Anak kelahiran Kuala Selangor yang mesra disapa Emin itu bercerita, ia merupakan busana kegemaran bapanya yang aktif bermain double bass untuk kumpulan muzik yang dianggotainya sekitar era 70-an.

Sehingga hari ini, koleksi sut tersebut masih tersimpan rapi di dalam almari khas dan akan dibeleknya sekali-sekala apabila pulang ke rumah orang tuanya.

Dari situ, anak kelima daripada lapan beradik itu berazam menjadi seorang pereka sut sementelah dia sendiri begitu meminati seni pembuatan busana yang disifatkannya mampu menyuntik aura dan ekspresi tersendiri kepada si pemakai.

“Saya sebenarnya mula mengikuti pengajian formal jahitan usai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan boleh dikatakan mahir menjahit pelbagai jenis pakaian, tidak kira untuk lelaki atau wanita termasuk persalinan pengantin mengikut kehendak pelanggan.

“Cuma selepas rakan kongsi butik menarik diri, saya bertekad melakukan perubahan dalam kerjaya dengan membangunkan jenama Emin Madrosa yang khusus menawarkan perkhidmatan membuat sut bespoke,” ujarnya kepada Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Elemen konstruksi

Terma bespoke atau tempahan khas merupakan khidmat bersifat peribadi untuk pengguna menikmati item fesyen pilihan mereka tidak terhad untuk pakaian, malah meliputi aksesori seperti kasut, beg serta produk wangian.

Secara teknikal, sut mempunyai banyak elemen konstruksi dalaman misalnya melibatkan jahitan fabrik garisan menggunakan material seperti fiber pada bahagian bawah dan lengan baju secara lapisan demi lapisan.

Dalam hal ini, ukuran dibuat sebanyak tiga kali dengan peringkat pertama, pembuat sut akan mengambil ukuran tubuh di samping bertanya pelanggan cita rasa gaya dan jangkaan mereka terhadap sut atau acara yang bakal dihadiri.

Semasa proses pembuatan, pelanggan sekali lagi akan dipanggil atau Emin sendiri akan datang ke tempat mereka untuk membuat ukuran bagi memastikan potongan rekaan seimbang dan terletak kemas pada tubuh pengguna.

Akhir sekali, selepas sut siap, pelanggan berpeluang mencubanya buat kali ketiga dan memastikan ia memenuhi piawaian dan spesifikasi yang diingini.

“Lantaran itu, tempoh standard menyiapkan tempahan seorang pelanggan ialah selama dua minggu. Secara purata kami mampu menyiapkan dua hingga empat pasang sut setiap hari.

“Penggunaan fabrik adalah mengikut kehendak pelanggan. Ada yang menyukai material semula jadi berasaskan bulu haiwan di samping fabrik seperti broket, terro rayon, linen, kapas dan velvet turut sering digunakan,” tutur usahawan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) itu.

Dalam perkembangan terkini, jenama yang telah mencapai usia tujuh tahun itu baru melancarkan koleksi sedia pakai menerusi pertunjukan fesyen Mara Alike Spring Summer Collection 2020 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Koleksi tersebut mengetengahkan rekaan sut minimalis menggunakan fabrik twill berupa benang tenun bagi membuatkannya selesa digayakan sama ada untuk acara kasual atau formal.