Pasangan merpati dua sejoli yang sudah menjalin cinta hampir dua tahun tersebut akhirnya sah memeterai ikatan percintaan yang terjalin meskipun dilanda pelbagai spekulasi ekoran status Markle sebagai seorang janda.

Di luar gereja pula, beribu-ribu orang rakyat hadir menyaksikan majlis perkahwinan diraja yang penuh gilang-gemilang itu.

Tidak ketinggalan juga yang menanti penuh teruja di hadapan kaca televisyen di seluruh dunia demi momen bersejarah tersebut.

Selain mahu meraikan perkahwinan anak bongsu Putera Charles dan Puteri Diana, perkara yang ditunggu pastinya ialah busana pengantin yang akan digayakan oleh Markle atau nama penuhnya Rachel Meghan Markle, 36.

Setiap kali perkhabaran perkahwinan melibatkan keluarga diraja, tumpuan akan diberikan kepada gaun pengantin perempuan.

Tambahan pula dengan reputasi cita rasa fesyen Ratu Elizabeth II, bekas isteri Putera Charles; mendiang Puteri Diana dan isteri Putera Wiiliam (Kate Middleton) sewaktu perkahwinan mereka terdahulu.

Lantaran itu, sejak pengumuman mengenai perkahwinan Markle dan Putera Harry dibuat pada 15 Disember 2017, masyarakat termasuk pereka pakaian dan penggemar fesyen mula membayangkan dan menebak rekaan persalinan Markle.

“Mengikut pandangan saya, beliau (Markle) akan tampil dengan persalinan moden bersama serlahan fabrik tulle atau renda berbunga kembang sekitar bahagian pinggang hingga ke bawah,” kata pereka fesyen tersohor, Hailey Page.

“Bagi puteri semoden Markle, dia akan mengenakan busana pengantin dipenuhi sulaman dan taburan bunga eksklusif dengan ekor labuh yang boleh dilaras kepanjangannya sama seperti yang dipakai Puteri Diana,” telah Madeline Gardner, pemilik label busana pengantin Morilee di New York.

Sementara jenama butik pengantin terkenal, Casablanca Bridal pula memberi gambaran bahawa Duchess of Sussex itu bakal mengenakan dres potongan A tidak berlengan dengan elemen leher V dilitupi renda bagi mewakili cita rasa mewah keluarga diraja.

Gaun labuh

Akhirnya pada 19 Mei lalu, Markle membuktikan bahawa dia tidak gagal mempamerkan cita rasa tersendiri dalam memilih gaun untuk digayakan pada hari bahagianya.

Mendapat sentuhan daripada Pengarah Artistik Givenchy, Clare Weight Keller, pesona aktres dari Amerika Syarikat tersebut ternyata jauh menyimpang daripada kebanyakan pandangan yang membayangkan beliau dalam persalinan moden.

Tidak lari daripada tradisi perkahwinan diraja Britain yang tertumpu kepada warna putih, Markle mengenakan gaun labuh dengan ekor katederal pendek hanya 70 inci dari pinggang.

Gaun tersebut secara keseluruhannya menggunakan fabrik sutera cadi dari Perancis yang sememangnya terkenal sebagai material terbaik bagi penghasilan busana eksklusif.

Berbeza daripada kebanyakan tanggapan awal bahawa busana modennya bakal dipenuhi sulaman dan bunga indah, Markle memilih untuk mengenakan persalinan polos tidak bercorak dan sifar perincian.

Sebaliknya, ia disempurnakan dengan garapan renda flora di setiap bucu layah sepanjang lima meter yang digayakannya.

Ciri klasik

Bukan sekadar perhiasan, suntikan 53 jenis bunga pada layah tersebut juga memiliki maksud tersendiri iaitu mewakili kesemua negara Komanwel termasuk bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya.

Ciri klasik busana tersebut dilihat paling menonjol di bahagian bahu apabila Keller mengilhamkan potongan leher bateau terbuka paras bawah bahu yang menjadi kegilaan ramai pengantin pada tahun 1950-an.

“Ia adalah persalinan yang cukup hebat. Walaupun minimal, ia berada dalam kelas tersendiri dan menunjukkan bahawa setiap perincian pakaian tidak sekadar diletakkan sebagai hiasan, namun mewakili maksud tersendiri.

“Markle mahukan ia anggun dalam kadar sederhana. Lantaran itu, saya bawa ciri moden pada bahagian lengannya dengan potongan hanya tiga perempat panjang agar ia terlihat kemas dan selesa, sesuai dengan gaya bersahaja Markle,” cerita Keller yang mengarahkan setiap pekerja yang menjahit pakaian Markle membasuh tangan setiap setengah jam bagi memastikan warna putih busana tidak terjejas.

Pilihan Markle pada hari bahagianya jika dilihat secara mata kasar mungkin terlalu polos berbanding gaun digayakan Duchess of Cambridge, Kate Middleton pada 29 April 2011.

Kate yang mengenakan busana rekaan Sarah Burton bagi label Alexander McQueen tampil dengan serlahan persalinan inspirasi Victorian.

Busananya dihias dari paras pinggang, tangan dan bahu dengan renda sulaman bunga ros, bunga dafodil, rumput thistle dan shamrock yang melambangkan empat buah negeri di England iaitu United Kingdom, Wales, Scotland dan Ireland Utara.

Sementara, potongan busananya pula difokuskan pada bahagian dalam dada yang direka berbentuk korset. Ia kemudian diselaputi renda membentuk potongan leher V bagi memberi padanan ramping dari leher sehingga ke pinggang.

Namun, secara tunjangnya, kedua-dua rekaan masih berpegang kepada ciri tradisional England iaitu tidak menjolok mata terutama di bahagian dada, labuh, berekor dan berlengan.

Begitu juga jika kita telusuri persalinan pengantin paling ikonik sepanjang zaman, yang digayakan oleh mendiang Puteri Diana pada majlis perkahwinannya dengan Putera Charles pada 29 Julai 1981.

Menawan

Busana putih dengan ekor katederal sepanjang 7.62 meter kelihatan begitu menawan dan mampu menyerlahkan pesona dan status pengantin diraja.

Sentuhan ropol melindungi bahagian leher daripada terdedah sekali gus memberi ilusi unik, mengagumkan dan moden pada era tersebut.

Namun, perincian labuci dijahit tangan bersama 10,000 butiran batu permata ukiran artisan di England memberi sentuhan klasik dan melambangkan betapa keluarga diraja begitu mementingkan ciri konvensional dalam penggayaan busana pengantin.

Tidak ketinggalan, pastinya persalinan Ratu Elizabeth II pada tahun 1947 bersama Putera Philip yang dihias sulaman bunga dari hujung rambut sehingga hujung kaki.

“Dari Ratu Elizabeth II hinggalah kepada Markle, toleransi tentang fesyen pengantin perempuan diraja ialah berpegang kepada konsep konvensional dan klasik Inggeris, namun tidak ketinggalan zaman.

“Seperti Middleton dan Markle, kedua-duanya mampu mengolah gaya rekaan yang malar segar melalui perincian dan sebagainya mengikut cita rasa tersendiri, dan ia cukup indah serta menjadi inspirasi kepada seluruh peminat fesyen,” tulis portal fesyen terkenal, Elite Daily.

Dari majlis perkahwinan Ratu Elizabeth II, Puteri Diana sehinggalah ke pengantin milennial Kate Middleton serta Meghan Markle masih mengekalkan tradisi busana perkahwinan putih, tidak mencolok mata dan mempunyai ciri-ciri konvensional tersendiri.