Disebabkan itu, tidak ramai usahawan yang berani mengambil risiko melibatkan diri dalam industri pembuatan kasut khususnya kasut fesyen.

Meskipun begitu, ia sedikit pun tidak menjadi penghalang kepada jenama kasut tempatan, Xalf bertapak kukuh.

Menurut pengasas bersamanya, Xavier Mah, bidang pembuatan kasut fesyen di Malaysia terkenal sejak era 80-an.

Lama-kelamaan, permintaan terhadap pembuatan kasut tersebut semakin berkurangan.

Bahkan, kepakaran dalam bidang pembuatan kasut itu dikhuatiri lupus begitu sahaja.

“Kebanyakan operasi kilang, bengkel dan kedai-kedai kasut terpaksa diberhentikan kerana industri yang seakan-akan tidak menggalakkan.

“Disebabkan itulah, Xalf terpanggil untuk menghidupkan kembali industri pembuatan kasut tempatan ini.

“Ia sedikit sebanyak dapat menggalakkan semula pembuatan kasut tempahan khas dan mengangkat martabat tukang-tukang kasut tempatan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Jenama tersebut diperkenalkan di persada fesyen tanah air sekitar penghujung Disember 2012.

Xalf bermula dengan memperkenalkan koleksi kasut tempahan khusus yang dikategorikan sebagai bespoke untuk golongan wanita sahaja.

Sehingga kini, terdapat lebih 80 rekaan kasut wanita pelbagai jenis yang direka khas menepati ciri-ciri wanita kontemporari.

Antaranya termasuklah kasut sarung, sandal, baji, stiletto, but, dan kasut tumit tinggi.

Segala-galanya bermula sewaktu Xavier diundang untuk memeriahkan sebuah pertunjukan fesyen di New York.

“Ketika berada di sana, saya terlihat seorang model sedang berdiri di tepi dinding sambil menggayakan busana termasuk aksesori serba putih namun memakai kasut tumit tinggi unik berwarna oren.

“Ketika itu, saya bertekad untuk menghasilkan jenama kasut sendiri,” ujarnya yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai perhubungan awam.

Sekembalinya ke Malaysia, dia dipertemukan bersama Alfred Hor menerusi Facebook. Setelah berbincang mengenai perancangan perniagaan akhirnya kedua-dua pihak terus bersetuju.

Eksklusif

Setiap kasut rekaan Xalf direalisasikan oleh empat orang artisan yang pakar dalam penghasilan kasut kulit. Keempat-empat tukang kasut warga tempatan itu berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri pembuatan kasut kulit.

Kongsi Xavier, penghasilan kasut itu tidak semudah yang disangka kerana ketebalan kulit asli yang pelbagai membuatkan setiap bahagian memerlukan kerja-kerja yang begitu teliti.

Disebabkan setiap kasut itu dihasilkan secara eksklusif, penghasilannya merupakan sebuah pengalaman baharu bagi tukang kasutnya.

Xalf menawarkan lebih 40 variasi jenis kulit yang diimport dari pelbagai negara seperti India, Hong Kong, China, Itali dan Indonesia.

Antara kulit asli yang ditampilkan dalam rekaan kasut Xalf ialah kulit lembu, kambing dan keldai termasuk reptilia seperti ular sawa.

Kepelbagaian jenis kulit itu menawarkan variasi ketebalan dan kegunaan mengikut cita rasa pelanggan.

Menariknya, kasut rekaan Xalf turut menjadi pilihan selebriti terkemuka dari dalam dan luar negara.

Antara individu yang pernah memperagakan kasut bespoke Xalf ialah pelakon, Datuk Yasmin Yusoff; ikon fesyen, Tengku Chanela Jamidah, Ai Tominaga; pelakon dari Indonesia, Kimberly Ryder, model, pelakon dan penyanyi Malaysia, Amber Chia, Atikah Suhaime, Nikki Palikat dan ramai lagi.

Bahkan, penyanyi, penulis lirik dan pelakon muda berbakat besar, Daiyan Trisha turut menggayakan kasut rekaan Xalf.

“Kebanyakan kasut tumit tinggi tidak selesa dipakai untuk satu jangka masa yang lama.

“Meskipun begitu, kasut rekaan Xalf ini sangat selesa walaupun dipakai berjam-jam lamanya,” memetik kenyataan selebriti tersebut menerusi muat naik laman instagram rasmi Xalf.

Jenama tersebut juga berjaya menjalin kolaborasi bersama jenama-jenama kereta mewah seperti Bentley, Lotus, Aston Martin dan McLaren.

Sempena tahun 2018, jenama tersebut semakin matang sambil membawa satu haluan baharu.

Xalf melancarkan koleksi baharunya iaitu Xalf True yang dihasilkan khusus menepati cita rasa gaya lelaki moden.

Klasik

Sementara itu, Pengarah Kreatif Xalf, Alfred Hor berkata, Xalf menampilkan lapan rekaan kasut klasik yang diberikan cetusan elemen moden. Bertepatan dengan namanya, koleksi Xalf True menghendaki setiap lelaki supaya jujur kepada diri mereka sendiri khususnya dalam pemilihan kasut idaman.

“Setiap rekaan kasut ini mempunyai gaya tersendiri namun pada masa sama menepati cita rasa lelaki urban.

“Falsafah di sebalik penghasilan koleksi ini ialah membawakan kepada golongan lelaki kasut fesyen yang mengutamakan faktor keselesaan itu sendiri.

“Malah, Xalf juga menawarkan perkhidmatan bespoke yang lengkap bagi memberikan pengalaman eksklusif kepada setiap pelanggan lelaki kami,” ujarnya.

Perkhidmatan bespoke membenarkan pelanggan untuk mendapatkan sepasang kasut bukan sahaja tertakluk kepada saiz malah rekaan, ketinggian tumit, tapak dan kusyen.

Jelas Alfred, jenama tersebut melancarkan kasut lelaki mewah selepas lima tahun diperkenalkan bagi memastikan kualiti setiap rekaan kasut itu bertepatan dengan kehendak golongan berkenaan.

Katanya, Xalf melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk koleksi baharunya itu selama hampir setahun termasuk peringkat percubaan serta penambahbaikan prototaip.

Antara perkara yang perlu sentiasa disemak semula ialah ketinggian tumit, potongan dan pengkusyenan setiap rekaan.

Malah, Xalf turut melakukan percubaan menggunakan pelbagai jenis kulit demi mendapatkan penghasilan sepasang kasut lelaki yang selesa dalam tempoh tersebut.

Kongsi Alfred, pelanggan hanya perlu membuat janji temu sebelum berkunjung ke bilik pameran yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Selepas itu, rundingan berkenaan rekaan akan dijalankan termasuk ukuran kaki.

Setiap satu kasut yang ditempah khas boleh siap sepenuhnya dalam tempoh sekitar tiga minggu.

Xalf True koleksi kasut lelaki menghendaki setiap lelaki supaya jujur kepada diri mereka sendiri khususnya dalam pemilihan kasut idaman.