Apatah lagi, bagi pencinta kucing pasti teruja mendapatkan produk-produk berkaitan haiwan tersebut.

Bertitik tolak daripada itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid telah mengetengahkan keindahan seni batik yang bercorak kucing yang dikenali sebagai Karlrush Catz Collection.

Beliau yang meminati kesenian dan warisan, merangka gerak kerja untuk menghasilkan batik tersebut dengan kerjasama Desa Murni Batik Sdn. Bhd. dan Karlush Catz Gallery miliknya.

“Saya sentiasa mencari idea-idea baharu untuk meningkatkan kecintaan kepada haiwan dan pada masa sama mengangkat kesenian tempatan.

“Sehubungan itu, saya berfikir adalah elok jika diusahakan batik dengan corak haiwan comel ini kerana ia tidak banyak dijual di pasaran.

“Corak kucing dengan taburan bunga dan motif abstrak menjadikan batik ini sungguh istimewa terutama kepada pencinta haiwan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Pets Lover Fiesta di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, Karlrush Catz Collection menampilkan warna-warna pastel kerana ia sangat digemari oleh masyarakat di dalam dan luar negara di samping mudah untuk dipadankan bersama seluar, tudung mahupun aksesori.

Sehingga kini pihaknya berjaya menghasilkan 30 koleksi yang terdiri daripada tudung, kemeja, jubah dan blaus.

Buat julung-julung kalinya, batik tersebut akan dilancarkan sempena Pets Lover Fiesta yang akan berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 3 hingga 11 Februari ini.

Di samping itu, pelbagai acara menarik menanti para pengunjung di fiesta tersebut seperti pertandingan kucing, jualan kraf, pertunjukan fesyen busana batik bermotifkan kucing dan zoo mini.

Melihat kepada sambutan hangat yang diterima terhadap batik ini, Khalid bercadang untuk meluaskan lagi rekaan bermotifkan kucing seperti baju kanak-kanak, alas meja, langsir dan sarung kusyen.

Mengulas lanjut mengenai persalinan batik tersebut, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu ingin mengangkat kesenian warisan tersebut ke peringkat global.

“Saya bercadang untuk membawa batik ini menjelajah ke seluruh dunia dengan mengadakan pertunjukan fesyen di festival-festival kucing di luar negara.

“Persatuan kucing di luar negara sangat aktif mengadakan pelbagai acara dan peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan keindahan batik tempatan,” jelasnya yang memelihara kira-kira 30 ekor kucing.

Idea

Bercerita lanjut mengenai proses membuat batik ini, anak bongsu daripada 11 beradik itu bekerjasama dengan pereka-pereka daripada Desa Murni Batik yang terletak di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, Terengganu.

Bagi 30 koleksi pertama ini, mereka mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan kerja bermula proses mengolah idea dan menghasilkan produk akhir.

Tuturnya, bagi peringkat pengenalan batik ini, beliau menampilkan tudung, kemeja, jubah dan blaus kerana ia dipakai oleh majoriti orang.

“Busana dan tudung ini boleh digayakan di pelbagai acara serta sesuai dipakai oleh semua lapisan umur.

“Harga yang kami tawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM79 hingga RM149.

“Koleksi ini boleh didapati dalam saiz 38 hingga 46,” jelasnya yang sangat meminati mengumpul barangan antik.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan koleksi terhad ini boleh terus ke Karlush Catz Gallery yang terletak di Kompleks Kraftangan Malaysia, Pets Lover Fiesta dan Desa Murni Batik.

Orang ramai boleh juga membeli secara online dengan melayari laman Facebook rasmi, Karlush Catz Gallery.

Khalid berharap dengan penghasilan batik seumpama ini akan memupuk rasa cinta orang ramai kepada kraf tangan warisan kita yang mempunyai keunikan tersendiri.

Sementara itu, Pemilik Desa Murni Batik, Suhaimi Embong, 49, berkata, kerjasama bersama Karlush Catz Gallery itu cukup bermakna bagi dirinya yang merupakan salah seorang pencinta kucing.

Pengalaman pertama

“Saya bersama Khalid dan 12 orang pereka daripada Desa Murni Batik berganding tenaga dan idea dalam merealisasikan rekaan ini.

“Ia merupakan pengalaman pertama menghasilkan batik bercorak kucing sejak mengusahakan perniagaan ini tiga dekad lalu,” katanya yang memelihara hampir 200 ekor kucing pelbagai baka.

Terang bapa kepada lima orang cahaya mata ini, beliau menggunakan mesin digital dari Itali untuk menghasilkan corak tersebut.

Menariknya, batik itu merupakan edisi terhad dan bagi setiap satu rekaan hanya dijual 10 helai.

Selain membuat rekaan siap, pihaknya juga bersedia menerima tempahan daripada pelanggan mengikut corak yang diingini.

Memperincikan setiap satu rekaan itu, Suhaimi memberitahu, tudung diperbuat daripada sifon Korea dengan saiz 71x90 sentimeter.

“Kemeja batik diperbuat daripada fabrik kapas dan poliester.

“Jubah dan blaus pula menggunakan kain moss krep,” katanya yang mempunyai tujuh cawangan perusahaan batik.

Fabrik-fabrik tersebut digunakan kerana ia sangat 
selesa dipakai dan sesuai dengan cuaca 
di negara ini.

Karlush Catz Gallery dan Desa Murni Batik bekerjasama untuk menghasilkan Karlrush Catz Collection yang bermotifkan kucing buat julung-julung kalinya.