Ketika masyarakat sudahpun melakukan pelbagai persiapan seperti pakaian serba baharu, lain pula keadaannya bagi gadis kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu.

Manakan tidak, persiapan hari raya yang dilakukan anak kedua daripada tiga beradik itu dalam 15 peratus sahaja.

“Tidak banyak persiapan raya yang dapat saya buat tahun ini kerana kekangan waktu kerja.

“Memang tidak dinafikan rasa mahu membeli-belah itu kuat dalam hati, namun tiada apa yang boleh saya lakukan kerana terlalu sibuk,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Meskipun begitu, baru-baru ini sedang Amanda ralit membelek laman Instagramnya, dia terlihat muat naik mengenai trak fesyen mudah alih, Fashion On Wheels (FOW).

Muat naik itu mencuri perhatian Amanda kerana ia menawarkan perkhidmatan jualan seleksi produk fesyen ke pelbagai destinasi sekitar ibu kota.

Baginya, ia merupakan kesempatan terbaik untuk mendapatkan semua keperluan hari raya terutamanya seperti busana baharu.

Amanda menyifatkan pertemuan dengan FOW itu sebagai langkah kanan buatnya yang sibuk bekerja.

FOW merupakan perkhidmatan jualan produk fesyen berkonsepkan butik vendor menggunakan trak mudah alih yang bergerak ke destinasi berbeza sekitar Lembah Klang.

Ia diasaskan oleh Lenny Farina Hazree, 31, yang beroperasi pada 21 Mei lalu di lokasi pertamanya iaitu Menara Surian, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Trak tersebut berlegar dan berhenti di 12 destinasi tertentu yang berakhir semalam.

Antara destinasi yang dikunjungi ialah Menara TM, Kelab Golf Kuala Lumpur, Seri Pentas TV3, Hotel Shangri-La, Pusat Konvensyen Shah Alam dan Putrajaya.

Lokasi tumpuan

Lenny Farina berkata, idea butik vendor berkonsepkan trak mudah alih itu sudah terlintas dalam fikirannya sejak pulang dari luar negara kira-kira dua tahun lalu.

“Di Eropah khususnya, sudah banyak acara yang mengetengahkan produk-produk fesyen menggunakan trak namun konsep itu masih baharu di negara ini.

“Jadi saya rasa terpanggil untuk membawa idea itu ke sini dan menghimpunkan beberapa produk fesyen tempatan kemudian membawanya ke beberapa lokasi tumpuan golongan berkerjaya.

“Kami terus bawa produk ini ke depan pintu pejabat kerana kuasa membeli itu ada dalam tangan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran FOW di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengunjung boleh melihat dan membelek produk fesyen yang ditampilkan di dalam trak itu sepuas-puasnya sebelum mengambil keputusan untuk melakukan sebarang pembelian.

Kata Lenny Farina, pelanggan lebih gemar menggunakan pendekatan sedemikian kerana ia membuatkan orang ramai lebih yakin untuk membeli.

Trak itu juga menyediakan ruang mengacu pakaian bagi memudahkan pelanggan mencuba sebarang produk yang dipamerkan.

Sebanyak 15 jenama fesyen tempatan terkemuka ditawarkan di FOW yang merangkumi item seperti skarf, hijab, baju Melayu, baju kurung, kasut, beg dan pelbagai aksesori fesyen lain.

Harga

Antara jenama yang dibawa oleh FOW adalah seperti Sofearose, Mumuscarf, Jelitasara, Minaz, Locka, Teruna by Hafiz Muhammad, Ravaka, Syafiqah Aina RTW dan Ciphella.

Harga yang ditawarkan pula mampu milik dan berpatutan serendah RM69 hingga RM359 sehelai.

Dengan kekuatan dan keunikan yang dimiliki, Lenny Farina yakin meletakkan sasaran jumlah kutipan sehingga RM3.5 juta.

Kata gadis berasal dari Jitra, Kedah itu, sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan, FOW akan diteruskan lagi dengan tema yang berbeza mengikut arus perjalanan fesyen tempatan.

Sementara itu, pengasas jenama fesyen Syafiqah Aina RTW, Nur Syafiqah Aina Abdul Wahab berkata, FOW merupakan medan terbaik memperkenalkan jenama produk tempatan baharu kepada umum.

“Konsep yang diperkenalkan FOW ini sangat menarik dan ia sedikit sebanyak membantu jenama fesyen baharu seperti kami untuk lebih dikenali umum.

“Melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, ia menambah keyakinan kami untuk terus maju dalam industri ini.

“Bagi saya, ia merupakan satu persaingan yang sihat dan pada masa sama berupaya meningkatkan martabat industri fesyen tempatan,” jelasnya.

Fashion On Wheels menempatkan kira-kira 15 jenama fesyen tempatan dan membawanya menggunakan trak khas ke destinasi sekitar ibu kota.