatul Ikma Rezuan.

Sambung Anna lagi, selepas kulit dilitupi dengan lapisan pertama, oleskan penyembunyi noda atau concealer pada bahagian kulit tercela seperti kedutan, jeragat, parut jerawat serta lingkaran gelap bawah mata. Bagaimanapun, ia tidak perlu disapukan pada keseluruhan wajah.

Selesai kesemua langkah ini, baharulah bedak asas boleh diaplikasikan pada muka. Pada peringkat ini, penting untuk pengguna memilih rona bedak asas yang paling dekat dengan warna sebenar kulit.

“Jika perlu, campurkan warna bedak asas untuk mendapatkan rona kulit yang betul. Paling mudah, cuba oleskan pada tangan dan pilih kod bedak asas yang sedikit cerah daripada warna tangan untuk kesan optimum.

Sentuhan

“Seperti hari ini, memandangkan model berkulit kuning langsat, saya gunakan kod 02 (Porcelain) dari Focallure dengan sentuhan kod 03 (Warm Ivory) yang sedikit gelap untuk mendapatkan tona terbaik,” kongsinya yang pernah menata rias beberapa selebriti popular termasuk Scha Al-Yahya, Ain Edruce, Awal Ashari dan Hans Isaac.

Peringkat seterusnya ialah aspek solekan mata yang cukup penting terutamanya bahagian pembayang mata.

Tidak disaran untuk menggunakan kod pembayang mata yang bersifat berkilau (glitter), rona mata perlulah daripada tona bumi seperti merah bata, coklat rustik, krim mocha dan kelabu arang agar kelihatan bersederhana, sesuai dengan konsep harian.

Padankan dengan maskara agar bahagian mata tampak lebih menyerlah. Boleh juga gunakan bantuan bulu mata palsu, namun pastikan ia tidak terlalu panjang.

Tatarias kening pula perlu dikemaskan persis solekan glamor ketika menghadiri majlis formal.

Akhir sekali, paduan pemerah pipi dan warna bibir perlulah berada dalam rona pastel atau lembut seperti warna coral, merah jambu, nude dan pic.

“Secara umumnya, tona solekan harian perlu berada dalam rona natural. Namun, harus diingatkan, fungsi solekan adalah untuk mengelak wajah daripada kelihatan kusam dan pucat.

“Jika penggunaan rona lembut terutamanya pada bibir membuatkan anda kelihatan tidak sihat, boleh gunakan gincu lebih cerah seperti merah terang dan ungu lembut. Paling penting, gunakan kosmetik berpigmen tinggi seperti Follacure untuk memastikan solekan kekal pada wajah walaupun seharian,” pesannya.