Setiap penggayaan mendapat sentuhan glamor yang menghidupkan lagi idea dan konsep peragaan yang cuba diketengahkan oleh pereka fesyen senior, Keith Kee menerusi koleksi musim bunga/panas tahun ini.

Dikenali dengan sentuhan magis dalam penghasilan pakaian mewah kelas atasan, Keith menampilkan 50 rekaan terbaharu yang mencerminkan sisi moden ceongsam yang lebih trendy dan elegan.

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, ceongsam sinonim dengan masyarakat Cina lebih-lebih lagi ia merupakan pakaian tradisional yang dipakai pada musim perayaan, perkahwinan atau untuk menghadiri majlis.

Lambang

“Ceongsam adalah busana yang melambangkan pengaruh fesyen dalam masyarakat Cina. Semua perincian pada pakaian ini mencerminkan identitinya sama ada pada siluet, potongan, jenis fabrik dan butang.

“Bagi koleksi ini pendekatan yang saya ketengahkan adalah rekaan moden tanpa menghilangkan elemen-elemen tradisi ceongsam. Pada masa sama, ia memberikan sentuhan glamor, feminin dan elegan dengan kemasan dan penggunaan fabrik,” katanya ketika ditemui pada majlis Pertunjukkan Fesyen Keith Kee Couture di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Koleksi tersebut juga merupakan dedikasinya bagi meraikan tahun 2019 dengan menampilkan kepelbagaian busana sedia tempah yang terdiri daripada pakaian siang, malam, mewah dan formal.

Sudah berkecimpung dalam industri fesyen selama 18 tahun, Keith dikenali dengan identiti fesyen kelas atasan dalam terjemahan pakaian tradisional masyarakat Cina, ceongsam dan pakaian perkahwinan.

Graduan fesyen daripada Akademi Hagihara, Pulau Pinang itu menampilkan koleksi terbaharu tersebut di bawah jenamanya Keith Kee Couture yang dikenali sebagai Positive Change.

Jelasnya, koleksi berkenaan merupakan simbolik dalam meraikan Tahun Baru Cina dengan semangat yang positif dan glamor menerusi penampilan yang mewah serta elegan.

Jelasnya, koleksi berkenaan menampilkan pilihan warna yang menepati unsur koleksi ini iaitu putih mutiara, merah, biru, kuning dan merah jambu.

Menurutnya lagi, rekaan dalam koleksi itu adalah sedia tempah yang dihasilkan dengan kelainan tersendiri.

“Kita juga mementingkan nilai eksklusif buat pemakai, oleh itu setiap pakaian mempunyai sentuhan berbeza. Pelanggan boleh memilih rekaan dan meletakkan elemen tambahan supaya mereka kelihatan lain daripada yang lain.

Fabrik premium

“Koleksi terbaharu ini juga menampilkan fabrik premium mewah iaitu sutera Shan Dong yang diperkemas dengan teknik sulaman tangan, renda Perancis dan flora bagi menampakkan lagi elemen moden klasik pada koleksi ini,” ujarnya.

Rekaan Keith Kee Couture terkenal dengan rekaan elegan seperti siluet yang kemas selain elemen perincian eksklusif jahitan tangan.

Sebagai pereka, signatur tersebut membentuk identitinya kerana baginya seorang wanita perlu kelihatan cantik dengan padanan yang tepat.

“Saya sangat menitikberatkan padanan ideal untuk pelanggan, sebab itulah portfolio fesyen saya kekal dalam arena sedia tempah. Selain menekankan ketelitian dalam rekaan, saya juga mahu pelanggan berpuas hati dengan pakaian idaman mereka.

“Impian saya adalah untuk menampilkan sesuatu yang baharu dalam industri dan memberi sentuhan moden pada ceongsam adalah salah satu daripadanya. Selain dapat memartabatkan pakaian tradisional Cina itu pada masa sama dapat mengekalkannya dalam arus fesyen sepanjang zaman,” ujar lelaki yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu itu.