Setelah memikirkan idea terbaik, Nor Syakirah bercadang untuk menghasilkan rekaan tudung dan selendang yang dihias dengan perincian menarik.

Pun begitu, wanita beranak satu kelahiran negeri Jelapang Padi itu berdepan masalah tidak tahu lokasi untuk mendapatkan perincian yang dikehendaki.

“Saya mengimpikan perincian mewah seperti yang banyak digunakan oleh pengusaha butik terkenal, namun mahu memastikan ia tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi. Malangnya tidak banyak elemen perhiasan busana terutamanya rekaan terkini dijual sekali gus menyulitkan usaha saya.

“Mujurlah, saya bertemu dengan Beads n Blings melalui Instagram. Daripada perkongsian dan respons pelanggan mereka (Beads n Blings), saya cuba datang ke sini dan melihat sendiri perhiasan yang ditawarkan. Ternyata, butik ini boleh membantu saya merealisasikan konsep tudung yang ingin dikomersialkan tidak lama lagi,” kongsinya penuh teruja ketika ditemui di Beads n Blings Studio di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Pusat sehenti

Itu adalah antara respons wajib pengunjung setiap kali berkunjung ke Beads n Blings Studio, sebuah pusat merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kelengkapan perhiasan dan perincian yang versatil.

Sering menjadi tumpuan pencinta gaya eksklusif dan juga pengusaha pakaian wanita terutamanya tudung dan busana, Beads n Blings menawarkan sebanyak 27 kategori perincian masa kini yang dijual dengan pek pelbagai gram, per meter serta secara per kuantiti.

Antaranya termasuklah bunga tiga dimensi, renda tampal, renda elastik, sifon berlisu, ropol berlisu, kristal tampal, bulu pelepah hiasan, renda tiga dimensi, batu permata dan banyak lagi.

Pengasas merangkap Pengurus Beads n Blings, Norbaitina Abu Bakar, 33, berkata, daripada 27 jenis perincian yang ditawarkan, pihaknya menyediakan hampir 10,000 rekaan perincian berbeza warna, saiz dan bentuk dalam sesuatu masa.

Harga yang ditawarkan pula cukup berbaloi dengan harga antara 20 sen sehingga RM80 semeter mengikut jenis perincian.

Lebih menarik, elemen perhiasan yang diimport dari China itu adalah sangat eksklusif dan terkini. Bahkan, kebanyakannya sukar diperoleh di tempat lain.

“Bagi memastikan pelanggan menerima produk yang terkini mengikut gaya dan fesyen semasa, kami akan pastikan stok dikemas kini setiap bulan mengikut respons dan kehendak pelanggan. Paling penting, selalunya, kami sendiri akan ke China untuk menentukan kualiti barang.

“Misalnya, untuk perincian bunga tiga dimensi yang paling popular dalam kalangan penggemar hiasan busana, terdapat lebih 100 rekaan disediakan khusus untuk memenuhi kehendak penggemar,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami, Fazely Hamzah.

Busana mewah

Bercerita mengenai penubuhan awal Beads n Blings, Norbaitina berkata, pihaknya hanya bermula dengan satu kategori perincian sahaja iaitu dokoh tampal yang sangat popular sekitar tahun 2011 juga diambil dari negara Tembok Besar itu.

“Pada waktu itu, dokoh tampal sangat popular digayakan pada baju kurung, kebaya dan juga kebarung. Kebetulan, ketika saya berada di China untuk bercuti, saya melihat banyak dokoh dijual di sana dengan rekaan yang lebih cantik dan murah berbanding di tanah air.

“Saya kemudian membeli lebih kurang 1,000 keping dokoh tampal dan mula menjualnya secara online dengan harga seringgit sekeping.

“Tidak sangka, ia mendapat perhatian ramai sehingga akhirnya membawa kepada pelbagai jenis perincian lain dijual sebelum butik fizikal pertama dibuka di Semenyih dan Bangi di Selangor dan terbaru di Kuala Terengganu,” jelasnya ringkas mengenai sejarah penubuhan Beads n Blings.

Tambah Norbaitina, dia percaya, antara faktor utama Beads n Blings mendapat sokongan ramai ialah kerana mereka bukan sahaja menyediakan perincian berkualiti dan murah, malah turut memudahkan aplikasi perincian pada fabrik pelanggan.

“Secara asasnya, kita sediakan dua pilihan kepada pelanggan. Jika mereka mahir dan gemar menjahit manik, batu, bunga kristal dan sebagainya, kita sediakan perincian jenis boleh dijahit yang lebih konvensional.

“Namun, untuk mereka yang mungkin sibuk, kurang mahir dan mahu menghias busana dengan cepat dan lebih pantas, terdapat juga perincian jenis pelekat. Mereka hanya perlu tampal dan menggosoknya lembut dengan seterika untuk kesan sama seperti dijahit,” ujarnya sambil menunjukkan bekas lut sinar berisi perincian kristal jenis pelekat berbentuk bunga daisi.

Beads n Blings yang dibantu enam orang pekerja bagi setiap cawangan turut menawarkan perkhidmatan memasang elemen perincian pada fabrik pelanggan dengan upah serendah RM6 sahaja.

Kebanyakan pelanggan kebiasaannya akan datang memilih sendiri perincian sebelum berbincang dengan staf di Beads n Blings bagi menyempurnakan busana gaya mewah dan eksklusif mereka.

“Selalunya pesanan hiasan yang kami terima adalah di bahagian tangan, pinggang, bawah baju dan juga leher. Namun, sekitar dua bulan ini terutamanya sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, kami banyak menerima tempahan memasang batu permata kecil pada fabrik terutamanya yang bercorak atau bercetak flora.

“Saya percaya itu adalah trend dari sebuah jenama terkenal tanah air yang banyak menghias busana bercorak bunga dengan elemen permata indah sebagai lambang eksklusiviti,” jelasnya mengenai trend penggunaan perincian.

Sementara itu, pemilik bersama, Fazely Hamzah berkata, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang mungkin tidak tahu cara-cara menggayakan perincian.

Beads n Blings Studio yang terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor menawarkan lebih 10,000 rekaan perincian busana pelbagai rekaan, fungsi dan warna untuk pelanggan.