Ketika itu, Arun sedang bekerja keras membangunkan jenama kolaborasi iaitu Arun Sayfull bersama kenalannya, Mohd. Saiful Izham Ahmad, 31. Walaupun masing-masing memiliki kekuatan tersendiri khususnya dari segi pengalaman, kemahiran jahitan dan rekaan baju, kredibiliti jenama tersebut masih lagi diragui oleh kebanyakan pelanggan.

Hal ini kerana jenama tersebut masih hijau dalam industri fesyen tanah air.

Bagaimanapun, Arun mengambil pendekatan menghadam semua lontaran negatif itu dan membakar semangatnya untuk menghasilkan busana yang lebih mengagumkan.

Hal ini kerana anak sulung daripada tiga beradik itu sedar, kualiti setiap produk akhir yang dihasilkannya itu bukan picisan.

Malah, pengalaman, bakat jahitan, ilmu berkaitan postur tubuh dan potongan pola yang sempurna menjadi formula kejayaan Arun Sayfull.

“Arun Sayfull merupakan jenama fesyen yang diterajui oleh dua orang pereka dengan gabungan idea tersendiri.

“Masing-masing memiliki kekuatan tersendiri misalnya saya lebih kepada rekaan gaya busana yang unik manakala Saiful pula lebih kepada ciri-ciri feminin dan struktur ranggi.

“Dari situ saya terfikir untuk menggabungkan dua elemen tersebut ke dalam ideologi Arun Sayfull sehingga jenama itu bertapak sehingga kini,” kongsinya.

Arun Sayfull merupakan jenama fesyen yang menghasilkan busana berdasarkan tempahan dan setiap koleksi yang diperkenalkan boleh diperoleh dalam unit terhad.

Hal ini kerana, Arun Sayfull mementingkan kualiti dalam penghasilan setiap busananya.

Pada masa sama, ia juga memberikan nilai eksklusif menerusi setiap perincian yang diketengahkan.

Malah, jenama tersebut juga mementingkan nilai seni dalam karya yang diketengahkan kerana bagi Arun, fesyen dan seni itu saling berkait rapat.

Setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam industri fesyen, identiti rekaan Arun Sayfull yang bercirikan interpretasi seni semakin dikenali.

Pilihan selebriti

Malah, rekaan busana Arun Sayfull yang eksklusif juga menjadi pilihan bagi golongan selebriti khususnya untuk dipakai pada majlis anugerah, keraian atau hari istimewa.

Sehingga kini, rekaan busana Arun Sayfull membaluti tubuh selebriti terkemuka tanah air seperti Ayda Jebat, Siti Saleha dan Ziana Zain.

“Arun Sayfull berani mencuba sesuatu yang baharu tanpa terikat kepada penerimaan masyarakat.

“Terlalu bergantung kepada penerimaan masyarakat akan menyebabkan ideologi fesyen itu tersekat sehingga akhirnya pereka tidak bebas berkarya.

“Fesyen ini sama seperti seni. Kami hasilkan beberapa busana yang tidak terjual pun tetapi janji ia memberikan kepuasan berkarya kepada kami,” kongsinya.

Begitu pun, Arun tidak sedikit pun menafikan bahawa jualan sesuatu produk itu penting demi kelangsungan sesebuah jenama.

Busana mewah

Bagaimanapun, melihat kolaborasi dengan pemain industri dari luar negara merupakan strategi yang berkesan melonjakkan nama Arun Sayfull di persada dunia.

Mohd. Saiful Izham yang mesra disapa Saiful berkata, strategi pemasaran Arun Sayfull ialah melakukan kolaborasi bersama syarikat fabrik dari Jepun iaitu Takashima.

Ia dizahirkan menerusi koleksi yang diketengahkan baru-baru ini iaitu Arun Sayfull X Takashima.

Pada asalnya, ia merupakan busana mewah dengan cetusan fabrik dari Jepun yang dihasilkan melengkapi rekaan siluet baharu.

“Sebanyak 11 rekaan baju ditampilkan dengan setiap satu dikeluarkan dalam kuantiti lima unit sahaja.

“Koleksi tersebut bertemakan zen ataupun keseimbangan antara hitam dan putih.

“Ia diangkat menjadi tema koleksi berkenaan kerana mahu memperkasa golongan wanita dan menekankan nilai tersebut dalam diri individu,” jelasnya.

Selain itu kata Saiful, tema tersebut mahu mendefinisikan keyakinan, nilai positif dan warna dalam diri golongan wanita.

Saiful teruja dapat bekerjasama bersama Takashima kerana baginya, ia merupakan penanda aras baharu bagi kejayaan jenama Arun Sayfull.

Bahkan, ia juga dilihat sebagai kayu ukur untuk Arun Sayfull melebarkan sayapnya di persada dunia.

Sehingga kini, Arun Sayfull memiliki sebuah butik yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dengan dua orang tenaga kerja yang terdiri daripada warga tempatan.

Malah, Arun Sayfull juga menerima pelajar daripada jurusan berkaitan untuk menjalankan latihan praktikal di butiknya.

Kata Saiful, ia merupakan jalan terbaik bagi menggalakkan golongan pereka baharu untuk meneroka dunia fesyen secara lebih praktikal.

Duo kolaborasi antara Chee Choo Yee dengan Mohd. Saiful Izham Ahmad kini menginjak usia lima tahun dalam mengetengahkan elemen kesenian dalam sesebuah busana yang dihasilkan.