Namun, bagi mereka yang mementingkan penampilan diri, aksesori seperti kaca mata berperanan sebagai pelengkap gaya. Ia satu kemestian untuk disesuaikan dengan cita rasa, pakaian dan sesebuah acara yang dihadiri.

Menyedari hakikat itu, sempena ulang tahun ke-30, jenama optometri, Focus Point menganjurkan majlis peragaan fesyen dengan mengetengahkan koleksi kaca mata terbaharu Gucci dan Cartier untuk edisi musim panas serta musim bunga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings Berhad, Datuk Liaw Choon Liang berkata, koleksi yang diketengahkan kali ini merupakan rekaan kaca mata moden dengan bentuk lebih pelbagai untuk variasi segmen pengguna.

“Bentuk kaca mata bersaiz besar masih menjadi trend tahun ini dan diminati ramai selain bentuk biasa seperti bulat dan empat segi.

“Ia juga lebih berwarna-warni, lebih menonjol dan menyerlahkan keberanian seseorang menerusi kaca mata kegemaran masing-masing,” ujarnya kepada Stailo di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Varian

Menurutnya, Focus Point selaku pengedar unggul bagi kebanyakan jenama kaca mata eksklusif dan terkenal di dunia berhasrat mengetengahkan lebih banyak varian kaca mata mengikut aliran fesyen terkini.

Tambahnya, dua jenama yang dibawakan tersebut merupakan antara jenama popular dengan idea reka bentuk segar, glamor dan unik.

Antaranya menampilkan ciri-ciri neoklasik, berkilau, feminin, sofistikated dan aneka bentuk kontemporari seiring dengan visi fesyen jenama yang diketengahkan.

Salah seorang selebriti yang menghadiri pertunjukan itu, Zoey Rahman teruja dengan koleksi terbaharu yang diketengahkan Focus Point itu dan menyifatkan ia mengikut trend semasa sesuai dengan cita rasa.

Biarpun dirinya secara peribadi lebih selesa memilih cermin mata bersifat minimalis namun tidak menolak menggayakan rekaan kaca mata yang unik misalnya mempunyai perincian berkilauan sesuai dengan tema sesuatu majlis.

“Saya tidak akan keluar rumah tanpa mengenakan kaca mata. Boleh dikatakan ia merupakan aksesori wajib yang saya akan beli ketika melancong.

“Lagipun saya seorang yang rabun dan tidak selesa mengenakan kanta lekap,” ujarnya yang memiliki lebih 100 pasang koleksi kaca mata.

Sisi berbeza

Sementara itu, perunding imej Akram Zulkifli menjelaskan, kaca mata merupakan antara pelengkap gaya penting dalam mengubah gaya atau menonjolkan sisi berbeza seseorang.

“Antara tujuan pemakaian cermin mata ialah memperlihatkan ilusi simetri pada raut wajah dengan membuatkan kedudukan mata, telinga dan kening tampak selari dan sempurna.

“Pemilihan kaca mata bersesuaian dengan gaya juga membuatkan seseorang itu kelihatan muda daripada usianya. Saya sendiri memilih kaca mata yang dapat membuatkan saya kelihatan lebih matang,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Focus Point turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kedai rantaian optikal terbesar Malaysia.

Bersempena usia penubuhan ke-30, Focus Point turut menjalankan kempen penghargaan buat pelanggan setia mereka dengan memberi hadiah menarik dan eksklusif untuk 30 pemenang setiap bulan.

Maklumat lanjut untuk kempen dan tawaran menarik terkini boleh lawati laman Facebook, Focus PointFP.