Pelakon dengan nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 34, itu dikatakan berbalas status dengan Fadzil atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel yang menyelar serta meluahkan kekecewaan terhadap tindakan seorang pelakon drama Misi Laksa dan Laksam siaran TV3 kerana tidak membantu mempromosikan drama tersebut di laman sosial.

Aqasha sewaktu ditemui pada sidang media selepas tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) minggu keenam di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil baru-baru ini menegaskan, hal berkaitan promosi drama bukan tertakluk dalam tugasnya sebagai seorang pelakon.

Malah kata pelantun lagu Embun itu, jika drama Misi Laksa dan Asam yang dimaksudkan, dia sebenarnya ada menguarkan-uarkan drama tersebut menerusi sebuah platform digital, meskipun di dalam kontraknya tidak tertulis bahawa dia perlu berbuat demikian.

Aqasha juga pelik, mengapa status dalam akaun Facebooknya disensasikan sedangkan kenyataannya, tulisan tersebut tidak menamakan individu khusus dan tiada niat untuk ditujukan kepada mana-mana pihak.

KOSMO!: Boleh jelaskan bagaimana isu tentang anda tidak mempromosi drama lakonan sendiri di saluran TV3 boleh timbul?

AQASHA: Saya sendiri tidak tahu kerana saya tidak baca apa yang ditularkan orang di media sosial. Tiba-tiba sahaja ada pihak media bertanyakan isu ini sedangkan tiada status dalam Facebook saya yang memetik nama sesiapa.

Adakah anda menafikan ada memuat naik sebarang status yang bercakap soal penerbit dan kontrak sebagai pelakon?

Saya akui memang ada memuat naik status sebegitu tetapi itu bukan ditujukan kepada sesiapa, tambahan pula akaun Facebook saya ialah akaun tertutup. Jadi, bermakna hanya kawan-kawan yang boleh membaca apa yang saya tulis. Banyak lagi status saya tentang keluarga, persahabatan dan cinta ditulis tetapi mengapa satu status itu yang ditularkan orang.

Jadi, pada pendapat anda secara umum, tugas promosi drama lakonan sendiri memang bukan tugas pelakon?

Betul kerana saya hanya berlakon dalam drama tersebut dan secara teknikalnya ia produk milik penerbit yang menerbitkannya. Kerja saya hanyalah sebagai pelakon dan setakat yang saya tahu, ia telah dijalankan dengan penuh dedikasi sepanjang penggambaran.

Tidakkah anda merasakan, tugas mempromosi drama lakonan sendiri boleh menaikkan populariti seseorang artis dalam industri?

Kalau lakonan saya bagus, peminat akan tetap mengetahui tentangnya walaupun saya tidak beria-ia mempromosikannya. Sebenarnya saya ada juga bantu mempromosi drama lakonan sendiri di platform digital Tonton pada awal tahun ini, bukannya langsung tidak ambil peduli,

Namun sejak saya sibuk dengan GV4, memang waktu saya lebih banyak fokus terhadap latihan nyanyian untuk konsert setiap minggu.

Adakah anda berasa ralat untuk mempromosikan drama tersebut kerana pernah terjebak gosip cinta dengan pelakon gandingan (Rita Rudaini) dalam naskhah berkenaan?

Tidak sama sekali. Soalan ini sudah jauh tersasar daripada apa yang sedang berlaku. Saya seorang yang profesional dan apa yang saya buat hanyalah mengikut apa kata kontrak, itu sahaja.

Berbalik tentang penyingkiran anda pada konsert minggu keenam GV4, boleh berikan pandangan berhubung komen-komen peminat yang berasakan anda patut tersingkir lebih awal?

Seperti yang sudah diketahui ramai, GV4 diadili oleh juri profesional. Peserta bukan dikekalkan mengikut undian peminat. Jika ada yang rasa saya patut tersingkir lebih awal, mungkin mereka lebih arif dalam bidang nyanyian berbanding juri pertandingan. Pada setiap minggu yang saya terselamat, pasti ada lagi potensi dalam diri saya yang dirasakan juri boleh ditonjolkan. Cuma perjuangan saya terhenti setakat minggu keenam dan saya terima dengan hati terbuka.

Mungkin ada faktor yang menyebabkan berlakunya penyingkiran?

Mungkin sampai setakat ini sahaja rezeki saya dalam GV4. Persembahan konsert minggu keenam saya memang kurang memuaskan dan tidak berlaku seperti yang dirancang semasa sesi latihan. Namun, saya akan terus aktif menyanyi selepas GV4, itu janji saya kepada peminat.

Sepanjang enam minggu dalam GV4, apakah perkara baharu yang anda pelajari tentang dunia muzik?

Antara perkara yang saya belajar di pentas GV4 ialah bagaimana untuk menjadi seorang penyanyi yang versatil dan tidak boleh memandang ringan mana-mana genre lagu yang ada kerana semuanya memiliki cabaran berbeza. Semua peserta GV4 adalah menyanyi cuma bagaimana dan sebanyak mana genre lagu yang boleh dibawa, itu yang menjadi markah bonus.