Ironinya, gadis dari Puchong, Selangor itu bercerita, penampilannya suatu ketika dahulu amat biasa ala tomboi selain agak selekeh.

Lantaran itu, biarpun mempunyai rutin pekerjaan tetap di sebuah syarikat swasta, dia gigih mengikuti kursus solekan secara sambilan selain sanggup hadir ke bengkel yang dianjurkan jurusolek berpengalaman pada hujung minggu sejak akhir tahun lalu.

“Pada pandangan saya lebih mudah belajar dengan jurusolek secara berhadapan berbanding melihat tutorial di media sosial. Ini kerana mereka boleh membuat teguran secara terus sama ada cara solekan yang diaplikasikan itu betul atau tidak.

“Bagi saya cabaran utama bersolek ialah melakukannya dalam masa singkat dan memastikan wajah yang dirias tampak sempurna. Misalnya, saya sendiri memerlukan masa sekurang-kurangnya sejam jika ingin bersolek tebal.

“Ada ketikanya saya meninggalkan beberapa rutin solekan misalnya di bahagian mata jika ingin segera ke pejabat,” ujarnya ketika ditemui Stailo pada Bengkel Solekan Harian anjuran Akademi Kecantikan Artistik Diyana di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Teknik

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kecantikan Artistik Diyana (Akademi Diyana), Siti Diyana Mohd. Amin atau lebih dikenali sebagai Dyana Sofia menjelaskan, teknik dan pemilihan warna amat penting untuk solekan harian dan mereka yang sudah mahir mampu melakukannya sekitar 20 hingga 30 minit.

“Solekan harian, dibahagikan kepada dua iaitu siang dan malam. Pada waktu siang, kita memerlukan lebih kepada warna matte manakala waktu malam rona yang lebih terang dan bergemerlapan lebih sesuai dengan solekan lazimnya diaplikasikan lebih tajam dan tebal.

“Sebagai tip, disarankan, rona solekan yang dipilih disesuaikan dengan warna pakaian. Misalnya, baju berwarna merah jambu serasi dipadankan dengan warna kumpulan sejuk seperti ungu dan biru,” jelasnya.

Secara asas, solekan harian memerlukan item penting seperti, pembayang mata, shiner, highlighter, pembayang kontur, gincu dan pembayang mata terdiri daripada warna sejuk seperti, warna terang seperti hijau, kuning, merah dan rona semula jadi seperti coklat, kelabu, hitam dan emas.

Merias kening

Selain itu, set berus mengikut kegunaan setiap penjuru wajah juga penting bagi menghasilkan solekan sekata.

Apa yang penting ialah memastikan lapisan pertama solekan kukuh sebelum dilapisi solekan lapisan kedua hingga ketiga dengan cara menekap perlahan-lahan dan bukan menggunakan pergerakan tarikan. Ia bagi mengelakkan solekan tidak kemas, mudah pecah dan tertanggal.

Tambah Dyana Sofia, 34, aspek paling penting dalam penataan wajah ialah merias kening kerana ia bagaikan bingkai wajah seseorang.

Beliau sendiri mengambil masa seminggu mengajar pelajarnya menguasai teknik membentuk dan melakar kening kerana kesilapan melakukannya boleh membuatkan wajah seseorang tampak garang atau tidak seimbang.

Menurutnya, Akademi Diyana yang diasaskan ibunya Sofia Abbas yang juga merupakan jurusolek profesional pada tahun 2000 itu turut menyediakan kursus jangka panjang dan pendek sehingga tahap profesional selain menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Ia dinamakan akademi artistik kerana kami menawarkan pelbagai jenis solekan termasuklah solekan untuk penggambaran, solekan fesyen aras tinggi, solekan berus angin selain solekan kesan khas dan bertema.

“Dalam hal ini pelajar turut berpeluang menyolek model sebenar untuk acara peragaan fesyen atau seumpamanya. Ia bagi memberi mereka pengalaman sebenar supaya lebih berkeyakinan,” tutur anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.