Menyedari kepentingan penggayaan seluar terutamanya dalam kalangan wanita telah membuka peluang kepada jenama Surischa untuk menyediakan pelbagai jenis seluar yang sangat selesa.

Menurut pemilik jenama tersebut, Nurul Syaza Fauzi, 24, Surischa mengetengahkan konsep kasual dan formal yang boleh dipakai ke peja bat, bersantai mahupun ketika mengembara.

“Setiap seluar ini ditampilkan dengan rekaan dan potongan berbeza agar ia memberi gaya elegan yang boleh dipakai bagi mereka berumur antara 20 hingga 60 tahun.

“Kami juga menyediakan poket di kiri dan kanan dengan zip di bahagian depan serta cangkuk sorok.

Bebas gosok

“Paling penting saya menggunakan fabrik hanako yang sangat selesa tidak berat dan nipis dalam penghasilan semua seluar jenama ini,” tuturnya yang menubuhkan jenama itu sejak tiga tahun lalu.

Di samping itu, fabrik tersebut juga tidak perlu digosok dan tidak melekat.

Tambah Nurul Syaza, seluar bukanlah satu trend tetapi ia merupakan keperluan setiap hari.

Sehubungan itu, besar hasratnya untuk menjadi perintis sebagai pakar dalam pembuatan seluar.

Sehingga kini, Surischa telah menghasilkan empat rekaan seluar iaitu Zarapants, Lolazzo, Sarapants dan Xpants.

Sementara itu, hujung bulan Januari ini Surischa akan melancarkan seluar terbaharu yang dikenali sebagai mommiespant.

Mengulas lanjut setiap satu rekaannya, Nurul Syaza memberitahu, Zarapants direka dengan bootcuts yang memberi ilusi tinggi dan boleh didapati dalam sembilan pilihan warna.

“Lolazzo diinspirasikan daripada seluar palazo yang kembang pada bahagian bawah manakala di pinggang pula mempunyai potongan selesa seperti memakai bengkung agar kelihatan lebih ramping dan kemas.

“Sarapants direka dengan potongan lurus serta longgar dan ia sangat sesuai untuk gaya formal seperti pergi bekerja.

“Xpants sangat sesuai untuk mereka yang berbadan besar dengan cawatnya lebih labuh dan ia boleh didapati dalam saiz 4XL hingga 7XL,” tutur wanita yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu.

Selain itu, seluar Xpants juga direka dengan potongan lurus dan sangat sesuai dipakai ke tempat kerja.

Seluar terbaharu, mommiespant disasarkan untuk ibu mengandung atau yang baru sahaja melahirkan anak.

Kebanyakan mereka mempunyai masalah di bahagian perut maka, di bahagian pinggang dijahit dengan getah yang boleh diubah suai mengikut saiz masing-masing.

Seluar jenama Surischa boleh dibeli pada harga RM50 hingga RM89 secara online dan bayaran boleh dibuat ketika penghantaran.

Saiz yang disediakan bermula S hingga 3XL kecuali Xpants lebih bersaiz besar iaitu 4XL hingga 7XL.