Fabrik ini juga terus dilihat mempunyai seni keindahannya dan relevan sepanjang zaman.

Berpegang kepada kekuatan tersebut, jenama C’la Exclusive meletakkan material tersebut sebagai keutamaan dalam rekaan busana yang dihasilkan.

Pengasasnya, Cla Saufian berkata, tampil dengan potongan kontemporari, koleksi itu diolah bagi memenuhi cita rasa fesyen generasi kini agar tampak versatil apabila digayakan.

Mengangkat seni indah batik dalam spektrum yang lebih moden dan segar, ia jelas dipaparkan menerusi 10 koleksi terbaharu yang dilancarkan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

“Secara peribadi, saya melihat trend Lebaran 2019 menyaksikan elemen batik menjadi buruan ramai. Dalam hal ini kelebihan batik kami ialah ia merupakan batik canting buatan tangan yang ditempah khas dari Cirebon, Indonesia.

“Motif yang dihasilkan tidak akan berulang dan bersifat edisi terhad,” ujarnya kepada Stailo ketika ditemui di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Bersifat praktikal, rekaan dan potongan kain batik yang diketengahkan merupakan gabungan klasik moden. Padanan batik turut diinspirasikan daripada busana tradisional seperti kurung Kedah dan kebaya di samping kaftan.

Warna

Bagi Cla, 35, persalinan raya bukan sahaja perlu kelihatan cantik dipandang mata, malah aspek keselesaan dan kesesuaian dipakai seharian turut menjadi keutamaan.

“Setiap rekaan mendapat sentuhan tangan saya sendiri yang begitu meminati fesyen dan pernah terlibat dalam perniagaan kain pasang berasaskan borong pada tahun 2009 sebelum memberi tumpuan penuh kepada jenama C’la Exclusive sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016.

“Dari aspek pemilihan material saya sanggup pergi sendiri memilih kain di kedai-kedai sama ada di Indonesia dan China.

“Dalam koleksi kali ini saya lebih memfokuskan fabrik kapas selain shantung menyerupai kain tafeta yang lebih berkualiti dan mudah dibentuk,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia daripada Universiti Putra Malaysia itu.

Mengulas mengenai warna, Cla berkata, warna-warna terang seperti ungu lavender, kuning diraja, merah jambu terang dan biru muda masih menjadi pilihan ramai untuk disarungkan pada musim perayaan ini.

Sementara itu, seorang pereka batik tempatan, Nor Azimah Harun menjelaskan, keistimewaan batik canting buatan tangan ialah sifatnya yang eksklusif kerana sekalipun coraknya ditiru, ia tidak akan menghasilkan rupa dan olahan warna yang sama.

“Saya berpendapat, fabrik ini mempunyai masa depan yang cerah dan berada dalam kelas tersendiri dalam pasaran tekstil.

“Ini kerana ia tidak terhad dijadikan busana tradisional seperti baju kurung tetapi boleh dipelbagaikan dalam aneka persalinan seperti dres, jaket dan kardigan mengikut kreativiti seseorang pereka,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang rekaan batik.

Sebagai tip penggayaan, Nor Azimah turut mencadangkan penggunaan aksesori tambahan seperti rantai serta menghiasi fabrik batik dengan jahitan manik atau labuci yang tidak terlalu sarat boleh menyerlahkan si pemakai.