Menurut majalah Forbes, bintang realiti televisyen itu memperoleh pendapatan sebanyak AS$22 juta (RM90 juta) tahun ini.

Akaun Instagramnya juga banyak membantu mengukuhkan nama Jenner dalam industri peragaan sehingga diikuti seramai 85 juta pengikut.

Jenner mencatatkan kejayaan besar sepanjang 12 bulan ini dengan mendapat tawaran lumayan daripada jenama-jenama terkemuka seperti Estee Lauder, La Perla dan Adidas.

Lebih membanggakan, kejayaan Jenner itu telah merampas kedudukan supermodel kelahiran Brazil iaitu Gisele Bundchen, 37, yang berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai penerima bayaran tertinggi selama 15 tahun berurut-turut.

Kini, Bundchen yang bertanggungjawab untuk kempen Carolina Herrera dan Arezzo itu menduduki tempat kedua dengan jumlah pendapatannya AS$17.5 juta (RM67 juta).

Ini merupakan kali pertama kedudukan Bundchen dirampas sejak tahun 2002 apabila pendapatannya turun sebanyak 43 peratus berbanding tahun 2016.

Tempat ketiga, keempat dan kelima bagi model berpendapatan tinggi tahun ini ialah Chrissy Tiegen iaitu sebanyak AS$13.5 juta (RM53 juta), Adriana Lima, AS$10.5 juta (RM40 juta) dan Gigi Hadid, AS$9.5 juta (RM37 juta).

Komitmen

Rancangan realiti keluarganya iaitu Keeping Up with the Kardashians, perniagaan pakaian bersama adiknya iaitu Kylie dan sokongan padu daripada media sosial banyak membantu mengangkat nama Jenner dalam bidang peragaan. Ia sekali gus menambah pendapatannya.

Anak kepada Bruce Jenner dan Kris Jenner itu mengakui agak terkesan dengan pandangan orang ramai yang menganggap kejayaannya diperoleh dengan mudah ekoran populariti keluarga.

“Saya bekerja keras seperti orang lain kerana sedar tidak ada jalan mudah untuk berjaya.

“Populariti keluarga adalah bonus bagi saya tetapi usaha keras dan komitmen tinggi merupakan aspek penting untuk berjaya,” jelas anak kelahiran Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) itu.

Dia yang mempunyai 10 orang adik-beradik menjelaskan, ramai orang tidak menganggap dirinya serius sebagai model kerana populariti keluarga sehingga perlu menggandakan usaha untuk membuktikannya.

Bapanya merupakan pemenang pingat emas mewakili AS dalam acara dekatlon di Sukan Olimpik pada 3 November 1995. Ia tanggal yang sama dengan kelahiran puterinya iaitu Kendall.

Ibu bapanya bercerai selepas melayari bahtera rumah tangga selama 22 tahun.

Kini, bapanya dikenali sebagai Caitlyn Jenner dan bertukar menjadi seorang transgender.

Jenner mempunyai lapan orang adik-beradik tiri dan Kylie merupakan satu-satunya adik daripada seibu dan sebapa.

Adik-beradik tirinya adalah Kourtney Kardashian, Kim Kardashian, Khloe Kardashian dan Robert Kardashian yang merupakan anak-anak di sebelah ibunya.

Burton Jenner, Brandon Jenner, Brody Jenner dan Casey Jenner adalah anak-anak Caitlyn hasil daripada dua perkahwinannya yang terdahulu.

Berketinggian 179 sentimeter, Jenner adalah paling tinggi dalam kalangan saudara perempuannya.

Duta

Nama tengahnya Nicole diambil sempena memperingati mendiang rakan baik ibunya yang bernama Nicole Brown Simpson.

Penggemar warna ungu itu memulakan kerjayanya sebagai model seawal usia 14 tahun dengan menandatangani kontrak bersama Wilhelmina Models.

Pertunjukan fesyennya yang pertama adalah mewakili jenama Sherri Hill di Mercedes-Benz Fashion Week, New York, AS pada 14 September 2011.

Sherri Hill merupakan jenama yang pakar dalam rekaan pakaian bagi majlis tari-menari dan pertandingan ratu cantik.

Sebelum itu, kerjaya model Jenner bermula dengan menjayakan kempen Rocker Babes bersama Forever 21 pada Disember 2009 dan Januari 2010.

Pada November 2012, Jenner bekerjasama dengan jurugambar Victoria Secret, Russell James untuk tugasan editorial dan projek bersama.

Bukan itu sahaja, Jenner turut menjadi duta bagi Seventeen Magazine.

Aura personaliti dan kejelitaan Jenner telah membuka ruang kepadanya untuk menghiasi majalah-majalah terkemuka seperti GenLux, Vogue Amerika Syarikat, Kurv, Miss Vogue Australia dan Harper’s Bazaar Arabia.

Kejelitaan wanita berambut coklat itu turut dipaparkan dalam majalah People sebagai Manusia Cantik.

Mengulas mengenai kecantikannya, Jenner menjelaskan, wajah semula jadi lebih cantik berbanding memakai solekan.

Oleh itu, dia jarang bersolek tetapi akan menggunakan krim pelindung matahari bagi melindungi wajah.

Jenner banyak terlibat pada acara pertunjukan fesyen terkemuka dunia bersama pereka-pereka terkenal seperti Chanel, Marc Jacobs, Alexander Wang, Diane Von Furstenberg dan Fendi.

Popularitinya mula melonjak apabila muncul pada rancangan realiti televisyen yang dikenali sebagai Keeping Up with the Kardashians bagi tahun ke-10.

Rancangan itu, mengisahkan kehidupan peribadi keluarga glamor tersebut dengan pelbagai kerenah masing-masing.

Pencapaian yang diraih Jenner menjadikannya berpendapatan lebih tinggi berbanding adik-beradiknya.

Dia juga menjalankan perniagaan pakaian bersama Kylie yang diberi nama Kendall & Kylie.

Pendapatan sebanyak RM90 juta bagi tahun ini menjadikan Jenner model termahal dunia sekali gus merampas kedudukan supermodel Gisele Bundchen yang memegang kedudukan itu selama 15 tahun.