Bagaimanapun, minat pekerja salah sebuah syarikat swasta dalam bidang perubatan yang berasal dari Ulu Kinta, Perak itu mula berputik tatkala menyaksikan sebuah drama slot Samarinda TV3 berjudul Nur pada bulan Ramadan lalu.

Selain disajikan dengan jalan cerita yang penuh pengajaran, anak kedua daripada empat beradik itu mengakui, dia tertarik dengan penataan gaya busana yang ditampilkan oleh barisan pelakon.

Nurulsamsiah, 23, berkata, bukan baju kurung, kurta atau tudung sahaja yang mencuri perhatiannya tetapi telekung yang dipakai oleh teraju utama drama itu, Amyra Rusli dan Noor Khairiah dalam beberapa babak juga dikatakan cukup cantik.

“Semasa mula-mula menonton drama ini, saya tertarik melihat busana yang ditampilkan oleh para pelakon.

“Saya tertanya-tanya jenama apakah yang mereka pakai dalam drama berkenaan kerana saya juga mahu menggayakan busana secantik itu.

“Disebabkan itu, saya sanggup menunggu sehingga drama itu tamat bagi melihat senarai penghargaan pada setiap episod untuk mengamati jenama-jenama yang terpapar di kaca televisyen walaupun pada kebiasaannya saya tidak pernah berbuat seperti itu,” ujarnya.

Nurulsamsiah mengakui, strategi pemasaran dengan menaja artis atau projek syarikat produksi dan kemudian dipaparkan dalam drama adalah cukup berkesan.

Strategi

Hakikatnya, bukan mudah untuk melakukan strategi seperti itu kerana kebiasaannya, ia memerlukan kos serta belanja yang tinggi bagi pengusaha produk khususnya fesyen dan kecantikan.

Bagaimanapun, Gerobok Selebriti tampil ke hadapan untuk memperkasakan strategi tersebut dengan alternatif yang lebih relevan.

Gerobok Selebriti ialah platform e-Dagang yang menjual pelbagai barang konsumer secara online.

Ia diasaskan oleh syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd., yang bekerjasama dengan pelbagai produk selebriti tempatan.

Selain menempatkan barisan produk selebriti terkemuka, Gerobok Selebriti juga memiliki pelbagai daya penarik yang cukup sistematik.

Menariknya, kerjasama dengan syarikat produksi itu membolehkan pengusaha produk menaja sesebuah projek drama dan kemudian memaparkan jenama produk tersebut dalam senarai penghargaan.

Pengasasnya, Fazli Baharom berkata, idea asal Gerobok Selebriti muncul setelah melihat ramai selebriti yang berdepan masalah untuk memasarkan produk jenama yang mereka bina.

“Boleh dikatakan, ramai selebriti seperti pengarah drama, pembaca berita dan rakan artis yang memiliki produk jenama sendiri.

“Masalah itu akan wujud apabila mereka sendiri sebagai pemilik produk perlu membalas soalan-soalan yang diajukan oleh pelanggan sehingga merunsingkan bahagian pemasaran produk.

“Rentetan itu, kami terfikir untuk menyediakan platform perniagaan atas talian, sekali gus menyelesaikan masalah bahagian pemasaran,” jelasnya yang mula membangunkan Gerobok Selebriti sejak awal tahun lalu.

Tambah Fazli, Gerobok Selebriti merupakan platform yang menghimpunkan barisan vendor dengan pelbagai produk di bawah satu bumbung.

Pada ketika ini, produk fesyen dan kecantikan sedang giat dipromosikan, namun Gerobok Selebriti turut menyasarkan pelbagai produk gaya hidup yang lain.

Selain itu, Gerobok Selebriti membuka ruang untuk pengusaha produk bekerjasama dengan syarikat produksi.

Katanya, kerjasama itu disifatkan sebagai inisiatif yang sangat baik kerana mampu mengukuhkan penjenamaan sesuatu produk.

Jenama itu akan ditampilkan dalam setiap projek drama ataupun filem berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Jaminan

Bagi yang tertanya-tanya mengenai aspek keselamatan produk yang diletakkan dalam laman Gerobok Selebriti, Fazli memberi jaminan bahawa setiap produk itu akan sampai ke tangan pengguna tanpa ada unsur penipuan.

Jelasnya, Gerobok Selebriti akan melindungi hak pengguna dan vendor bagi memastikan pengalaman membeli-belah yang selamat.

“Gerobok Selebriti tidak menyimpan stok produk, sebaliknya ia hanya akan dikeluarkan oleh pemilik produk.

“Pemilik produk akan menerima notifikasi apabila pengguna selesai melakukan pembayaran dan kemudian barang akan dipos ke alamat yang tertera,” kongsinya.

Menariknya, Gerobok Selebriti memiliki strategi tersendiri untuk menarik perhatian pengguna media baharu.

Pengurus Bahagian Pemasaran Online, Shahril Md. Din berkata, Gerobok Selebriti memperkenalkan sistem ahli gabungan atau affiliate.

Sistem itu merupakan individu yang membantu melakukan promosi di media sosial.

Golongan tersebut akan menerima komisen sebagai wakil jualan bagi setiap produk terjual.

“Ahli gabungan ini menerima komisen sehingga 10 peratus dengan hanya menekan butang like, komen dan berkongsi promosi di media sosial.

“Kami percaya, sistem ini akan membantu melonjakkan trafik di media sosial yang semestinya menguntungkan jenama produk di bawah Gerobok Selebriti.

“Kami meletakkan sasaran sehingga 1,000 ahli gabungan menjelang akhir tahun ini dan mereka hanya perlu mendaftarkan diri secara percuma seterusnya terus berkongsi,” jelasnya.