Dalam kesusasteraan Melayu, kain cindai digunakan sebagai senjata seperti digunakan untuk melibas dan mengunci pergerakan lawan kerana teknik tenunan ikat berkembarnya amat kukuh selain dikatakan mampu menahan tikaman senjata.

Kain cindai juga dikatakan digunakan Hang Jebat sebelum turun mengamuk dan dia dikatakan hanya meninggal dunia akibat ditikam apabila balutan kain tersebut dibuka Hang Tuah.

Tertarik dengan keistimewaan nilai estetika kain tenun tersebut, Datin Aida Suraini Ibrahim memilih menamakan jenama pakaian yang diasaskannya kira-kira lima tahun lalu sebagai Cindai.

Berpangkalan di Jitra, Kedah, Cindai yang memulakan operasinya pada bulan Ramadan pada mulanya hanya mengeluarkan rekaan selendang segera untuk pelanggannya sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sejak tahun lalu, Cindai yang mempunyai bengkel jahitan sendiri mula memperkenalkan koleksi seperti blaus, skirt, dres selain lebih 50 rekaan busana tradisional meliputi baju Melayu, baju kurung, kurta, jubah dan kebaya.

Empayar perniagaan

Aida Suraini, 43, sebelum ini berkhidmat di sektor perbankan selama 23 tahun sebelum mengambil keputusan meletak jawatan tahun lalu bagi memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan empayar perniagaannya dalam memperkenalkan produk fesyen baharu.

Konsep yang diketengahkan Cindai ialah rekaan polos, minimalis, tidak terlalu sarat meskipun ada antaranya yang mempunyai perincian taburan mutiara, manik dan labuci.

“Misalnya, pada Minggu Fesyen Kedah baru-baru ini, kami telah menampilkan rekaan kurung Pahang dan Kedah dengan suntikan elemen kasual. Ia bertujuan memberi keselesaan kepada pemakai dan membolehkan baju tradisional digayakan tanpa mengira tempat dan masa.

“Ini kerana kami berpendapat ciri-ciri seperti back to basic semakin diminati masyarakat moden. Begitupun, kami juga bersedia membuat rekaan eksklusif tempahan khas mengikut kehendak pelanggan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mempunyai kelompok peminatnya tersendiri, Cindai turut menjadi pilihan golongan kenamaan termasuk kerabat diraja Kedah.

“Kekemasan jahitan dan kemampuan tukang jahit Cindai menyiapkan tugas yang diamanahkan dalam tempoh masa yang singkat menyebabkan kami diberi kepercayaan tersebut.

Lebarkan sayap

“Cindai mempunyai stok kain tersedia di butik cuma tidak begitu banyak. Pada masa depan kami bercadang mengimport pelbagai variasi fabrik dari luar negara termasuk Amerika Syarikat demi memenuhi permintaan mereka yang mempunyai cita rasa tinggi terhadap fesyen,” tuturnya.

Mengorak langkah lebih jauh dalam industri fesyen, Cindai bakal melebarkan sayapnya dengan menempatkan jenamanya di gedung beli-belah terkemuka, Metrojaya, Mid Valley bulan depan.

Ia bermula apabila Cindai menyertai Minggu Fesyen Kedah pada Julai lalu. Peragaan busana keluaran Cindai telah menarik minat pengasas Asian Designers Guild (ADG) yang juga ikon pereka fesyen negara, Bill Keith.

Matlamat utama penubuhan ADG adalah untuk memberi khidmat nasihat dalam membimbing dan membantu label pereka muda atau jenama baharu melalui saluran peluang perniagaan yang betul di dalam dan di luar negara.

Menyifatkan peluang itu sebagai bulan jatuh ke riba, kesempatan sedemikian langsung tidak pernah diduga ibu kepada empat cahaya mata itu.

Beliau mendapat tahu, terdapat kira-kira 50 label yang berada dalam radar pemerhatian ADG, namun hanya 10 disenarai pendek dan berpeluang menghantar rekaan-rekaan terbaharu untuk dipertimbangkan Metrojaya.

Baginya, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana stok pakaian yang dihasilkan harus mengikut piawaian yang ditetapkan supaya sebaris dengan jenama-jenama pakaian lain yang dipasarkan di sana.

Turut memikul cabaran tersebut ialah pereka fesyen Cindai, Azrul Izwan Ibrahim yang bertungkus-lumus menghasilkan rekaan terkini untuk disesuaikan dengan cita rasa pelanggan di ibu kota merentasi kaum dan gender dengan menyasarkan segmen golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.

Versatil

“Lebih 18 rekaan baharu telah dihasilkan. Alhamdulillah pihak Metrojaya bersetuju dengan produk yang diketengahkan. Pendek kata, apa yang ada di Metrojaya tidak ada di butik kami di Jitra, Kedah.

“Apa yang penting rekaan yang dihasilkan adalah versatil dengan identiti tersendiri supaya pelanggan berbangga apabila menggayakan jenama Cindai,” ujar graduan Universiti Teknologi Mara itu.

Sebagai permulaan, Cindai akan mempamerkan kira-kira 200 pakaian meliputi blaus, skirt, dres, koleksi kasual selain pakaian lelaki seperti kemeja yang dapat memenuhi cita rasa dan ke­perluan pelanggan di pusat beli-belah tersebut.

Secara keseluruhan, kebanyakan pakaian rekaan Cindai menggunakan fabrik cita, kapas dan sifon. Jenis kain tersebut bersifat menyerap peluh dan tidak merengsakan pengguna.

“Selain itu, permainan padanan warna dan permainan corak yang trendy biarpun dalam persalinan yang sederhana dan kasual mampu menyerlahkan gaya si pemakai,” jelasnya.