Pengaruh fesyen oriental juga telah berkembang ke seluruh dunia sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu inspirasi adibusana oleh pereka antarabangsa.

Membawa fesyen oriental sebagai imej jenama, kumpulan fesyen premium terkemuka China, EP YAYING, mengorak langkah di arena fesyen tempatan dengan pembukaan butik global di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Pengarah Pemasaran, Komunikasi dan Imej Jenama EP YAYING, Fabio Becheri, pembukaan butik pertama di Malaysia ini merupakan saluran utama dalam memperagakan fesyen kontemporari negara China ke mata dunia.

“EP YAYING adalah perintis yang mengangkat fesyen dengan estetika oriental moden. Ia diasaskan pada tahun 1988 sebagai salah satu jenama pakaian yang popular di China.

“Sejak ditubuhkan, jenama kami banyak mengetengahkan fesyen klasik oriental yang diberikan sentuhan moden dan kami mahu berkongsi idea itu dengan pengikut fesyen di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik pertama EP YAYING di pusat-beli belah Suria KLCC baru-baru ini.

Hab fesyen

Tambahnya, dia memilih Malaysia sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara berikutan negara ini merupakan hab fesyen yang kaya dengan kepelbagaian pengaruh terutama Cina yang juga merupakan nadi kepada EP YAYING.

EP YAYING menggabungkan ciri-ciri moden dan tradisi, menyerlahkan kepelbagaian pengaruh dalam gaya hidup urban di samping menonjolkan impak sofistikated, elegan dan keyakinan tinggi dalam kalangan wanita kontemporari.

Jelas Becheri lagi, inspirasi fesyen EP YAYING banyak berkait dengan budaya dari daerah Jiangnan, selatan China, yang mengangkat budaya tradisional puisi China, himpunan lagu gurindam, hasil lukisan, gaya hidup sofistikated, artisan legenda dan kemewahan hasil seni perusahaan sutera dan sulaman.

“Kami menggunakan sutera sebagai material utama dan bunga peoni sebagai elemen tanda pengenalan. EP YAYING berterusan mengangkat simbol oriental ini dengan sentuhan moden menerusi kombinasi teknik terkini dan hasil kerja tangan tradisional di tahap optimum.

“Sutera merupakan fabrik ringan dan lembut, ia adalah salah satu ikon tersohor dalam tamadun China. Fabrik menarik ini menzahirkan pelbagai inspirasi indah bagi EP YAYING,” ujarnya.

Mengulas tentang fesyen EP YAYING, Pereka Fesyen Kreatif Kanannya, Edmund Ooi See Keong menjelaskan, EP dan YAYING membawa dua imej fesyen berbeza dalam satu sentimen yang sama.

“EP memberi tumpuan kepada ikatan hubungan antara alam dan manusia, dan mencetuskan inspirasi berterusan kala menjelajah alam, ia seiring dengan setiap rekaannya.

“Label ini menawarkan gaya kontemporari terkini dan fesyen ceria secara harmoni menggabungkan estetika oriental dan Barat,” jelasnya.

Inovasi

Tambahnya, jenama ini membentuk gaya unik menerusi rekaan artistik disertai beberapa kolaborasi, epitome rekaan inovasi pada pakaian, beg, kasut dan aksesori pada setiap musim.

Menurutnya lagi, YAYING pula dijanakan oleh inovasi dan keghairahan terhadap kesempurnaan bagi menghasilkan produk serta mencipta suasana penuh artistik.

“Jenama ini mewarisi estetika empayar China, dengan inspirasi daripada falsafah Cina yang terkenal dengan tujuan untuk menonjol selaku jenama fesyen terkemuka di China.

“Seiring dengan aspek kerja tangan mengagumkan dan estetika oriental, YAYING terus mengkaji dan memajukan lagi budaya tradisional Cina, pakaian dan tekniknya dalam cara penuh imaginasi, yang menunjukkan bagaimana gaya kontemporari Cina boleh menjadi malar segar,” ujarnya lagi.

EP YAYING kini berada dalam kedudukan lima rumah fesyen terunggul di China dengan lebih 450 butik di 200 bandar raya seluruh China.