Justeru, jenama pakaian wanita, Neng Geulis menampilkan 12 rekaan dikenali sebagai Garden Lush.

Menurut pemilik jenama tersebut, Hadiana Sujadi, 32, koleksi itu berkonsep taman bunga bagi menggambarkan kecantikan seorang wanita.

“Wanita sering dikaitkan dengan bunga-bungaan. Saya menjadikan taman bunga sebagai inspirasi untuk menyiapkan rekaan ini.

“Saya ingin membangkitkan kecantikan wanita dengan menerapkan corak-corak bunga serta warna-warna alam pada busana tersebut.

“Di samping itu, saya memilih rona-rona yang mudah dipadankan dengan seluar, skirt dan tudung,” jelasnya yang menubuhkan Neng Geulis lima tahun lalu.

Hadiana yang juga pereka bagi jenama itu memberitahu, dia banyak mendapat inspirasi rekaan dari luar negara.

Ia bersesuaian dengan misi jenama itu untuk menghasilkan rekaan terkini setanding dengan jenama antarabangsa.

Tambahnya, busana itu juga menampilkan personaliti wanita yang aktif tetapi masih mengekalkan sifat feminin.

Sudah menjadi hasrat jenama tersebut untuk memberi rekaan yang terbaik kepada para wanita agar mereka menghargai kecantikan diri dan sentiasa menjaga penampilan.

Sehubungan itu, Neng Geulis menyediakan busana pelbagai saiz bermula XS hingga XXXL.

“Persalinan ini boleh digayakan oleh mereka yang berusia 24 hingga 38 tahun.

“Ia sesuai dipakai oleh wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk, tetapi ingin berpenampilan cantik.

“Menariknya, busana ini boleh dipakai ke pejabat dan pelbagai acara dengan padanan aksesori bersesuaian,” tuturnya yang dibesarkan di Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut mengenai penggunaan fabrik untuk koleksi Garden Lush, Hadiana memberitahu, dia menggunakan krep Korea, sifon Itali dan broket yang sangat selesa dipakai.

Lebih membanggakan, busana tersebut telah berjaya menembusi pasaran di London.

Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, Neng Geulis merupakan jenama pakaian wanita yang menyediakan selendang, persalinan kasual dan semiformal.

Sebarang pembelian boleh dibuat menerusi online atau butik yang terletak di The Strand Kota Damansara, Petaling Jaya dan pusat beli-belah Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Selangor.