Langkah kakinya diatur kemas memasuki ruang pejabat yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya,Selangor.

Penampilan Muhd. Najib Abu Bakar, 36, yang mengenakan sut berwarna biru tua membuatkan banyak pasang mata tertancap kepadanya.

Bijak bermain warna, gaya elegan pengurus operasi itu lengkap dengan beg bimbit berwarna coklat muda yang disandang di bahu.

Potongannya yang kemas dengan perincian tembaga minimal pada beg kulit itu menampakkan sisi mewah dan elegan.

Sekali pandang, pasti ramai menyangka beg tersebut adalah keluaran jenama terkenal yang dibeli di pusat beli-belah tersohor.

Sebaliknya, ia adalah beg kulit asli hasil jahitan tangan seorang pengusaha kraftangan kulit tempatan.

Menurut Muhd. Najib, beg kulit bimbit merupakan aksesori wajib sejak dia terlibat dalam bidang pengurusan hampir sedekad lalu.

Penampilannya terasa tidak lengkap dan kurang berkeyakinan jika tidak membawa beg bimbit bersama ketika bertugas. Selain digunakan untuk bekerja, Muhd. Najib turut menggunakannya ketika bersantai.

Katanya, sifat versatil itu membuatkan dia cukup menggemari beg kulit.

Atas sebab itu, dia sentiasa mencari kelainan dalam menambah koleksi beg bimbitnya.

Kemuncaknya, dia menemui seorang pengusaha beg kulit yang menawarkan perkhidmatan tempahan secara online.

Tambah menarik, beg kulit tersebut dijamin seratus peratus buatan tangan.

“Selain boleh memilih rekaan dan potongan yang dimahukan, saya turut dibantu dalam pemilihan jenis kulit mengikut bajet.

“Walaupun teruja, saya sama sekali tidak menyangka hasil kerja tangan ini cukup cantik setanding jahitan mesin,” katanya yang menyifatkan kulit sebagai produk berkualiti dan tahan lama.

Barangan buatan tangan dilihat sebagai mempunyai sentuhan klasik dan lebih eksklusif. Ia mewujudkan permintaan dalam kalangan peminat fesyen termasuk penggemar barangan kulit.

Perkara ini dipersetujui oleh seorang pengusaha kraftangan kulit, Moor Leather & Craft, Murni Balqis Hashim, 36.

Dia yang menghasilkan beg bimbit kulit untuk Muhd. Najib merebut peluang tersebut setelah meneliti perkembangan fesyen lelaki dan industri kraftangan dalam negara.

Kulit lembu

Mesra disapa Murni, dia mengusahakan perniagaan beg bimbit kulit berciri maskulin khas untuk lelaki.

Eksekutif Khidmat Pelanggan di sebuah syarikat kurier ini hanya menjalankan perniagaan secara sambilan dari rumah sejak dua tahun lalu.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan purata satu tempahan barangan kulit setiap bulan.

Menggunakan kulit lembu sebagai material produk, dia percaya, kekuatan produknya terletak pada konsep yang diketengahkan iaitu rustik ala koboi.

“Sebagai peminat tegar barangan kulit, saya cukup arif mengenai elemen yang diminati oleh penggemar kulit. Ia digelar sebagai rustik.

“Rustik ialah sifat semula jadi kulit haiwan yang terhasil seperti calar dan warna kulit tidak sekata akibat kelasakan haiwan tersebut,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor.

Ciri artistik

Pada mata penggemar kulit, elemen tersebut merupakan ciri artistik yang menambah nilai eksklusif barangan kulit. Menurutnya, ala koboi pula menampilkan ciri potongan ringkas dan klasik yang sengaja tidak dihias terlalu sarat dengan perhiasan rantai dan sebagainya.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini, dia memilih konsep tersebut kerana mahu memelihara sifat semula jadi beg kulit yang dihasilkan. Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk turut menerapkan ciri tradisional seperti jahitan tangan ke dalam proses pembuatannya.

Tambahnya, dia mengaplikasikan kehendak dan minatnya terhadap barangan kulit kepada produk jahitannya bagi mendapatkan kualiti terbaik.

“Saya pernah mengunjungi beberapa negara termasuk Turki, Belanda dan Indonesia untuk mendapatkan info tentang penghasilan beg kulit.

“Kraf tangan kulit cukup popular di ketiga dan ia banyak dijual di tepi-tepi jalan. Dari situ, saya boleh memberi nasihat kepada pelanggan tentang rekaan yang sesuai mengikut kehendak mereka,” ujar isteri kepada seorang modeler animasi ini.

Pada dasarnya terdapat tujuh proses utama dalam menghasilkan beg bimbit kulit buatan tangan. Ia terdiri daripada memilih kulit, merangka, mengukur, memotong, menjahit, menambah perincian dan merapikan setiap sudut tepi kulit yang dipotong. Bahagian yang paling sukar adalah sewaktu menjahit.

“Menjahit kulit tidak sama seperti menjahit fabrik kerana ia sangat keras.

“Luka di tangan adalah perkara biasa,” kongsi wanita berasal dari Jitra, Kedah ini.

Menariknya, di sebalik keunikan hasil air tangan ini, harga beg bimbitnya jauh berbeza daripada harga pasaran.

Dijual pada harga antara RM450 hingga RM750, ia merupakan antara yang termurah dalam kalangan pengusaha beg kulit seluruh negara. Selain beg bimbit, Murni turut mengambil tempahan tali pinggang, dompet serta merancang untuk menambah planner dalam produknya tidak lama lagi.

Mengapakah Murni tidak menghasilkan beg untuk wanita? Ibu kepada dua cahaya mata ini ada jawapan.

“Sebagai wanita, saya cukup memahami sifat kaum Hawa yang cenderung melihat kepada jenama dan luaran beg yang cantik. Konsep rustik yang saya bawa jarang digemari oleh mereka.

“Buat masa sekarang, saya mengambil jalan menumpukan perhatian terhadap produk kulit untuk lelaki,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik butik Laive Handmade Leather, Leong Lai Fong berkata, berkarya menggunakan kulit menguntungkan kerana ia satu-satunya fesyen global yang tidak lapuk ditelan zaman.

“Walaupun inovasi membawa kepada kewujudan material seakan kulit termasuk PVC, ia tidak dapat menandingi kelebihan kulit asli.

“Sifatnya yang semakin lama semakin berkilat dan cantik menjadikan ia fesyen yang sangat bernilai,” kongsinya yang sudah tiga tahun mengusahakan butik barangan kulit buatan tangan yang terletak di Taman Selayang Jaya, di Batu Caves, Selangor.

Katanya, beg kulit yang dijaga dan dirawat, mampu bertahan sehingga berdekad lamanya.

“Beg kulit perlu diletakkan pada suhu bilik. Ia tidak boleh terlalu panas dan lembap dikhuatiri menggalakkan tumbuhnya kulat.

“Barangan kulit juga perlu dilap segera jika terdapat kotoran ataupun air yang tumpah kerana ia berupaya menyerap lembapan,” ujarnya yang menyediakan perkhidmatan merawat dan mencuci barangan kulit.