Kehalusan raut wajahnya disempurnakan dengan hidung yang mancung, berdagu runcing serta leher jinjang.

Sekali pandang, gadis berkulit hitam manis itu persis seorang bidadari.

Setiap hasil bidikan lensa kamera yang dipaparkan menerusi akaun media sosial Instagram tampak cukup profesional, lagak gaya seorang supermodel.

Namun siapa sangka, persona bernama Shudu Gram itu hanyalah projek janaan teknologi digital tiga dimensi (3D) yang diilhamkan oleh jurugambar profesional, Cameron-James Wilson.

Wilson memberi Shudu jolokan supermodel digital pertama di dunia dengan pengikut melebih 40,500 orang di Instagram sejak ia mula diperkenalkan sekitar April tahun lalu.

“Setiap perincian imej Shudu dihasilkan dengan penuh teliti daripada komputer yang memakan masa hampir tiga hari buat sekeping ilustrasi.

Populariti

“Malah, fasa perancangan sekeping gambar itu pula hampir berminggu-minggu lamanya untuk ditetapkan,” jelas jurugambar yang pernah merakam sesi penggambaran supermodel terkenal seperti Gigi Hadid.

Wilson merupakan jurugambar warganegara Britain yang menetap di London.

Dia menghabiskan masanya khusus dalam bidang penggambaran fesyen sekali gus menjadikannya jurugambar selebriti, kecantikan dan fesyen selama lebih sedekad. Kejayaan membidik gambar-gambar tersebut mencetuskan inspirasi dalam dirinya untuk menghasilkan seni tiga dimensi secara online. Dari situlah, Shudu dilahirkan.

Menurut Wilson, Shudu diinspirasikan daripada Puteri Barbie Afrika Selatan serta wajah beberapa model berkulit gelap seperti Duckie Thot, Nykhor dan Alek Wek.

Wajah-wajah berkenaan merupakan pengaruh besar dalam membentuk definisi kecantikan wanita sehingga Shudu akhirnya dilahirkan.

Populariti model digital itu terus melonjak naik selepas Shudu memperagakan gincu rona merah daripada jenama kecantikan selebriti antarabangsa Rihanna, Fenty di Instagramnya.

Lantaran itu, jumlah like Shudu terus meningkat sehingga empat kali ganda iaitu dari 50,000 sehingga 222,000.

Pertama kali Wilson mula memuat naik gambar Shudu di Instagram lagi, ia telah mencuri perhatian netizen kerana kecantikan yang dimiliki model digital itu.

Setelah popularitinya semakin meningkat, Wilson mendedahkan bahawa Shudu hanyalah hasil kerja seni digital.

Disebabkan itu, rata-rata netizen terasa seakan-akan tertipu dengan kehalusan kerja tangan menghasilkan model 3D itu.

Shudu merupakan idea dan inovasi Wilson yang menyumbang kepada masa depan dunia fesyen global.

Kecaman

Sudah semestinya, memuat naik hasil kerja kreatif di media sosial mengundang pelbagai spektrum pendapat, termasuk kritikan negatif.

Meskipun begitu, Wilson percaya kritikan tersebut mampu menjadi medan mempromosi definisi cantik menerusi cara yang serba kreatif.

“Kebanyakan komen negatif yang diterima datang daripada wanita berkulit putih.

“Namun sebaliknya pula berlaku bagi wanita berkulit hitam apabila mereka menghubungi saya dan menyatakan rasa kagum serta bangga terhadap seni yang telah dihasilkan itu.

“Shudu dilihat sebagai medium apresiasi yang tepat dalam menzahirkan definisi cantik,” jelasnya.

Kemunculan Shudu menjadi kecaman masyarakat kerana dilihat mengancam karier model lain yang baharu menempa nama.

Hal ini kerana kesempurnaan yang dimiliki itu dikhuatiri menggugat bakat-bakat peragaan tempatan.

Pun begitu, Wilson menjelaskan Shudu bukanlah bermatlamatkan keuntungan atau mata pencarian semata-mata sebaliknya hanya sebagai medium menzahirkan ekspresi diri.

Bahkan, jika didatangi syarikat yang mahukan wajah Shudu menghiasi kempen tertentu namun tidak menepati visi kariernya, Wilson bertegas untuk tidak memberi peluang demi kebaikan model kesayangannya itu.

Karya seni

“Saya tidak sedikit pun kisah tentang duit kerana bukan itu sebabnya saya memperkenalkan Shudu.

“Shudu dihasilkan untuk saya meluahkan perasaan serta menzahirkan karya seni kepada khalayak,” tambahnya.

Wilson mendedahkan, menghasilkan model digital tersebut tidak semudah yang disangka.

Cabaran utama ialah kekurangan perisian yang memberikan gambaran tepat seperti imej yang dibayangkan sekali gus merencatkan proses itu.

Industri 3D kurang memiliki kepelbagaian dari segi etnik dan karakter berkulit hitam menjadikan aset tersebut sangat sukar direalisasikan.

Meskipun begitu, Wilson percaya langkah memperkenalkan Shudu ke mata dunia sedikit sebanyak menyerikan lagi teknologi dan industri 3D.

Malah, ia dapat memberi idea kepada pengusaha permainan video dan pereka grafik untuk menghasilkan karakter yang pelbagai.

Selain perlu teliti dalam penghasilan imej karakter Shudu, setiap pakaian yang diperagakan juga dijana secara 3D.

Kerja-kerja menghasilkan karya Shudu itu begitu rumit namun ia berhasil untuk dijayakan disebabkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki Wilson.

Wilson percaya, model digital sepertinya tidak akan sesekali menggantikan tempat peragawan dalam dunia nyata sebaliknya akan kekal sebagai karya seni dengan jumlah pengikut yang tinggi di media sosial.

Shudu juga pernah bergandingan dengan model lelaki nyata, Nfon Obong dalam sesi penggambaran baru-baru ini.

“Saya menerima pelbagai komen yang mengagumi kecantikan Shudu yang mewakili inspirasi wanita cantik dari seluruh benua.

“Pada saya, Shudu merupakan rekaan yang begitu istimewa, sama seperti jutaan rakyat berkulit hitam lain.

“Dia merupakan fantasi yang mempunyai tempat dalam kehidupan realiti kehidupan dan saya mempunyai perancangan rapi pada kariernya kelak,” ujarnya.

Shudu Gram diinspirasikan daripada patung Puteri Barbie Afrika Selatan dan wajah-wajah model berkulit gelap seperti Duckie Thot dan Nykhor sehingga mencetus fenomena selepas menjadi model bagi jenama kecantikan antarabangsa, Fenty Beauty.