Lantaran itu, apabila menerima pelawaan syarikat minyak, Petron Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam pembikinan 40 jaket berkonsep adiwira sempena tayangan filem Marvel, Captain Marvel, beliau terus menerimanya tanpa teragak-agak.

Pemenang Pereka Fesyen KL Fashion Week 2017 itu, diberi peluang melahirkan dua rekaan jaket untuk diberikan kepada para pemenang bertuah yang menyertai Peraduan Captain Marvel Petron secara eksklusif.

Mula bertapak dengan busana pengantin dan custom made sejak lebih tujuh tahun lalu, Alia, 34, berkata, koleksi sedia dipakai sangat akrab dengan dirinya menerusi label Alia B. Berbicara tentang selera gaya, dia meletakkan keselesaan sebagai keutamaan.

“Menerusi Captain Marvel, saya mendapati, adalah sesuatu yang menarik untuk menggabungkan fesyen dengan budaya dan filem pop. Ia berpadu serasi label Alia B yang sinonim dengan tagline terkini, muda dan bergaya.

“Secara peribadi, saya gemar membuat pakaian luar seperti jaket. Dalam hal ini, saya berusaha menghasilkan sesuatu rekaan yang selesa disarung sehari-hari dan tidak mahu membuatkan pengguna berasa seperti kostum,” ujarnya ketika ditemui Stailo! di studionya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Konsep berbeza

Selain itu, memandangkan Captain Marvel merupakan filem adiwira wanita pertama oleh Marvel Studios, Alia berasakan rekaan yang dihasilkan begitu akrab dengan dirinya dan berbangga kerana ia mencerminkan kehebatan kaum Hawa.

Idea dan konsep jaket itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan dengan Alia turut mendapat inspirasi daripada pelbagai perkara antaranya imej burung flamingo yang dirakam di taman burung selain karakter wanita-wanita tertentu.

Dari situ, pasukan kreatifnya mengumpulkan visual bayangan Alia dan membuat papan mood untuk diterjemahkan dalam rekaan tersebut.

Tambahnya, antara cabaran yang ditempuhi ialah menyematkan elemen feminin dan maskulin dalam dua rekaan jaket uniseks yang boleh dipakai kedua-dua jantina.

Alia bercerita, dua rekaan itu hadir dengan pilihan warna hitam dan biru gelap. Ia memiliki dua konsep berbeza iaitu ketenteraan dan satu lagi merupakan gaya sporty.

“Sebenarnya, dua rekaan itu masing-masing merupakan jaket moto yang menggunakan material denim berwarna hitam untuk memberi suntikan gaya ketenteraan tetapi ringan dan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

“Satu lagi merupakan jaket jenis bomber yang diperbuat daripada fabrik neoprene iaitu kain berserat halus dan lembut untuk gaya aktif yang mencerminkan sifat atletisme Captain Marvel,” jelasnya.

Baginya, jika sebelum ini masyarakat melihat pereka fesyen sepertinya hanya memiliki sifat kewanitaan, namun menerusi rekaan sedemikian, beliau secara tidak langsung memperlihatkan sisi lain jiwanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy, berkata, pihaknya berbangga bekerjasama dengan pereka berbakat seperti Alia.

“Kami berbangga untuk bekerja bersama Alia yang merupakan seorang daripada pereka fesyen terbaik di Malaysia.

Kami berharap melalui kerjasama ini, para pelanggan dapat merasakan penghargaan kami terhadap sokongan mereka,” katanya.

Dalam hal ini, ahli Petron Miles secara automatik layak membuat cabutan setiap kali membelanjakan minimum RM50 bermula dari 21 Februari hingga 6 April ini di semua stesen Petron Malaysia.