Bersama dengan si burung undan,

Saya datang berperahu upih,

Hendak menumpang permainan tuan.

SESUAI dengan pantun berkenaan burung bangau menjadi simbolisme masyarakat nelayan kerana kehandalan unggas tersebut meramal kawasan perairan yang mempunyai banyak ikan.

Perahu pula bukan setakat memainkan peranan signifikan sebagai satu daripada pengangkutan utama pada suatu ketika dahulu bahkan ibarat penyambung nyawa buat para nelayan mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga.

Dua elemen tersebut diangkat sebagai subjek utama busana cetusan idea pereka fesyen, Salleh Hamid khas buat Ratu Universe Malaysia 2018, Jane Teoh yang akan diperagakan sebagai Kostum Kebangsaan sempena pertandingan Ratu Universe ke-67 di Bangkok, Thailand pada 17 Disember ini.

Mula membangunkan label Salleh Hamid sejak 2011, Salleh bukan satu nama asing dalam arena fesyen tempatan dan antarabangsa.

Hasil kerjanya sebelum ini mewarnai peragaan fesyen seperti London Modest Live Show (April hingga Mei 2018), Penutup Sukan Musim Sejuk Pyeong Chang Korea Selatan (Mac 2018), Dubai Grand Show (Mac 2018), Bahrain Grand Show (Februari 2018), Minggu Fesyen Batam (2016) dan Minggu Fesyen Jakarta (2011).

Bercerita lanjut, Salleh, 30, menjelaskan, rekaan kostum Bangau Perahu tersebut merupakan tafsiran artistik seni ketukangan tradisional bangau perahu yang menjadi warisan nelayan di Pantai Timur.

Hiasan perahu menjadi elemen penting kepada komuniti nelayan Melayu di Pantai Timur, manakala motif yang paling banyak digunakan untuk menghiasi perahu ialah bangau selain flora dan boneka wayang kulit.

Idea tersebut timbul apabila Pengarah Kebangsaan Ratu Universe Malaysia Organisation (MUMO), Datin Elaine Daly mencadangkan kelainan dengan memilih pengangkutan sebagai subjek rekaan kostum tersebut.

Bekas juara Ratu Malaysia Universe 2003 itu mahukan kelainan memandangkan kostum pada tahun 2017 dan 2016 masing-masing menyaksikan rekaan kostum bertema makanan iaitu gaun nasi lemak dan bangunan Menara Berkembar Petronas.

“Berbanding memilih pengangkutan yang moden, saya melihat kembali ke zaman dahulu. Dari situ timbulnya ilham perahu. Saya membuat kajian termasuk melawat muzium dan saya terjumpa bangau perahu dan begitu tertarik dengan seni dan falsafahnya.

“Saya turut pergi ke muzium di Terengganu untuk melihat perincian binaan bangau perahu di samping bertemu individu persendirian yang mempunyai pengetahuan mengenainya dan mendengar sendiri penerangan mereka dan cuba menyelami sisi lain kisahnya berbanding maklumat yang dibukukan.

“Keseluruhan proses mengambil masa enam bulan. Dua bulan untuk penyelidikan dan tempoh selebihnya untuk proses menyiapkan kostum,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton kostum tersebut di Menara MyEG di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Respons positif

Menatal ruangan komen laman Facebook rasmi Ratu Universe Malaysia selepas beberapa jam kostum itu dilancarkan dapat diperhatikan ada netizen memuji keindahan rekaan itu dan menyifatkannya mempunyai getaran watak Wonder Women pada masa yang sama diikat sentuhan tradisi Malaysia.

Tidak kurang juga memberi cadangan dan berpendapat ia perlu ditambah baik seperti memberi perincian kepada perhiasan kepala selain ada yang bergurau serta bertanya sama ada Jane turut akan dibekalkan pendayung.

Bagi Salleh, secara peribadi beliau sudah menjangka kostum rekaannya itu akan mendapat respons daripada khalayak. Namun, beliau bersikap positif dan terbuka menerima segala kritikan di samping mengharapkan tuah kemenangan.

“Saya terima apa sahaja pandangan yang dilontarkan. Bagi saya sendiri, saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk mengeluarkan gagasan idea dan subjek yang dipilih. Harapan pertama saya adalah supaya masyarakat faham apa yang ingin disampaikan.

“Daripada aspek ekspresi mereka boleh berkata apa-apa sahaja mengikut sudut pandang mereka sendiri,” ulas graduan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Menganggap rekaan kostum amat akrab dengan jiwa dan kecenderungan minatnya Salleh berkata, rekaan busana itu terbahagi kepada komponen utama iaitu bangau, okok dan caping.

Dalam binaan perahu, bangau merupakan ukiran kayu berbentuk seperti penyangkut dan berfungsi untuk meletakkan layar. Okok pula terletak di bahagian hadapan perahu dan kadangkala dihasilkan bersama-sama bangau. Begitupun, saiznya lebih kecil daripada bangau.

Manakala caping dianggap nadi pada perahu dan berbentuk segi tiga atau bujur sireh selain ada yang diilhamkan daripada bentuk bunga teratai.

Salleh berkata, menerusi rekaan berbentuk korset, bentuk bangau diaplikasikan bahu kanan sementara okok diletak pada bahu kiri manakala caping berada di bahagian leher.

Melengkapkan karya tiga dimensi tersebut ialah seni ukiran awan larat serta kerawang dan sekali pandang ia tidak ubah seperti perisai yang menonjolkan gaya bak pahlawan si pemakai yang memiliki ketinggian 178 sentimeter itu.

Tambahnya, pemilihan material dipanggil EVA atau Ethylene-vinyl acetate yang mengandungi elemen foam atau getah busa dan fiber kelihatan seperti kayu yang menjadi asas utama pembuatan perahu sebenar.

Busana dianggar bernilai RM7,000 itu merangkumi tiga lapisan termasuk 2,000 utas jalinan manik jemaki membentuk skirt seberat sembilan kilogram memberi kesan seperti kilauan gelombang laut.

Turut mengiringi penampilan jelitawan itu ialah sepasang but buatan tangan berwarna biru oleh pereka kasut berbakat, Rhea Tan Yen Yen.

Busana bermotif bangau perahu diangkat sebagai Kostum Kebangsaan dan bakal diperagakan Ratu Universe Malaysia 2018, Jane Teoh pada pertandingan Ratu Universe ke-67 di Bangkok, Thailand bulan depan.