Sudah menjadi kebiasaan berdepan lensa, pemuda kacak empunya nama penuh Ahmad Nabil Ahmad Mahir ini merupakan salah seorang ikon yang memiliki imej dan gaya fesyen tersendiri.

Selesa dengan gaya maskulin berkonsep praktikal, Nabil menampilkan gaya jejaka kosmopolitan yang lebih santai dan kasual.

Menurut lelaki yang selesa tampil berjambang nipis ini, dalam berfesyen, dia lebih gemarkan persalinan yang praktikal, ringkas dan stail.

Pengaruh fesyen Nabil banyak dipengaruhi daripada bapanya.

“Ayah mempunyai gaya tersendiri yang menampakkan dirinya muda pada usia 
60-an.

“Saya banyak merujuk kepada cara ayah berfesyen dan mengambil beberapa elemen imej seterusnya menambahnya dengan gaya kesukaan saya,” katanya ketika ditemui Stailo di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, berbeza dengan gaya bapanya yang lebih rugged, Nabil lebih menggemari imej kasual kemas selain santai, namun tidak terlalu kelihatan berlebihan.

Selain bapanya, gaya pemuda berketinggian 170 sentimeter itu juga banyak dipengaruhi oleh jenama fesyen Calvin Klein selain menjadikan jenama popular itu sebagai pakaian pilihan dalam koleksi persalinannya.

Jelasnya, pakaian yang sentiasa menjadi pilihannya adalah persalinan sut penuh kerana merupakan transkripsi gayanya secara menyeluruh.

Menurutnya lagi, dalam memilih gaya, dia bukan sahaja memilih pakaian yang cantik di mata tetapi juga mempunyai kualiti serta selesa dipakai.

“Fesyen Calvin Klien adalah gaya yang paling dekat dengan personaliti dan imej saya. Ia juga tidak mempunyai rekaan yang terlalu menonjol tetapi mempunyai signatur tersendiri melalui hasil kerja yang kemas dan menitikberatkan keselesaan.

“Namun, dalam banyak pakaian, saya gemar mengenakan sut kerana ia adalah gaya yang bukan sahaja sesuai untuk semua lapisan usia malah praktikal untuk apa juga acara santai mahupun profesional,” ujarnya yang menggemari warna hijau.

Wangian

Tambahnya lagi, selain pakaian, dia juga merupakan seorang lelaki yang gemarkan aksesori kaca mata hitam dan kasut.

Kedua-dua aksesori berkenaan merupakan antara item fesyen yang menjadi antara perincian gaya yang diberi tumpuan memandangkan ia menjadi pelengkap kepada keseluruhan gaya.

Nabil memberitahu, dalam pemilihan kasut, dia gemarkan kasut kulit dan sneaker. Kedua-duanya merupakan sepatu yang sering digunakan sama ada di khalayak atau pada hari biasa.

Antara jenama sepatu pilihannya adalah daripada Hugo Boss, Paul Smith dan Adidas.

Wangian juga menjadi antara pelengkap gaya Nabil. Dalam memilih wangian, Nabil berseloroh bahawa dia merupakan seorang yang setia.

“Wangian pilihan saya Dior Sauvage. Minyak wangi ini baunya lembut dan tahan lama sebab itu tidak kira malam atau siang ia menjadi pilihan saya.

“Dalam perapian diri saya menjalankan rutin harian seperti biasa dengan mencuci muka, skrub dan rutin penjagaan lain, namun dalam berdandan, saya akan mengambil banyak masa untuk rambut,” jelasnya.