Bakat dalam bidang lukisan terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila dia sering menjadi juara setiap kali mengikuti pertandingan lukisan di sekolahnya.

Wanita yang menjadi tulang belakang kepada jenama LeeyanaRahman Collection itu turut mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya yang merupakan seorang tukang jahit.

Penglibatan secara tidak sengaja dalam perusahaan pakaian Muslimah pada tahun 2012 membuka lembaran baharu dalam hidupnya sebelum bergelar usahawan berjaya pada hari ini.

"Pada tahun 2012, saya mereka baju sekadar suka-suka untuk dipakai pada Hari Raya Aidiladha dan memuat naik di Facebook.

"Maklum balas daripada rakan-rakan di laman sosial itu di luar jangkaan saya apabila masing-masing bertanyakan mengenai rekaan tersebut dan berminat untuk membelinya," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di butiknya di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, tercetus idea untuk menghasilkan pakaian sendiri dengan bermodalkan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikongsi bersama suami Muhammad Hafiz Abd. Hamid, 27.

"Ketika memulakan perniagaan itu, saya dan suami masing-masing melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan tidak mempunyai modal besar.

Jual online

"Oleh itu, kami bersepakat untuk menggunakan sedikit wang pinjaman PTPTN yang berjumlah RM1,500," katanya yang menghulurkan wang sebanyak RM600 manakala suami pula RM900 untuk dijadikan modal perniagaan.

Bertitik tolak daripada itu, pasangan suami isteri tersebut bertungkus-lumus membangunkan perniagaan selain memberi fokus kepada pendidikan.

Berbekalkan modal RM1,500, mereka dapat menghasilkan 14 pasang baju dan menjual secara online di Facebook.

Menariknya, dalam masa satu jam sahaja, semua baju itu habis terjual.

Sambutan luar biasa itu mendorong merpati dua sejoli tersebut menggandakan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu membuktikan bahawa walaupun tidak mempunyai kelulusan dalam bidang fesyen, dia boleh berjaya asalkan ada minat dan usaha.

"Inspirasi mereka pakaian selalunya diperoleh melalui internet dan mengikuti perkembangan semasa pereka-pereka dari dalam dan luar negara.

"Oleh itu, keistimewaan kami adalah mengeluarkan rekaan-rekaan yang mengikuti trend terkini dan segar sehingga orang ramai sentiasa menanti-nantikan koleksi terbaharu LeeyanaRahman Collection," katanya yang berpegang kepada prinsip ingin menjadi nombor satu dalam apa jua bidang yang diceburi.



PELBAGAI busana Muslimah boleh didapati di butik LeeyanaRahman Collection di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Ujar anak kelahiran Besut, Terengganu itu, dia menggemari fabrik sifon dan satin dutches dalam setiap rekaannya kerana ia mampu menampilkan gaya lebih eksklusif.

Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata, mereka beruntung kerana merupakan orang terawal yang menjalankan perniagaan pakaian Muslimah kontemporari.

"Sekitar tahun 2012, perniagaan Muslimah secara online tidaklah sebanyak hari ini dan kami merupakan jenama terawal yang menjalankan perniagaan seumpama itu.

"Justeru itu, orang ramai memilih produk kami dan menjadi satu nama yang kukuh sehingga ke hari ini serta mempunyai ramai pelanggan setia," kata graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari UiTM, Segamat, Johor itu.

Muhammad Hafiz bersyukur kerana dalam kesibukan menjalankan perniagaan itu, pelajaran mereka tidak terganggu dan bergraduat dengan jayanya.

Berkat kesungguhan mereka berdua, LeeyanaRahman Collection mempunyai butik sendiri dan beroperasi di Bangi Sentral, Bangi, Selangor pada tahun 2014.

Bermula dengan butik kecil, kini mereka mampu memiliki bangunan perniagaan setinggi enam tingkat yang turut menempatkan pejabat, stor dan bengkel jahitan.

Menurut anak ketiga daripada empat adik-beradik itu, setelah lima tahun mencipta nama dalam industri fesyen Muslimah, mereka turut meluaskan perniagaan dalam penghasilan produk kosmetik dan beg tangan.

Pasaran Eropah

"Kami turut merancang untuk menjalankan perniagaan makanan dan minuman dalam masa terdekat.

"Selain itu, kami bakal melebarkan sayap ke negara Eropah dan negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand serta Indonesia kerana banyak mendapat permintaan daripada pelanggan di negara-negara itu," kongsinya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Tambahnya, bagi meluaskan jenama itu, mereka aktif mengadakan peragaan fesyen di dalam dan luar negara.

Mengulas mengenai perniagaan penjagaan wajah, Muhammad Hafiz berkata, isterinya gemar bersolek dan sering melakukan tutorial serta memuat naik ke laman sosial.

"Setelah melihat tutorial itu, ramai pengikut di laman sosial memberi respons dan suka melihat solekan daripada isteri.

"Lalu tercetus untuk menghasilkan produk kosmetik yang mula dipasarkan pada tahun lalu,"katanya sambil berkongsi rahsia kejayaan iaitu minat, bakat dan usaha.

Tutur Muhammad Hafiz, sepanjang menjalankan perniagaan itu, kenangan yang sukar dilupakan ialah apabila menerima anugerah rekaan busana terbaik sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, sudah menjadi lumrah bagi perniagaan yang baru bertatih, pasti ada jatuh bangun dan kepahitan. Perkara itu turut dilalui oleh LeeyanaRahman Collection.

"Kami pernah mengalami kerugian sebanyak RM40,000 apabila ditipu oleh tukang jahit dan pembekal.

"Pada ketika itu, kami bagaikan jatuh terduduk dan perlu berdepan dengan kemarahan pelanggan apabila baju yang ditempah tidak dapat disiapkan, malah terpaksa membayar ganti rugi.

"Namun, dalam keadaan perit itu, kami tidak menyerah kalah dan berani berdepan untuk menyelesaikan masalah tersebut satu persatu sehingga selesai," katanya yang menganggap setiap ujian yang berlaku itu mematangkan mereka untuk mengendalikan bisnes.