Lebih menarik, sabun buatan tangan itu kelihatan seolah-olah makanan sebenar. Terdapat juga rekaan seperti kek, karipap, kuih seri muka, biskut semperit dan dim sum.

“Ketika itu saya membeli-belah di sebuah bazar dan terlihat susunan sabun tersebut yang sangat ‘comel’ dengan pelbagai bentuk.

“Saya tidak pernah melihat sabun seperti ini, lalu bertanyakan lebih lanjut kepada penjual.

“Penerangan tersebut menarik hati saya, malah ia dihasilkan dengan bahan-bahan semula jadi,” ceritanya yang menjalankan perusahaan spa bergerak.

Lydia turut menggunakan produk Wunderbath di spanya ketika memberikan perkhidmatan penjagaan kecantikan kepada para pelanggan.

Di samping itu, dia juga menggunakan lip tint kerana mempunyai masalah bibir kering dan hasilnya sangat memuaskan apatah lagi menawarkan warna-warna yang sangat menawan seperti ros, nude dan merah jambu.

Pengasas Wunderbath, Evelyn Marieta berkata, dia ingin memberikan pengalaman mengujakan ketika mandi dengan menghasilkan sabun pelbagai bentuk di samping memiliki khasiat kecantikan untuk kulit secara semula jadi.

“Saya sangat menyukai bidang kosmetik dan pemakanan terutamanya menggunakan bahan-bahan semula jadi.

“Justeru itu, produk-produk Wunderbath bebas daripada penggunaan paraben, sodium lauryl sulfat (SLS) dan tidak mengujinya kepada haiwan,” katanya ketika ditemui di kedai Wunderbath yang terletak di pusat beli-belah Da Men, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ujar anak bongsu daripada dua beradik itu, pada mulanya dia menghasilkan produk kosmetik dan penjagaan diri untuk kegunaan sendiri kerana risau dengan kandungan bahan kimia pada produk yang dijual di pasaran.

Evelyn juga sangat teliti memilih gincu kerana bimbang ia mempunyai racun.

Ini kerana, katanya, ketika makan, gincu itu boleh melekat pada makanan dan masuk ke dalam perut sekali gus menyebabkan masalah kesihatan.

Formula sendiri

Berbekalkan pengalaman sebagai pakar nutrisi selama tiga tahun, dia mencipta formula tersendiri dan menjalankan kajian selama setahun bagi memastikan ia memberi manfaat yang sangat baik kepada pengguna.

Sehubungan itu, ia mendorong Evelyn mengusahakan perniagaan yang menjual produk-produk tersebut bagi berkongsi pengetahuan dan khasiatnya dengan orang ramai.

Menurutnya, Wunderbath yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, pada awalnya menjalankan perniagaan di bazar dan secara online.

Kini, Wunderbath turut memiliki kios di pusat beli-belah Paradigm, Petaling Jaya yang menawarkan 40 jenis produk termasuk kosmetik dan penjagaan diri.

Produk tersebut menggunakan bahan makanan dan tumbuhan-tumbuhan sahaja.

Antara produk yang dijual ialah body butter, lip tint, pelembap bibir, penyembur badan dan muka, lilin wangi, skrub badan, sabun ultra realistik, bath bomb dan minyak pati.

Pasaran

“Sabun tersebut boleh dipakai pada badan dan muka, manakala skrub badan pula boleh dibuat topeng muka dengan mencampurkan bahan-bahan seperti madu, yogurt ataupun susu badan.

“Pelembap bibir Wunderbath mempunyai sembilan perisa seperti Musang King, sirap ros, teh tarik dan kekacang.

“Tujuan saya berbuat demikian ialah untuk berkongsi ‘rasa’ Malaysia kepada negara luar,” terangnya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Nutrisi dan Sains Pemakanan dari University Of Alberta, Kanada.

Walaupun masih hijau dalam perniagaan tersebut, Evelyn berbangga kerana sudah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Australia, Korea, Britain dan Singapura.

Bercerita mengenai cetusan idea untuk menghasilkan sabun ultra realistik, Evelyn memberitahu, produk tersebut sukar didapati di negara ini sedangkan ia cukup popular di luar negara.

“Kebiasaannya, saya mendapat idea untuk menghasilkan rekaan ketika makan. Disebabkan itu, kebanyakan sabun berbentuk makanan dan kuih-muih.

“Paling laris ialah sabun berbentuk telur goreng,” tuturnya yang turut menerima tempahan khas mengikut cita rasa pelanggan dengan kuantiti sekurang-kurangnya 50 item.

Orang muda

Menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya, sabun ini boleh bertahan sehingga dua atau tiga tahun.

Wunderbath turut menawarkan perkhidmatan menggubah hadiah untuk dijadikan barangan cenderamata kepada orang tersayang mahupun tujuan korporat.

Majoriti pelanggannya terdiri daripada orang muda yang berumur 20 hingga 30 tahun.

Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula RM9.90 dan RM150 untuk satu set.

Pada masa akan datang Evelyn telah merangka beberapa perancangan seperti menambahkan lagi produk kecantikan dan kosmetik untuk lelaki serta wanita.

“Saya turut merancang untuk mengadakan bengkel bagi membuat produk kecantikan dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi.

“Pada tahun hadapan saya menyasarkan untuk memasuki pasaran global,” jelasnya yang suka menghasilkan formula-formula kecantikan baharu pada masa lapang.

Seorang lagi pelanggannya, Christine Su, 19, turut teruja menggunakan produk Wunderbath sejak setahun yang lalu.

“Sebelum ini, saya berpandangan sabun sangat membosankan tetapi segalanya berubah apabila melihat sabun yang dijual di Wunderbath direka dengan sangat kreatif dan berbau wangi.

“Saya juga mencuba body butter dan pelembap bibir,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Rupa bentuk sabun seperti makanan sebenar antaranya donut, kek, karipap dan dim sum menjadi daya penarik kepada jenama Wunderbath.